Skip to main content

Singapura

Syarikat perkahwinan jangka perniagaan lebih rancak selepas sekatan dilonggar

Para perancang perkahwinan, hotel dan lokasi-lokasi acara yang lain menjangkakan peningkatan pada perniagaan mereka menyusuli pengumuman baru-baru ini bahawa sekatan-sekatan COVID-19 akan dilonggarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat perkahwinan jangka perniagaan lebih rancak selepas sekatan dilonggar

Gambar hiasan pasangan mempelai menyarungkan cincin perkahwinan. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 09:41AM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 09:43AM

SINGAPURA: Para perancang perkahwinan, hotel dan lokasi-lokasi acara yang lain menjangkakan peningkatan pada perniagaan mereka menyusuli pengumuman baru-baru ini bahawa sekatan-sekatan COVID-19 akan dilonggarkan.

Mulai 3 Okt, sehingga 100 orang - termasuk pasangan mempelai namun tidak mengambil kira para vendor dan penyedia khidmat - dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan, naik seganda berbanding seramai 50 orang yang dihadkan sekarang.

Namun begitu, 100 hadirin itu perlu dibahagikan kepada beberapa zon dengan sehingga 50 orang dalam setiap zon atau ketibaan tetamu dibahagikan kepada waktu yang berbeza dengan sehingga 50 tetamu dalam setiap slot waktu.

Sebilangan perancang perkahwinan yang ditemui Mediacorp berkata mereka menjangkakan akan menerima lebih banyak pertanyaan sepanjang beberapa minggu akan datang, memandangkan para pasangan "lebih yakin" untuk meneruskan majlis masing-masing.

Meskipun jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat di Singapura kekal rendah, semakin ramai pasangan juga menaruh harapan lebih banyak sekatan akan dilonggarkan pada masa akan datang, kata para perancang perkahwinan tersebut.

Walaupun jumlah pertanyaan sudah meningkat sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan, jumlahnya tidak setinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, kata pengasas syarikat perancang perkahwinan Arches and Co, Cik Lau.

"Bagi pertanyaan baru, para bakal mempelai masih menaruh harapan pada suku kedua 2021 dan seterusnya, sambil berharap agar mereka dapat mengadakan majlis yang lebih besar dan lebih ramai tetamu akan dibenarkan," katanya.

HOTEL TERIMA LEBIH BANYAK PERTANYAAN

Hotel-hotel juga menyaksikan peningkatan pada jumlah pertanyaan oleh para pelanggan yang berhasrat untuk menambah jumlah tetamu, serta pasangan yang ingin menempah pakej yang baru.

"Sejak had tetamu bagi majlis perkahwinan dinaikkan kepada 100 orang, kami sudahpun menerima banyak pertanyaan daripada pasangan yang sudahpun membuat tempahan dengan kami dan ingin menambah jumlah tetamu serta pasangan yang sebelum ini menangguhkan majlis perkahwinan mereka dan kini mahu meneruskannya.

"Kami juga menerima tempahan baru disebabkan oleh peraturan terkini itu," kata Encik Lee Richards, naib presiden operasi Asia Tenggara, Millenium Hotels and Resorts.

Kumpulan itu memiliki enam hotel di Singapura iaitu Copthorne King's Hotel, Grand Copthorne Waterfront Hotel, Orchard Hotel, M Hotel, M Social dan Studio M Hotel.

Pengurus Besar The Fullerton Hotels and Resorts Cavaliere Giovanni Viterale pula berkata hotel itu menerima banyak permintaan bagi tarikh-tarikh popular seperti 10 Okt dan 12 Dis, dengan bilangan pertanyaan naik 30 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Hotel itu juga menerima lebih daripada 40 pertanyaan oleh para pasangan yang ingin menambah jumlah tetamu dalam senarai undangan mereka, katanya.

SESETENGAH PASANGAN MAHU MAJLIS KECIL

Meskipun secara amnya, para pasangan mengalu-alukan langkah bagi melonggarkan peraturan COVID-19, tidak semua yang merancang untuk mengadakan majlis yang gah.

Bagi pasangan Cik Brenda Tan dan Encik Matthew Chong, sekatan COVID-19 yang diumumkan pada Julai lalu bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah tetamu yang diundang dari sekitar 180 ahli keluarga dan teman-teman kepada hanya sekitar 50 individu.

Meskipun mereka kini boleh mengundang sehingga 100 tetamu dalam dua bilik atau sesi berasingan, pasangan itu memutuskan untuk terus menjemput sekitar 50 tetamu kerana majlis mereka diadakan di sebuah restoran yang mempunyai hanya satu bilik utama.

Pasangan itu juga berkata bahawa mereka tidak mungkin akan menambah jumlah tetamu yang diundang kecuali jika mereka dapat menjamu semua tetamu dalam satu tempat dan satu sesi bagi majlis perkahwinan mereka yang bakal diadakan pada Disember ini.

"Saya tidak mahu membuat rancangan untuk menjemput 50 tetamu, namun ia berubah kepada 75 dan kemudiannya 100, jika ia berlaku saya perlu membuat perubahan dengan kerap dan memikirkan siapa untuk dijemput dan bagaimana untuk menjemput mereka," kata Cik Tan.

Majlis perkahwinan yang diadakan secara kecil-kecilan juga adalah "peluang yang baik" untuk mengurangkan kos perbelanjaan, kata Cik Tan.

Selain itu, pengasas syarikat Arches and Co Cik Lau pula memberitahu Mediacorp bahawa sekitar 90 peratus daripada pelanggannya berasa gembira sekatan terhadap had tetamu dilonggarkan.

"Namun, saya mempunyai beberapa pasangan yang memilih untuk menjemput hanya 50 tetamu supaya dapat mengadakan majlis yang lebih intim, lebih kecil," katanya.

"Sesetengah pasangan juga sebenarnya gembira kerana mereka tidak perlu menjemput setiap orang dalam senarai undangan yang dijemput oleh ibu bapa mereka (seperti) saudara-mara jauh, rakan-rakan yang tidak rapat dengan pasangan itu dan lain-lain."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita