Syarikat percetakan sudah bersiap sedia terima banyak tempahan bahan Pilihan Raya Umum meski di tengah COVID-19
Sedang Singapura kian di ambang Pilihan Raya Umum seterusnya, sesetengah pembekal bahan kempen pilihan raya berkata mereka belum lagi menerima sebarang tempahan namun sudah bersiap sedia untuk menerima tempahan jika perlu, meskipun peraturan COVID-19 mungkin masih dikuatkuasakan.
Poster calon-calon Parti Rakyat S'pura bagi GRC Bishan-Toa Payoh semasa Pilihan Raya Umum 2015. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Sedang Singapura kian di ambang Pilihan Raya Umum seterusnya, sesetengah pembekal bahan kempen pilihan raya berkata mereka belum lagi menerima sebarang tempahan namun sudah bersiap sedia untuk menerima tempahan jika perlu, meskipun peraturan COVID-19 mungkin masih dikuatkuasakan.
Syarikat percetakan Republic Holdings, yang menerbitkan risalah dan makalah untuk "hampir kesemua parti politik di Singapura sejak beberapa Pilihan Raya sebelum ini" belum lagi menerima sebarang tempahan, kata pemilik syarikat Ben Ang.
Beliau sudah bersiap sedia untuk mula bekerja jika didampingi oleh mana-mana parti kerana rantaian bekalan syarikat beliau tidak terjejas, kata Encik Ang. Barisan pengeluaran syarikatnya dan hampir keseluruhan kakitangan syarikat berada di Malaysia dan beliau dapat menghantar barangannya ke Singapura setiap minggu.
Malah, beliau juga bersedia menerima sebarang tempahan yang diterima sekarang. Hasil penjualannya merosot sebanyak 80 hingga 90 peratus berbanding sebelum April. Projek-projek lalu bagi parti-parti politik seperti menghasilkan kain rentang mereka, mungkin dapat meningkatkan pendapatannya sekitar lima peratus, katanya.
Kurangnya tempahan bagi bahan-bahan untuk berkempen berlaku meskipun terdapat spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Pada minggu lalu, Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengumumkan beberapa langkah yang akan dilaksanakan bagi melindungi daripada berlaku penularan COVID-19 semasa proses pilihan raya.
PERSIAPAN KEMPEN SEDANG DIJALANKAN
Kebanyakan parti politik yang ditemui Mediacorp berkata mereka sudahpun mula menyediakan bahan-bahan bagi pilihan raya, meskipun salah satu daripada mereka menyatakan gangguan pada rantaian bekalan menyebabkan penangguhan dalam usaha mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan.
Persediaan berkempen bagi Potong Pasir termasuk reka bentuk poster dan kandungan bagi manifesto parti bermula pada pertengahan tahun lalu, kata pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond kepada Mediacorp.
"Sebaik sahaja Jawatankuasa Semakan Kawasan Undi (EBRC) mengeluarkan laporan, dan apabila pihak parti mengesahkan bahawa saya adalah calon bagi Potong Pasir sehari kemudian, poster-poster pilihan raya dan manifesto bagi Potong Pasir dihantar untuk dicetak," katanya, sambil menambah bahawa calon-calon SPP yang lain juga akan memuktamadkan bahan-bahan mereka dalam dua minggu akan datang.
"Buat masa ini, para pembekal belum lagi berkata terdapat sebarang isu bagi memenuhi permintaan kami dan saya pasti kesemua pembekal tempatan akan menghantar bahan-bahan yang ditempah mengikut jadual," kata Encik Raymond.
Sementara itu, Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyatakan berdasarkan keadaan sekarang ini, mereka sudah pun menyediakan kesemua bahan yang diperlukan.
"Tidak mahu membebankan para pembaca dengan terlalu banyak butiran, cukuplah untuk setakat ini kami mengatakan bahawa pasukan logistik kami sudah membuat persiapan sejak beberapa bulan lalu dan kami sudah menyediakan bahan-bahan kami," kata seorang jurucakap, sambil menambah parti itu akan "membuat persiapan sewajarnya" jika situasi berubah.
Parti Perpaduan Nasional (NSP) menyatakan ia sudah menghubungi para pembekal baru dan yang biasa dilanggani bagi mendapatkan bahan-bahan, namun sekatan pergerakan dan kegiatan perniagaan di Singapura dan Malaysia menjejas rantaian bekalan dan menyulitkan para pembekal untuk mengesahkan sama ada mereka dapat memenuhi permintaan.
Memandangkan para pengamat politik meramalkan bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada bulan depan, NSP menyasarkan untuk menyediakan kesemua bahan selewat-lewatnya pada minggu pertama Julai, kata Setiausaha Agung NSP Spencer Ng.
Bahan-bahan itu termasuk risalah, pelekat, label barangan dan salinan buletin mereka.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp mengenai persiapan mereka untuk pilihan raya, pasukan media bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata dalam kiriman emel: "Kami sedang menumpukan perhatian kepada usaha menangani COVID-19 dan kami memilih untuk tidak memberikan komen mengenai hal itu buat masa ini."
Parti Reform menyatakan ia sudah membuat tempahan bagi bahan-bahan parti tersebut, namun para pembekal meluahkan sedikit kesulitan dalam mengesahkan tarikh akhir bila tempahan itu boleh siap memandangkan COVID-19 menjejas rantaian bekalan mereka, kata pengerusi parti tersebut Andy Zhu.
Mereka berharap dapat menyediakan bahan-bahan yang diperlukan sebelum awal bulan Julai.
Parti Demokratik Singapura (SDP) bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen untuk rencana ini, manakala Parti Pekerja (WP) tidak memberikan respons kepada pertanyaan Mediacorp.
Pilihan Raya Umum Singapura yang seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya pada 14 Apr 2021.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.