Syarikat penyenggaraan didenda S$15,000 selepas warga emas jatuh di tangga bergerak Hougang
Sebuah syarikat penyenggaraan didenda S$15,000 pada Khamis (1 Okt) selepas seorang wanita warga emas terjatuh di sebuah tangga bergerak yang rosak di Hougang pada 2023 sehingga mengalami keretakan tulang belakang.
Pihak pendakwa menunjukkan rakaman dua warga emas terjatuh di sebuah tangga bergerak di Hougang Avenue 1. (Gambar fail: iStock)
- 9G Elevator didenda S$15,000 pada 1 Oktober selepas mengaku bersalah gagal menyenggara tangga bergerak milik AHTC di 105 Hougang Avenue 1.
- Dalam kejadian 21 April 2023, lelaki 84 tahun dan wanita 75 tahun terjatuh; wanita itu mengalami keretakan tulang belakang, manakala lelaki cedera di belakang badan dan siku.
- Siasatan BCA mendapati susur tangan kanan boleh berhenti apabila dipegang kerana tekanan berkurangan serta galas aci berkarat dan haus yang tidak dikesan.
- Mahkamah menimbang rekod pelanggaran lalu, risiko kecederaan lebih serius, kerjasama syarikat dan langkah baharu seperti alat pemantauan kelajuan susur tangan.
Seorang lelaki warga emas yang menggunakan tangga bergerak yang sama turut terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan siku serta pendarahan.
Tangga bergerak di 105 Hougang Avenue 1 itu dimiliki Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dan disenggara syarikat 9G Elevator.
Syarikat tersebut mengaku bersalah atas satu tuduhan gagal menjalankan kerja-kerja penyenggaraan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan tangga bergerak.
Kejadian berlaku pada 21 April 2023.
Rakaman yang ditunjukkan di mahkamah memaparkan seorang lelaki berusia 84 tahun cuba berpaut pada susur tangan tangga bergerak sebelum terjatuh ke belakang beberapa anak tangga.
Seorang wanita berusia 75 tahun kemudian turut terjatuh di tangga bergerak tersebut.
Wanita itu mengalami keretakan tulang belakang.
SUSUR TANGAN TIDAK BERGERAK
Siasatan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) mendapati susur tangan di sebelah kanan tangga bergerak itu boleh berhenti bergerak apabila dipegang, sedangkan anak tangganya terus bergerak.
9G Elevator kali terakhir menjalankan kerja penyenggaraan tangga bergerak tersebut pada 10 April 2023, iaitu 11 hari sebelum kejadian.
Namun, syarikat itu gagal menjalankan pemeriksaan sewajarnya terhadap susur tangan dan galas aci (shaft bearing) yang sudah berkarat dan haus.
Keadaan tersebut menjejas operasi selamat tangga bergerak itu.
Tekanan pada susur tangan juga berkurangan dan menyebabkan ia menjadi kendur serta berhenti bergerak apabila dipegang.
Menurut pihak pendakwa, 9G Elevator mempunyai 30 rekod pelanggaran antara Januari 2018 dengan Disember 2022, termasuk tiga yang melibatkan susur tangan tangga bergerak.
Syarikat itu sebelum ini dikenakan denda bagi pelanggaran tersebut.
GAGAL KESAN KEROSAKAN
Hakim Daerah Utama Lee Lit Cheng berkata syarikat itu gagal mengesan galas aci susur tangan yang sudah haus dan perlu diganti.
Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan, manakala kejadian tersebut juga berpotensi menyebabkan kecederaan lebih serius kepada pengguna tangga bergerak lain.
Hakim Lee turut menarik perhatian bahawa kakisan (corrosion) berlaku selama beberapa bulan tetapi tidak dikesan dalam beberapa pemeriksaan.
Sejak kejadian itu, 9G Elevator sudah melaksanakan beberapa langkah bagi mencegah kejadian serupa, termasuk memasang alat pemantauan kelajuan susur tangan.
Syarikat itu juga memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Syarikat yang gagal menjalankan kerja penyenggaraan seperti yang ditetapkan boleh didenda sehingga S$20,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.