Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat SME digalak manfaat peluang tembusi pasaran global

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Perniagaan kecil dan sederhana (SME) digalak untuk berkembang ke luar negara bagi memanfaatkan peluang-peluang di pasaran global.

Meskipun langkah menembusi pasaran luar negara boleh jadi sesuatu usaha yang mencabar, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata langkah itu kini lebih mudah dengan adanya e-dagang.

Jika ingin melakukannya secara langsung, Encik Wong mengingatkan para peniaga SME bahawa pemerintah menyediakan geran dan terdapat persatuan perdagangan yang boleh membantu.

Encik Wong yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam ucapannya di majlis Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah DPPMS 2022 hari ini (21 Okt).

Encik Wong juga menarik perhatian tentang kejayaan yang dikecapi syarikat pengeluar makanan halal "Pondok Abang".

Syarikat Pondok Abang berjaya melancarkan produk-produk mereka di Bandar Ho Chi Minh dan Hanoi setelah mereka bekerjasama dengan sebuah pengedar makanan berpangkalan di Vietnam menerusi satu acara Pertubuhan Pengeluar Makanan Singapura.

"Tidak kira sama ada menjadi lebih jimat tenaga, menggunakan huraian-huraian yang lebih produktif, pendigitalan atau berkembang ke luar negara, ini antara perkara yang syarikat-syarikat (SME) boleh lakukan untuk kekal relevan dan berdaya saing," ujar Encik Wong.

Beliau juga berkata bahawa pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk bantu SME di negara ini tangani cabaran dan meraih manfaat daripada peluang-peluang sedia ada.

"Bagi harga tenaga yang menjadi keprihatinan, kami telah memperkenalkan Geran Kecekapan Tenaga yang menyokong 70 peratus perbelanjaan bagi kelengkapan yang cekap tenaga. Ini akan bantu syarikat-syarikat jadi lebih cekap tenaga dan jimat bil," ujar Encik Wong.

Untuk masalah mendapatkan pekerja pula, beliau berkata pemerintah akan bantu syarikat mengautomasikan proses mereka dan meningkatkan daya penghasilan.

Ini melalui skim-skim geran dan pusat-pusat SME termasuk di DPPMS, yang boleh memberikan nasihat serta huraian.

Meskipun pelbagai cabaran yang sedang dihadapi dunia seperti inflasi dan ketegangan geopolitik, Encik Wong berpendapat bahawa syarikat-syarikat boleh kekal optimistik dengan peluang pertumbuhan yang ada bagi Singapura dan rantau ini.

Ekonomi Singapura dijangka tumbuh 3 hingga 4 peratus tahun ini dan pasaran pengguna yang rancak dinikmati rantau Asia Tenggara.

HARGAI SUMBANGAN DPPMS

Di acara penutup tirai Konvensyen Perniagaan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) itu, Encik Wong turut memuji peranan positif yang dimainkan oleh DPPMS semasa krisis COVID-19 bagi menyokong masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Sebagai contoh, DPPMS telah mendampingi lebih 1,800 perniagaan dari rumah (HBB) bagi mengagihkan dana bantuan pemerintah semasa tempoh kemuncak COVID-19.

Tambahan lagi, DPPMS juga telah menyokong inisiatif "“SG United Buka Puasa”. Ia bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, syarikat katering dan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengagihkan lebih 200,000 pek makanan kepada keluarga-keluarga memerlukan dalam masyarakat semasa Ramadan.

"Jika kita bekerjasama, kita akan dapat lalui badai yang melanda. Bak kata pepatah Melayu, bersatu teguh, bercerai roboh. Saya yakin selagi kita kekal bersatu seperti yang kita telah lakukan, kita dapat atasi apa pun cabaran mendatang dan bangkit lebih kukuh bersama," kata Encik Wong.

Sebanyak 7 anugerah akan disampaikan hari ini bagi mengiktiraf usahawan-usahawan yang menonjolkan ciri-ciri luar biasa seperti strategi perniagaan dan daya inovasi.

Antaranya termasuk Anugerah Perniagaan Mikro, Anugerah Perubahan Teknologi dan Usahawan Muda Terbaik.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan