Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat SG diarah bayar AS$238,000 kepada ibu kota Argentina kerana gagal hantar kit ujian COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat SG diarah bayar AS$238,000 kepada ibu kota Argentina kerana gagal hantar kit ujian COVID-19

Gambar fail Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Sebuah syarikat Singapura diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar pemerintah bandar Buenos Aires sebanyak AS$238,000 (S$317,500) kerana gagal untuk menghantar kit ujian COVID-19 yang ditempah ketika kemuncak pandemik pada 2019.

Pemerintah ibu kota Argentina sudah melancarkan tuntutan mahkamah di Singapura setelah syarikat tersebut menyatakan ia tidak akan membayar balik jumlah penuh sebanyak AS$1.77 juta (S$2.4 juta) yang dilaburkan.

Pada Jumaat (12 Mei), Hakim Lee Seiu Kin memerintah HN Singapore dan pengarahnya supaya membayar AS$$237,619.35 (S$317,000) sebagai ganti rugi. Ia adalah jumlah baki yang tidak dibayar syarikat itu kepada pemerintah tersebut.

Menurut hukuman yang dikeluarkan pada Jumaat (12 Mei), pemerintah Buenos Aires memerlukan kit ujian COVID-19 bagi rakyatnya.

Pada Mac 2020, satu kecemasan kesihatan diumumkan di Argentina akibat pandemik COVID-19, berikutan sekatan di seluruh negara. Beunos Aires mempunyai sekitar 15 juta penduduk.

Kementerian Kesihatan Argentina mencadangkan strategi kesihatan untuk menghentikan jangkitan COVID-19 dengan segera. Antara langkah penting adalah untuk segera mendapatkan kit ujian bagi mengesan virus tersebut.

Oleh kerana terdapat kekurangan bekalan di peringkat global, pemerintah Buenos Aires mendapatkan kit-kit ujian dengan menghubungi syarikat pengeluar dan pengedar di dalam dan luar negara.

APA YANG BERLAKU

Pemerintah Buenos Aires menghubungi HN Singapore, di mana pengarahnya merupakan seorang rakyat Singapura, Nicholas Eng Teng Cheng.

Seorang kakitangan yang bekerja dengan pemerintah Buenos Aires mengirimkan mesej WhatsApp kepada Encik Eng selepas diperkenalkan, menzahirkan minat pemerintahnya untuk membeli 500,000 kit ujian COVID-19 yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat China.

Encik Eng mengirimkan surat tawaran bagi penjualan kit-kit ujian itu kepada kakitangan pemerintah tersebut pada 27 Mac 2020.

Pemerintah Buenos Aires kemudian menganugerahkan kontrak kepada HN Singapore untuk membekalkan kit ujian COVID-19 pada 2 April 2020.

Meskipun perancangan awal adalah bagi 500,000 kit ujian, pemerintah Buenos Aires secara silap menulis 300,000 kit ujian pada harga AS$5.90 (S$7.90) setiap satu dalam kontrak itu. Bermakna, harga keseluruhannya AS$1.77 juta (S$2.36 juta).

Sekalipun terdapat kesilapan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskannya. Encik Eng mengeluarkan invois proforma kepada pemerintah Buenos Aires bagi 300,000 kit ujian dengan harga AS$1.77 juta (S$2.36 juta).

Pemerintah itu kemudian membuat bayaran penuh kepada HN Singapore pada 6 April 2020.

Sekalipun demikian, HN Singapore menghantar surat cadangan tiga hari kemudian untuk meminta variasi bagi perjanjian tersebut.

Di bawah variasi itu, HN Singapore akan hanya menghantar 182,475 kit ujian pada harga AS$1.77 juta (S$2.36 juta).

Pemerintah Buenos Aires menerima variasi itu menerusi emel. Menurut kontrak tersebut, kit-kit ujian itu perlu dihantar menjelang 26 April 2020.

KIT UJIAN TIDAK DIHANTAR

HN Singapore merancang untuk membeli kit-kit ujian tersebut daripada sebuah kilang di China pada harga AS$821,137.50 (S$1.1 juta). Walau bagaimanapun, kilang itu menyatakan ia tidak dapat menghantar kit-kit itu disebabkan pelbagai sebab, termasuk sekatan baru di China terhadap syarat-syarat eksport bagi alat perubatan.

Selepas kit-kit itu tidak dihantar menjelang tarikh yang dipersetujui, pemerintah Buenos Aires meminta untuk dibayar semula jumlah yang sudah dibayarnya.

HN Singapore menyerahkan jumlah keseluruhan sebanyak AS$1,532,380.65 (S$2 juta), pada tiga tarikh antara Jun dan Julai 2020.

Namun, HN Singapore menghantar surat kepada pemerintah Buenos Aires pada Julai 2020, dan menyatakan bahawa ia tidak dapat membayar balik jumlah baki sebanyak AS$237,619.35 (S$317,000).

Menurutnya, jumlah itu sudah digunakan untuk "bayaran tidak boleh dibayar balik, kos perbelanjaan dan insurans".

Hakim Lee mendapati bahawa plaintif berjaya dalam tuntutannya bagi pelanggaran dalam kontrak, dan menganugerahkannya AS$237,619.35 (S$317,000).


Hakim Lee juga memerintahkan defendan untuk membayar faedah pada kadar 5.33 peratus bermula dari tarikh writ hingga tarikh pembayaran. Defendan juga diperintahkan untuk membayar kos kepada plaintif.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan