Skip to main content

Singapura

Syarikat penyedia Internet ViewQwest alami gangguan khidmat; sedang usaha huraikan isu

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat penyedia Internet ViewQwest alami gangguan khidmat; sedang usaha huraikan isu

Gambar: Facebook/ViewQwest

Diterbitkan : 11 Apr 2023 07:21PM Dikemas Kini : 11 Apr 2023 07:22PM
SINGAPURA: Penyedia khidmat Internet ViewQwest melaporkan gangguan khidmat, yang menjejas pelanggannya di beberapa kawasan di Singapura pada Selasa (11 Apr).

Data yang disediakan laman web DownDetector menunjukkan lonjakan dalam jumlah laporan yang dibuat berhubung gangguan tersebut pada sekitar 2.00 petang.

Sebuah kumpulan Facebook bagi pelanggan ViewQwest juga menunjukkan pengguna melaporkan gangguan di kawasan-kawasan termasuk Tampines, Toa Payoh, Sengkang dan Yishun.

"Beberapa kawasan di merata pulau ini terputus sambungan," kata seorang pengguna Facebook, Khairy Farhan, menerusi catatannya di kumpulan Facebook Forum Pelanggan ViewQwest (Bukan Rasmi).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap ViewQwest menjelaskan bahawa isu tersebut pertama kali dikesan pada sekitar 2.12 petang.

"Kami telah mengemas kini makluman kami kepada pelanggan di semua saluran, daripada dapatan awal mengenai sambungan yang terjejas sekali-sekala hingga kepada gangguan khidmat yang disahkan. Isu tersebut menjejas pelanggan di merata pulau ini, tetapi ia bukan gangguan sepenuhnya."

Memandangkan gangguan khidmat ViewQwest masih berterusan, syarikat tersebut menyatakan puncanya sedang disiasat.

Ia juga memberikan perkembangan terkini secara berkala kepada pelanggan yang terjejas di semua salurannya dan "komited untuk melakukan demikian" sehingga khidmat tersebut pulih sepenuhnya.

Dalam satu kemas kini di Facebook pada sekitar 5.00 petang, ViewQwest menarik perhatian bahawa pasukannya sedang "berusaha dengan aktif untuk menghuraikan isu tersebut dan memulihkan khidmat mereka secepat mungkin".

Syarikat tersebut juga memohon maaf kepada pelanggannya atas kesulitan yang berlaku ekoran gangguan khidmat tersebut.

Sementara itu, beberapa pelanggan ViewQwest memuat naik di halaman Facebook syarikat tersebut bahawa sambungan Internet mereka kembali pulih pada sekitar 6.00 petang, sementara yang lain melaporkan mereka masih belum dapat sambungan online.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita