Skip to main content

Singapura

Syarikat SG digesa nilai prestasi kakitangan berdasarkan hasil kerja apabila aturan kerja fleksibel dikuatkuasakan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gerakan buruh menggesa para majikan supaya menilai prestasi kakitangan mereka berdasarkan hasil kerja mereka dan bukan tempoh kerja supaya aturan kerja fleksibel (FWA) boleh menjadi berkesan.

Semua majikan mesti mempunyai proses untuk para pekerja mereka membuat permohonan rasmi bagi aturan kerja fleksibel mulai Disember apabila garis panduan tiga pihak yang baharu berkuat kuasa kelak.

Dengan berasaskan hasil, ini bermakna menggalakkan syarikat-syarikat menghasilkan satu set matlamat yang perlu dicapai, kata Cik Yeo Wan Ling, pengarah perusahaan kecil dan sederhana Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang merangkul U SME.

"Ini menjangkaui tempoh kerja pekerja dan ia memberi tumpuan kepada hasil dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama)," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Profesional Sumber Manusia Aslam Sardar berkata apabila pekerja mendapat lebih banyak kelonggaran di tempat kerja, syarikat "juga mesti mempunyai kesedaran yang lebih besar tentang potensi berat sebelah dalam cara mereka menilai pekerja".

"Kita harus menjauhkan diri daripada pemikiran bahawa 'Saya perlu berjumpa dengan anda di pejabat untuk mengetahui bahawa anda sedang bekerja'. Lantaran itu, kurangkan berasaskan kehadiran, dan lebih bergerak ke arah apa yang kita panggil berasaskan prestasi dan daya penghasilan,” katanya.

Cik Yeo berkata, untuk FWA berjaya, budaya kepercayaan di tempat kerja mesti dibina. Aturan sebegini mestilah memanfaatkan pihak syarikat juga.

SOKONGAN PERBAIKI AMALAN SUMBER MANUSIA

Untuk membantu pekerja memenfaatkan FWA dengan lebih baik, lebih banyak bantuan akan dihulurkan kepada firma-firma untuk mempertingkatkan amalan sumber manusia (HR) masing-masing.

Mulai bulan depan, program latihan bersasar akan dilancarkan secara progresif untuk membantu syarikat-syarikat membuat penyesuaian kepada perubahan ini pada bulan Disember. Ia terdiri daripada kelas pakar untuk para pemimpin perniagaan hingga ke bengkel amali untuk para penyelia dan pengamal HR.


PELUANG UNTUK SYARIKAT MEMPERBAIKI PIAWAI

Garis panduan FWA boleh menjadi peluang untuk memperbaiki amalan HR dalaman kerana ia menetapkan struktur di mana permohonan boleh dibuat dan dinilai, kata Encik Aslam.

Garis panduan tersebut juga menawarkan peluang kepada syarikat-syarikat untuk mereka semula pekerjaan, tambahnya.

Encik Aslam berkata satu perkara penting dan harus dilaksanakan dengan segera adalah untuk mempertingkatkan piawai komunikasi.

Meskipun pihak-pihak berkepentingan percaya bahawa FWA akan membawa beberapa manfaat, para pekerja yang ditemui Mediacorp mempunyai pandangan yang berbeza.

"Ia lebih sukar untuk berkomunikasi kerana di pejabat, jika anda memerlukan sesuatu, ia lebih mudah untuk berjumpa dengan rakan sekerja dan saya akan berkata "tolong saya dengan perkara ini," kata seorang pekerja.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita