Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat-syarikat katering saksikan lonjakan sehingga 80% bagi tempahan Hari raya selepas had tetamu ditarik balik

Syarikat-syarikat katering juga perlu membuat penyesuaian dengan cepat selepas sebilangan pelanggan menambah jumlah tempahan Hari Raya pada saat-saat akhir.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat-syarikat katering menyaksikan lonjakan sehingga 80 peratus bagi tempahan Hari Raya dan rumah-rumah terbuka untuk Aidilfitri kali ini berbanding tahun lalu.

Malah syarikat-syarikat tersebut juga perlu membuat penyesuaian dengan cepat selepas sebilangan pelanggan menambah jumlah tempahan Hari Raya pada saat-saat akhir.

Ini menyusuli pengumuman pemerintah baru-baru ini yang menarik balik had tetamu yang boleh berkunjung ke rumah dalam satu-satu masa.

NAZREEN CATERING SAKSIKAN PENINGKATAN 70%-80%

Bagi syarikat Nazreen Catering, mereka menyaksikan peningkatan jumlah tempahan bagi set makanan Hari Raya sehingga 80 peratus.

Syarikat itu turut mengalami lonjakan jumlah panggilan sejurus selepas pemerintah mengumumkan pelonggaran undang-undang bagi had tetamu itu.

"Minggu pertama Ramadan kita dah mula (sebarkan tentang set Hari Raya), orang pun tak tahu apa yang mereka harus tempah, untuk 10 orang ke 15 orang ke, jadi mereka tempah saja.

nazreen catering

"Bila pemerintah umumkan, macam nak meletup telefon kita, orang semua telefon minta naikkan, ada yang minta (set) 80 orang pun ada," kata Pengarah Nazreen Catering, Encik Syed Hafeez Chishty.

Secara purata, kata Encik Hafeez, setiap tempahan dibuat bagi hidangan 50 orang.

Dalam erti kata lain, makanan yang ditempah bagi setiap rumah hampir sama seperti keadaan sebelum pandemik.

TEMPAHAN BAGI HARI RAYA PERTAMA CECAH HIDANGAN 1000 ORANG

Nazreen Catering juga menawarkan set Beriani Dam bagi Hari Raya pertama pada harga $15 setiap seorang. Namun, bagi hari-hari selanjutnya, harganya diturunkan kepada $12 setiap seorang.

nazreen catering
(Gambar: Nazreen Catering/Facebook)

Selain harga barangan yang meningkat, kenaikan harga buat Hari Raya pertama itu juga disebabkan tenaga kerja yang perlu dibayar lebih bagi bekerja pada hari cuti.

"Bagi Hari Raya sebab inflasi kan, harga tinggi sikit... kerana hari pertama memang betul, barang mahal. Tenaga kerja pula 'double pay' jadi ini kena masuk kira-kiralah," kongsi beliau.

Dengan sambutan yang menggalakkan, mereka terpaksa menutup tempahan bagi memenuhi pesanan makanan yang sedia ada.

nazreen catering

"Kita dah dapat 1000 orang dan kita pun dah tutup tempahan kerana sudah terlalu banyak untuk menghantar hidangan 1000 orang ke rumah-rumah orang," tambah Encik Hafeez.

SAMBUTAN SET HARI RAYA DALAM PEK VAKUM MENGGALAKKAN

Lagi satu syarikat yang juga sudahpun menutup tempahan bagi Hari Raya pertama ialah Rumah Makan Minang.

Dengan harga pakej $110 bagi set lima orang, lebih 100 set sudahpun ditempah, sekali gus menyediakan hidangan bagi lebih 500 orang.

rumah makan minang
(Gambar: Rumah Makan Minang/Facebook)

Namun yang menariknya, lauk-pauk dalam pakej Hari Raya dibungkus dalam pek-pek vakum yang sudah dibekukan.

Ini bagi memudahkan pelanggan memanaskan sendiri makanan, memandangkan katering Rumah Makan Minang ditutup selama seminggu, bermula sehari sebelum Hari Raya.

rumah makan minang

Setiap pakej merangkumi lauk-pauk seperti rendang daging, ayam masak merah dan sambal goreng pengantin.

PERMINTAAN MENINGKAT BAGI SET BUFET PENUH

Khidmat katering Rumah Makan Minang bagi minggu-minggu selanjutnya juga mendapat sambutan memberangsangkan tahun ini.

Mereka menyaksikan 50 peratus lebih banyak tempahan bagi khidmat bufet di rumah berbanding tahun lalu.

Pengurus Operasi Rumah Makan Minang, Cik Syahidah Mohd Zin berkata: "Tempahan bagi acara rumah dah masuk 'order', ada orang dah berkobar-kobar mungkin nak jumpa sanak-saudara lebih ramai.

rumah makan minang

"Malah kita tawarkan bufet mini tetapi mereka minta set bufet penuh. Jadi itu menandakan mereka akan meriah lagilah berbanding sekatan had lima orang, jadi mungkin kali ini mereka akan lebih menikmati Hari Raya tahun ini."

Namun demikian, Cik Syahidah akur bahawa peningkatan dari segi tempahan membawa cabarannya tersendiri, terutama sekali cabaran dari segi tenaga kerja.

"Peningkatan permintaan untuk bufet mini atau set bufet penuh, Rumah Makan Minang rasa cabarannya adalah tenaga kerja dan kita kena buat banyak perancangan awal. Kita juga akan menyiapkan barang-barang yang selama dua tahun dah simpan di tempat simpanan.

rumah makan minang
(Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

"Kita akan usaha sebanyak dan sebaik mungkin. Ini menandakan pihak pengurusan pun kena turun padang juga, namun Alhamdulillah pekerja-pekerja kita juga sangat memahami dan kita juga akan cari pekerja sambilan untuk menolong."

Peningkatan tempahan hampir seperti sedia kala ini petanda baik bagi syarikat-syarikat katering pada masa akan datang selepas dua tahun terjejas oleh sekatan-sekatan pandemik.

"Kita dalam dua tahun ini memang peritlah sebab perniagaan merosot, jadi kita harapkan dengan pembukaan semula ini, orang ramai akan mula balik macam dulu, meriahkan lagi suasana jemput-jemput orang kan dengan rumah terbuka," ujar Encik Hafeez.

Lebaran tahun ini merupakan perayaan yang pertama tiada had pengunjung dikenakan sejak pandemik melanda.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan