Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat penghantaran makanan tawar pilihan bekas guna semula

Permintaan bagi khidmat penghantaran makanan ke rumah meningkat di tengah-tengah COVID-19. Sebagai tindak balas terhadap keprihatinan penggunaan bungkusan sekali pakai yang juga meningkat, pemain utama khidmat penghantaran makanan di sini kini menawarkan pilihan bekas makanan guna semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat penghantaran makanan tawar pilihan bekas guna semula

Bekas makanan yang boleh digunakan semula oleh syarikat Muuse (Gambar: Muuse)

Diterbitkan : 10 Oct 2020 05:15PM Dikemas Kini : 10 Oct 2020 05:21PM

SINGAPURA: Permintaan bagi khidmat penghantaran makanan ke rumah meningkat di tengah-tengah COVID-19. Sebagai tindak balas terhadap keprihatinan penggunaan bungkusan sekali pakai yang juga meningkat, pemain utama khidmat penghantaran makanan di sini kini menawarkan pilihan bekas makanan guna semula.

Pelanggan yang menempah makanan dari restoran dan kedai makan terpilih boleh makan dari bekas yang boleh digunakan semula, dan kemudian mengembalikannya ke restoran dan kedai yang sama supaya ia dapat digunakan semula bagi penghantaran seterusnya.

Daya usaha ini dimulakan atas kebimbangan bahawa penggunaan bekas makanan pakai buang meningkat dengan banyaknya semasa sekatan duduk di rumah dari April hingga Jun.

Satu hasil kajian yang dikeluarkan pada Jun menunjukkan tambahan 1,334 tan sampah plastik, bersamaan dengan berat 92 bas dua tingkat, dihasilkan di Singapura daripada makanan dibawa pulang dan khidmat penghantaran semasa tempoh pemutus jangkitan.

Bagaimanapun, walaupun pelanggan dan peniaga menyambut baik usaha mesra alam itu, sebilangannya menyuarakan keprihatinan bahawa inisiatif ini masih belum diterima pada skala yang cukup besar untuk menjana perubahan besar.

INISIATIF LIBATKAN 150 TEMPAT MAKAN

Tiga syarikat penghantaran makanan utama di sini - Foodpanda, Deliveroo dan GrabFood - bekerjasama dengan dua khidmat perkongsian bekas makanan, Muuse dan BarePack.

Kedua-dua syarikat ini menyediakan bekas makanan bagi penghantaran ke rumah. Namun, bezanya pelanggan harus mengembalikan bekas yang digunakan kepada restoran yang mengambil bahagian. Kini terdapat sekitar 100 restoran di bawah BarePack dan 50 di bawah Muuse.

Foodpanda bekerjasama dengan BarePack sejak April dan Muuse sejak Julai, dengan 49 tempat makan terlibat sama - berjumlah 71 cawangan - di bawah kedua-dua perjanjian itu. Jumlah itu adalah kenaikan mendadak berbanding Jun, apabila hanya sembilan peniaga yang turut serta.

GrabFood melancarkan kerjasamanya dengan Muuse bulan lalu, dan mempunyai sembilan restoran di bawah kerjasama itu setakat ini.

Terkini, Deliveroo bekerjasama dengan BarePack mulai Rabu (7 Okt), dengan 50 restoran dan kedai makan menawarkan penghantaran dengan bekas yang boleh digunakan semula.

Jurucakap Foodpanda berkata jumlah pesanan yang diambil sendiri dan penghantaran ke rumah yang menggunakan bekas guna semula dalam seminggu meningkat tiga kali ganda pada Oktober berbanding April apabila kerjasama tersebut dilancarkan, namun ia tidak memberikan jumlah sebenarnya.

Menurut BarePack, kerjasamanya dengan Foodpanda menjimatkan lebih daripada 50kg bungkusan pakai buang setakat ini.

Kedua Deliveroo dan GrabFood tidak dapat memberikan jumlah penggunaan mereka, kerana kerjasama baru saja bermula.

Walaupun Muuse tidak dapat mendedahkan perangkaan terkini mengenai jumlah sampah yang dapat dikurangkan sejauh ini, pihaknya menyatakan bahawa ia "berada di landasan" untuk mengurangkan sehingga 400kg sampah menjelang akhir tahun ini.

Bagi memastikan pelanggan mengembalikan bekas yang boleh digunakan semula, Muuse mengenakan bayaran sebanyak S$25 kepada pelanggan yang tidak memulangkan bekasnya setelah 14 hari. Pelanggan yang bukan ahli BarePack harus membayar deposit S$6, dan akan mendapatkannya kembali hanya apabila mereka mengembalikan bekas mereka.

APA KATA PELANGGAN DAN RESTORAN

Mediacorp menghubungi pelanggan dan restoran yang menyatakan bahawa walaupun mereka tidak keberatan untuk mengembalikan dan mencuci bekas yang boleh digunakan semula, amalan ini perlu digunakan secara lebih meluas untuk menjana perubahan ketara.

Sejak Julai, pelanggan Foodpanda Cik Pimta Rerkasem misalnya telah menempah makanan dalam bekas guna semula sekitar dua hingga tiga kali seminggu.

Penuntut sarjana berusia 27 tahun itu berkata agak mudah baginya yang tinggal di Bukit Timah Road kerana terdapat beberapa restoran berdekatan di mana beliau boleh mengembalikan bekas selepas makan, namun mungkin sukar mereka yang tinggal di kawasan yang tidak banyak restoran mengambil bahagian dalam inisitif tersebut.

Ini mungkin menjadi penghalang bagi orang ramai membuat pilihan menggunakan bekas guna semula, tambahnya.

Beberapa restoran yang mengambil bahagian bersetuju, sambil menyatakan bahawa kadar penggunaan di beberapa kawasan belum tinggi. Sebagai contoh, Makai Poke, sebuah restoran di daerah Tanjong Pagar, hanya mendapat lima pesanan penghantaran yang memilih bekas guna semula setelah sekitar dua bulan menyertai inisiatif itu.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan