Skip to main content

Singapura

Syarikat pengurusan dana disiasat kerana disyaki gubah wang haram; aset lebih S$160 juta dirampas

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat pengurusan dana disiasat kerana disyaki gubah wang haram; aset lebih S$160 juta dirampas
Logo Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di bangunannya di Singapura. (Foto fail: Reuters/Edgar Su)
Diterbitkan : 10 Mar 2026 10:55AM Dikemas Kini : 10 Mar 2026 10:56AM
SINGAPURA: Sebuah syarikat pengurusan dana berlesen sedang disiasat kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram, dengan aset lebih S$160 juta (US$124 juta) daripada akaun bank dan sekuriti syarikat dirampas.

Operasi penguatkuasaan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah dijalankan pada 5 Mac terhadap Capital Asia Investments, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (9 Mac).

Dua pengarah syarikat ditangkap.

MAS menyatakan ia menyemak semula syarikat itu dan kegiatannya selepas menerima maklumat tentang kemungkinan tindakan yang menyalahi undang-undang. Semakan penyeliaan mendapati "kegagalan kawalan yang serius" syarikat itu dalam mematuhi peraturan mencegah pengubahan wang haram.

Secara berasingan, SPF menyatakan ia telah menerima maklumat risik kewangan daripada Pejabat Pelaporan Urus Niaga Mencurigakan mengenai dakwaan penglibatan Capital Asia Investments dan entiti berkaitan dalam satu rangkaian pengubahan wang haram transnasional.

"Berikutan ini, polis memulakan siasatan dan mendapatkan kerjasama rakan sejawat asing untuk mendapatkan maklumat dan bantuan kerana hasil jenayah didakwa diperoleh daripada kegiatan jenayah terancang di luar negara, termasuk penipuan", tambah SPF.

Siasatan sedang dijalankan.

Mereka yang sabit kesalahan melakukan pengubahan wang haram boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan dan Pasaran Kewangan 2022 membawa denda sehingga S$1 juta, dengan denda selanjutnya mungkin dikenakan bagi kesalahan yang berterusan.

"Singapura memandang serius individu dan entiti yang cuba mengeksploitasi sistem kewangan Singapura untuk tujuan pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah lain," kata pihak berkuasa.

"Polis akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dan pesalah akan dikenakan tindakan tegas."

Sumber: CNA/dc
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita