Syarikat pengendalian data SG, DataPost siasat dakwaan serangan perisian tebusan
Penyedia khidmat pengendalian data, DataPost kini berada di peringkat awal siasatan mengenai serangan perisian tebusan yang didakwa berlaku, menurut syarikat yang berpangkalan di Singapura itu pada Khamis (29 Mei).
DataPost, yang bekerjasama dengan agensi pemerintah dan institusi kewangan serta pihak lain, memberitahu Mediacorp bahawa siasatannya "akan mengambil masa untuk diselesaikan". (Ilustrasi: iStock)
DataPost yang bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan institusi kewangan antara lain, memberitahu Mediacorp bahawa siasatannya "akan mengambil masa untuk selesai".
Dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap dari Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) berkata pihaknya sedia maklum mengenai kes tersebut dan ia turut sedang menjalankan siasatan.
Dalam serangan perisian tebusan, para pengancam biasanya menggunakan sofwe berniat jahat untuk mengaburkan maklumat dengan mencampuradukkan data pada server, kemudian menuntut wang tebusan sebagai ganti untuk membuka semula fail-fail tersebut.
Serangan didakwa berlaku terhadap DataPost dicatatkan pada 26 Mei lalu dan dilaporkan pada keesokan hari oleh blog maklumat keselamatan RedPacket Security dan platform keselamatan siber HookPhish.
Pencerobohan itu menyebabkan berlaku pemindahan data tanpa kebenaran dan dipercayai melibatkan pelbagai alat serta individu, sekali gus mencadangkan ia serangan yang diselaraskan, menurut RedPacket Security.
Kumpulan pengancam itu dikenali sebagai 'direwolf' dan ia dipercayai menggunakan beberapa pencuri maklumat atau sofwe berniat jahat yang menceroboh sistem komputer untuk mengumpul data.
Mediacorp sudah pun menghubungi DataPost bagi mendapatkan komen lanjut mengenai skala dan tahap serius serangan itu.
DataPost menyediakan perkhidmatan e-invois kepada institusi kewangan, syarikat insurans, syarikat telekomunikasi dan agensi pemerintah di Singapura dan Malaysia.
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura telah memperakui DataPost sebagai penyedia perkhidmatan bagi InvoiceNow, iaitu rangkaian e-invois yang digunakan di seluruh Singapura.
DataPost memberitahu Mediacorp syarikat itu akan mematuhi semua kewajipan kawal selia sepanjang tempoh siasatan.
“Kami mengambil serius keselamatan data kami dan akan terus mengambil langkah sewajarnya untuk menangani situasi ini,” kata syarikat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.