Skip to main content

Singapura

Syarikat privet mesti henti guna nombor NRIC bagi pengesahan identiti jelang Dis 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Feb 2026 04:58PM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 06:28PM
SINGAPURA: Syarikat privet mempunyai masa sehingga 31 Disember 2026 untuk menghentikan penggunaan nombor NRIC sebagai cara pengesahan identiti, menurut Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) pada Isnin (2 Feb).

Selepas tarikh itu, tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan nombor NRIC akan dipertingkatkan. Langkah itu diambil oleh PDPC untuk mengurangkan risiko pihak tidak bertanggungjawab menceroboh perkhidmatan dan maklumat peribadi orang ramai.

Pada Jun 2025, PDPC dan Agensi Keselamatan Siber (CSA) mengeluarkan nasihat bersama kepada syarikat swasta. Mereka menegaskan bahawa nombor NRIC tidak boleh disalahgunakan sebagai kaedah untuk mengesahkan identiti seseorang.

Syarikat yang menggunakan NRIC untuk akses data peribadi boleh dianggap melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang munasabah.

Mulai 1 Januari 2027, PDPC akan mengambil tindakan lebih tegas, termasuk mengenakan arahan khas atau denda wang ringgit jika berlaku pelanggaran.

Contoh penyalahgunaan yang dimaksudkan adalah menggunakan nombor NRIC, sama ada penuh atau sebahagian, sebagai kata laluan asal. Ini termasuklah menggunakan NRIC sahaja atau digabungkan dengan data lain yang mudah dicari seperti nama dan tarikh lahir.

PDPC menyatakan bahawa agensi-agensi pemerintah sudah pun berhenti menggunakan NRIC untuk pengesahan identiti bagi mengurangkan risiko akses tanpa izin.

Selain itu, pihak berkuasa lain seperti Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dan Kementerian Kesihatan (MOH) juga sudah mengeluarkan panduan kepada sektor telekomunikasi, kewangan, insurans, dan kesihatan untuk berhenti menggunakan NRIC sebagai cara masuk ke akaun.

Pada Januari tahun lalu, Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat, Josephine Teo, meminta syarikat privet menghentikan amalan tersebut secepat mungkin. Beliau menjelaskan bahawa syarikat yang mengumpul sebahagian nombor NRIC, contohnya 4 angka terakhir, untuk tujuan mengenali pelanggan masih dibenarkan, tetapi ia tidak boleh dijadikan kata laluan untuk masuk ke sistem.

Isu itu mula mendapat perhatian besar selepas berlaku kemarahan orang ramai pada Disember 2024. Ketika itu, portal Bizfile yang baru dilancarkan oleh ACRA secara tidak sengaja memaparkan nama dan nombor NRIC penuh orang ramai secara percuma dalam hasil carian mereka.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita