Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat perubatan SG kembangkan inovasi, bantu lebih ramai pesakit di luar negara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Apr 2023 06:31PM Dikemas Kini : 07 Apr 2023 09:21PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat jagaan kesihatan dan bioperubatan Singapura sedang meningkatkan peluasan ke luar negara, membawa bersama teknologi serta inovasi tempatan ke negara-negara sejauh Amerika Syarikat (AS).

Selain meningkatkan jangkauan kepada para pesakit, usaha itu juga memberi mereka akses kepada ekosistem penyelidikan dan syarikat pemula di AS.

Bagi syarikat pemula bidang bioperubatan asal Singapura, Lucence, kehadiran di luar negara ibarat isu hidup dan mati.

Bagi perniagaan yang terlibat dalam usaha menyelamatkan nyawa, langkah mengembangkan sayapnya bukan sekadar kerana wang ringgit tetapi juga untuk membantu lebih ramai orang.

"19 juta orang dikesan menghidapi barah setiap tahun. Lebih 50 peratus pesakit ini berada di tahap akhir. Setiap dua saat, seorang pesakit barah baru dikesan dan saya percaya teknologi yang kami ada, akan menjadi sangat penting bukan sahaja di Amerika Syarikat, bukan sahaja Asia, tapi di seluruh dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lucence, Dr Tan Min-Han.

Syarikat Lucence berjaya mencipta kaedah ujian mengesan barah menerusi darah.

Ia kurang invasif berbanding cara konvensional menerusi biopsi tisu serta mengambil waktu lebih singkat untuk mengetahui hasil ujian.

Lucence mula menggunakan kaedah itu di Singapura pada 2018 dan mengembangkannya ke Silicon Valley tiga tahun lalu.

Ini sudah membantunya menjangkaui jumlah pesakit sehingga lebih dua kali ganda.

Menurut Enterprise Singapore (ESG), AS merupakan tempat paling tepat untuk berkembang.

Agensi tersebut menghubungkan syarikat perubatan tempatan dengan rakan kongsi di Amerika yang berpotensi serta menyediakan geran untuk membantu mereka menembusi pasaran di negara itu.

"Syarikat-syarikat Singapura perlu melihat AS sebagai sumber teknologi dan inovasi, menjadi rakan kongsi untuk meraih keupayaan ini dan melihat bagaimana untuk memperhalusi nilai-nilai tersebut supaya dapat berkembang di Amerika atau bahagian lain dunia," kata Pengarah Eksekutif (AS & EU) Enterprise Singapore Clarence Ho.

Amerika juga merupakan sumber bagi mendapatkan bakat terbaik.

Inilah antara sebab syarikat bioperubatan Engine Biosciences tertarik untuk ke San Francisco lima tahun lalu.

Menurut syarikat asal Singapura yang menghasilkan ubat untuk membantu pesakit barah itu, pakar biologi dan kimia di Amerika adalah jauh lebih berpengalaman dalam bidang tersebut.

Selepas COVID-19, pelaburan kini terus meningkat.

Pasaran alat perubatan Amerika ditaksirkan bernilai AS$255 bilion (S$340 bilion) menjelang penghujung dekad ini.

Syarikat-syarikat inovasi Singapura digalak memanfaatkan pelbagai peluang yang tersedia.
Sumber : CNA/IQ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan