Skip to main content

Singapura

Syarikat SG lebih 'pragmatik' berhubung pelan automasi, AI masa hadapan berbanding negara Asia Tenggara lain

Syarikat-syarikat di Singapura kurang bercita-cita tinggi berbanding firma-firma di sekitar Asia Tenggara mengenai pelan automasi masa hadapan, menurut satu tinjauan baharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat SG lebih 'pragmatik' berhubung pelan automasi, AI masa hadapan berbanding negara Asia Tenggara lain

Robot kumpul pinggan untuk dibersihkan di sebuah kafe di Singapura pada 6 Julai 2016. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 22 Jul 2025 05:41PM Dikemas Kini : 22 Jul 2025 05:42PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat di Singapura kurang bercita-cita tinggi berbanding firma-firma di sekitar Asia Tenggara mengenai pelan automasi masa hadapan, menurut satu tinjauan baharu.

Pendekatan syarikat-syarikat Singapura juga seolah-olah lebih kepada "penambahan" dan bersifat "pragmatik", yang mungkin disebabkan oleh keprihatinan terhadap kehilangan pekerjaan dan pemberhentian kerja.

Demikian menurut laporan Wilayah, Pasaran dan Integrasi Serantau yang diterbitkan pada Selasa (22 Jul).

Laporan itu juga mendapati sebilangan besar syarikat-syarikat Singapura yang ditinjau menyatakan automasi akan menyebabkan jumlah tenaga kerja meningkat atau kekal sama.

Sementara itu, perniagaan-perniagaan di Filipina, sebagai contoh, menjangkakan lebih banyak kehilangan pekerjaan disebabkan automasi.

Automasi boleh merujuk kepada penggunaan kecerdasan buatan, robot industri, automasi pengeluaran dan jentera, perisian am dan teknologi maklumat atau peralatan lain.

Laporan itu cuba memahami bagaimana pandangan perniagaan di tujuh negara Asia Tenggara mengenai empat bidang perubahan ekonomi: automasi dan pendigitalan, amalan kemampanan, peraturan dan tadbir urus, serta kerjasama melalui institusi serantau.

Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura dan Vietnam disertakan dalam kajian itu.

Di Singapura, kajian itu diterajui oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan kerjasama Institut Kajian Dasar (IPS) dan melibatkan persatuan dan dewan perniagaan termasuk Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Dewan Perniagaan Amerika di Singapura.

Laporan itu diterbitkan seminggu sebelum persidangan IPS-SBF bertajuk 'Bandar Global Singapura: SG60 dan Seterusnya" (Global-City Singapore: SG60 and Beyond).

Perdana Menteri Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dijangka berucap di persidangan itu, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 29 Julai.

Para pengkaji menerima 209 respons dari syarikat-syarikat di Singapura, namun hanya 101 respons yang sah - manakala selebihnya tidak memenuhi ambang untuk selesai sekurang-kurangnya 25 peratus soalan tinjauan. Tinjauan itu dijalankan pada 2023 dan 2024.

STATUS SEMASA

Automasi diamalkan secara meluas di Singapura, namun kajian itu mendapati pelaksanaan automasi berlaku pada tahap lebih rendah.

Sekitar 13.2 peratus syarikat melaporkan tidak menggunakan sebarang automasi dalam perniagaan mereka, dan hampir 70 peratus menggunakan automasi dalam hanya sekitar 25 peratus proses perniagaan mereka.

Sekitar 14 peratus responden di Singapura menerapkan automasi dalam 26 hingga 50 peratus tugas mereka, manakala hanya 2.63 peratus menggunakan automasi dalam lebih separuh tugas mereka.

Tiada satu pun perniagaan Singapura yang ditinjau melaporkan perniagaan mereka diautomasikan sepenuhnya.

"Walaupun tiada satu pun syarikat dalam laporan sampel di Singapura menyatakan ia menerapkan automasi sepenuhnya, kebanyakan firma mengamalkan sekurang-kurangnya sebahagian bentuk automasi, iaitu satu gambaran mengenai pendedahan universal negara ini kepada pendigitalan, termasuk dalam kalangan firma-firma lebih kecil," menurut laporan itu.

Dari segi automasi canggih, 21 peratus responden dari Singapura menyatakan pihaknya mengamalkan penggunaan robot industri dalam prosesnya, di belakang Kemboja (21.9 peratus).

Dari segi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, Malaysia mengungguli ranking dengan 24 peratus, disusuli dengan Singapura (19 peratus).

"Trend-trend ini mencadangkan keterbukaan kepada teknologi canggih, walaupun perubahan sepenuhnya tetap dilaksanakan beransur-ansur," menurut laporan itu.

Bagi tiga tahun akan datang, syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura menyatakan "hasrat mendalam" untuk mendalami automasi, tetapi pada rentak lebih perlahan berbanding responden lain di negara-negara jiran.

Sebagai contoh, 39.6 peratus syarikat-syarikat di Kemboja, 33 peratus syarikat-syarikat di Malaysia dan 31 peratus syarikat-syarikat di Indonesia merancang untuk mengautomasikan lebih 50 peratus tugas mereka dalam masa tiga tahun akan datang.

Ini dibandingkan dengan hanya 5.4 peratus syarikat-syarikat di Singapura yang berhasrat untuk mengautomasikan lebih separuh tugas mereka bagi tempoh yang sama.

Pendekatan 'stabil, berperingkat' firma-firma syarikat mencerminkan kadar penggunaan teknologi mereka yang diukur, yang dibentuk oleh permintaan sektor dan pertimbangan tenaga kerja, menurut para pengkaji.

Mereka juga menyatakan pelaburan dalam teknologi digital adalah meluas di Singapura, tetapi ia lebih tertumpu kepada kecekapan operasi dan kenaikan automasi secara berperingkat, dan bukan perubahan transformasi dan rombakan teknologi berskala besar.

KESAN TERHADAP PEKERJAAN

Sebilangan besar syarikat-syarikat tempatan yang ditinjau juga menjangkakan automasi akan mempunyai kesan terhad pada pekerjaan berbanding syarikat-syarikat di sesetengah negara Asia Tenggara.

Kira-kira 40 peratus responden di Singapura menjangkakan tiada perubahan pada jumlah tenaga kerja dengan peningkatan dalam penggunaan automasi, manakala 27.3 peratus meramalkan terdapat sedikit kenaikan dalam jumlah pekerjaan.

Lagi 28.6 peratus responden juga menyaksikan jumlah pekerja yang dikurangkan dan 1.3 peratus yang ditinjau menjangkakan bilangan pekerja akan dikurangkan dengan ketara.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita