Skip to main content

Singapura

Syarikat pengendali didakwa atas pelbagai kerosakan di dormitori pekerja asing

Sebuah syarikat pengendali didakwa berhubung keadaan sebuah dormitori pekerja asing di Sungei Kadut yang didapati mempunyai pelbagai kekurangan, termasuk tempat membuang air kecil yang rosak, lubang pada dinding dan ketiadaan langsir mandi di tandas yang dikongsi.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat pengendali didakwa atas pelbagai kerosakan di dormitori pekerja asing

Dormitori di 31 Sungei Kadut Avenue. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 02:57PM
SINGAPURA: Sebuah syarikat pengendali didakwa berhubung keadaan sebuah dormitori pekerja asing di Sungei Kadut yang didapati mempunyai pelbagai kekurangan, termasuk tempat membuang air kecil yang rosak, lubang pada dinding dan ketiadaan langsir mandi di tandas yang dikongsi.

KT&T Engineers and Constructors berdepan lebih 20 pertuduhan di bawah Akta Dormitori Pekerja Asing kerana dikatakan gagal mematuhi syarat lesen operasinya.

Syarikat yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Syarikat KT&T itu kembali ke mahkamah pada Khamis (4 Jun) untuk sebutan lanjut kes tersebut.

Menurut kertas pertuduhan, KT&T Engineers and Constructors mempunyai Lesen Sementara Kelas 3 untuk mengendalikan sebuah dormitori pekerja asing di 31 Sungei Kadut Avenue.

Menurut laman web Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Lesen Sementara Kelas 3 membolehkan pengendali menguruskan dormitori yang menempatkan antara 300 hingga 999 penghuni.

Syarikat itu dituduh gagal memenuhi beberapa perkara berkaitan keadaan tempat tinggal yang disediakan di dormitori tersebut pada Januari atau Februari 2025.

Antara tuduhan yang dihadapi termasuk gagal membaiki beberapa tempat membuang air kecil yang rosak di tandas yang dikongsi, gagal membaiki mangkuk tandas cangkung yang rosak, gagal menampal lubang pada dinding yang rosak dan gagal membaiki lubang pada siling tandas yang dikongsi setelah ia karat.

Menurut kertas pertuduhan, turut ditemui jubin lantai yang pecah di koridor, kabel elektrik terdedah yang tergantung dari siling, kotak litar elektrik yang terdedah, batang besi yang tergantung dari siling, lampu rosak yang tergantung di tandas sebuah bilik yang diasingkan serta penghadang tandas yang rosak.

Syarikat itu juga dituduh gagal menyelenggarakan kipas siling yang longgar, gagal menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi kerana tidak memastikan soket elektrik boleh digunakan di salah sebuah bilik dan gagal menyediakan pengadang keselamatan pada beberapa katil dua tingkat.

Perkara tersebut dipercayai melanggar syarat lesen operasi kerana syarikat perlu menyediakan katil yang diperbuat daripada "bahan yang kukuh" dan tidak "menjejaskan keperluan rehat asas para penghuni".

Kertas pertuduhan turut memperincikan tangga katil dua tingkat yang rosak, kabinet besi dengan kunci yang tidak berfungsi sehingga menyebabkan penghuni tidak mempunyai kabinet berkunci untuk menyimpan barangan peribadi mereka, serta ketiadaan langsir mandi di tandas yang dikongsi. Syarikat itu juga dituduh gagal menyediakan kipas mekanikal di bilik pengasingan.

Menurut senarai kes mahkamah, syarikat itu diwakili Alvin Chang Jit Hua daripada firma guaman M & A Law.

Kes itu ditangguhkan ke Julai untuk sebutan lanjut.

Bagi setiap pertuduhan gagal mematuhi syarat lesen operasi, pesalah boleh dipenjara sehingga 12 bulan, didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita