Syarikat sokong seruan AP 'utamakan rakyat' namun harap perubahan dasar tidak keterlaluan
Beberapa pemilik perniagaan yang diwawancara Mediacorp pada Selasa (1 Sep) menyokong seruan yang dibuat oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) sejak dua hari lalu untuk mengutamakan warga Singapura bila mengambil pekerja.
Para pekerja pejabat di Raffles Place semasa waktu makan tengah hari pada 2 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Beberapa pemilik perniagaan yang diwawancara Mediacorp pada Selasa (1 Sep) menyokong seruan yang dibuat oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) sejak dua hari lalu untuk mengutamakan warga Singapura bila mengambil pekerja.
Bagaimanapun, mereka menyuarakan harapan agar perubahan dasar dan retorik awam tidak akan keterlaluan sehingga dilihat sebagai menentang warga asing dan mengamalkan dasar perlindungan - sesuatu yang dibimbangi sesetengah pemimpim sektor swasta akan berlaku.
Pada Isnin dan Selasa, dua hari pertama perbahasan parlimen mengenai Ucapan Presiden, isu warga asing bersaing dengan penduduk di sini untuk mendapatkan pekerjaan - terutama dalam kalangan PMET (profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik) - diberi tumpuan dalam Dewan, ketika Parlimen bersidang semula selepas Pilihan Raya Umum pada Julai.
Encik Leong Chee Tung, ketua pegawai eksekutif syarikat pemula sumber manusia EngageRocket, percaya bahawa seruan agar "rakyat Singapura diutamakan" akan memberi tekanan kepada pekerja Singapura untuk meningkatkan diri dan menghasilkan saluran bakat yang lebih mantap untuk masa depan.
Encik Chionh Chye Kit, ketua pegawai eksekutif syarikat pemula dalam teknologi pengawal seliaan Cynopsis Solutions, berkata bahawa mengutamakan pengambilan pekerja Singapura sepatutnya sudah lama diamalkan, tetapi "lebih baik terlewat daripada tidak pernah dilakukan".
"Pertama sekali, meminta rakyat Singapura di Singapura diutamakan tidak bermakna ia bersifat perlindungan. Kita tidak perlu keterlaluan... Tidak semestinya dua perkara, hitam dan putih. Ada perkara yang samar-samar, ada banyak cara untuk mencari huraian," tambahnya.
Encik Lawrence Chai, pengasas 3E Accounting, bersetuju. Beliau berkata pusat kewangan di negara-negara maju memiliki undang-undang pekerjaan yang adil untuk menyokong tenaga kerja penduduk, dan "adalah tepat pada masanya kita melakukan demikian juga".
Syarikat-syarikat yang dihubungi Mediacorp juga mengatakan bahawa mereka tidak terlalu bimbang bagaimana seruan-seruan ini mungkin menyebabkan kriteria pas pekerja asing diperketatkan lagi dan akhirnya menaikkan kos operasi mereka.
Encik Alan Phua, ketua pegawai eksekutif Alchemy Foodtech, berkata bahawa beliau berjaya mengambil pekerja Singapura sebagai pekerja barisan pengeluaran, misalnya. Syarikatnya menggajikan hanya dua warga Malaysia dalam pasukannya, daripada tenaga kerja keseluruhan seramai 16 orang.
Namun, beliau percaya beliau mungkin berupaya mengambil pekerja tempatan kerana pasaran pekerjaan yang suram dan bimbang apabila pasaran buruh semakin ketat jika ekonomi pulih, beliau perlu mengambil pekerja asing untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.
Dari segi dasar-dasar, Encik Chionh berkata bahawa langkah menaikkan gaji kelayakan minimum pemegang pas kerja tidak akan berkesan dalam menangani masalah ini. Pemerintah harus memberi ganjaran kepada firma-firma untuk mengambil pekerja tempatan, berbanding mengetatkan dasar pengambilan warga asing, katanya.
Encik Leong melahirkan keprihatinan sekiranya orang awam yang turut berasa warga tempatan patut lebih dilindungi, sambil menekankan bahawa negara ini bergantung kepada ekonomi sejagat untuk penakatannya dan akan sentiasa memerlukan bakat asing, terutamanya dalam kemahiran teknikal yang kekurangan di sini.
Encik Ho Meng Kit, pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura, pula berkata bahawa keseimbangan perlu dicapai dalam perbincangan nasional mengenai isu itu.
Tumpuan sekarang dalam memastikan rakyat Singapura kekal dalam pekerjaan mereka mungkin memberi gambaran kepada warga asing bahawa Singapura tidak lagi mengalu-alukan pelaburan.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat pengilangan menyatakan bahawa mereka berhadapan dengan dilema antara tekanan meningkat untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dengan rakyat Singapura menjauhi pekerjaan yang mereka tawarkan.
Encik Ryan Ng, pengurus besar firma kejuruteraan jitu Chong Fong, menyarankan agar Kementerian Tenaga Manusia mengkaji semula pengurusan pemegang pas kerjanya supaya ia lebih khusus kepada satu-satu sektor.
Daripada maklum balas yang diterimanya, beliau berkata aduan yang didengarnya dalam kalangan pekerja Singapura tidak melibatkan sektor kejuruteraan jitu.
"Kami terlibat umumnya dalam pengilangan, maka itu kami perlu berdaya saing bukan di Singapura, tetapi di seluruh dunia. Anda mengetatkan syarat untuk pemegang Pas Pekerjaan dan Pas S untuk memuaskan hati rakyat Singapura, ini meningkatkan kos kami dan kami kehilangan kelebihan daya saing kami. Ini tidak menguntungkan Singapura," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.