Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat penerbangan China Southern mohon maaf, gantung tugas kakitangan panggil penumpang 'anjing'

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat penerbangan China Southern mohon maaf, gantung tugas kakitangan panggil penumpang 'anjing'

Gambar: Douyin dan WikimediaImages/pixabay

SINGAPURA: Seorang kakitangan Lapangan Terbang Changi bagi syarikat penerbangan China Southern, yang disyaki memanggil seorang penumpang "anjing" sudah digantung tugas. Ini setelah tular video yang menunjukkan pertikaian hangat di antara kedua-dua lelaki tersebut.

Syarikat penerbangan itu juga mengeluarkan satu kenyataan untuk menjelaskan insiden tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada penumpang berkenaan menerusi akaun rasminya di platform WeChat pada Sabtu (27 Mac).

Menurut laporan media China, penumpang tersebut sedang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Changi bagi penerbangannya ke Chongqing di China pada Selasa lalu (23 Mei) dan meminta untuk menukar tempat duduknya dengan seorang kakitangan di kaunter tersebut.

Encik Yuan kemudian diberitahu bahawa yuran tambahan akan dikenakan bagi tempat duduk berdekatan dengan pintu keluar kecemasan, tetapi beliau mendakwa bahawa beliau tidak diberi sebarang penjelasan lanjut oleh kakitangan tersebut.

Dalam mendapatkan penjelasan, lelaki tersebut pergi ke kaunter daftar masuk yang berlainan untuk bertanya sekiranya terdapat mana-mana pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

Meskipun beliau mendengar kakitangan bertutur dalam bahasa Mandarin dalam kalangan mereka, Encik Yuan menyatakan bahawa seorang pekerja lelaki berpura-pura tidak memahami bahasa tersebut dan enggan menjawab sebarang pertanyaan daripadanya.

Beliau menambah bahawa seorang pekerja wanita seterusnya berkata "Tidakkah anda lihat kami sibuk?" dalam bahasa Mandarin. Encik Yuan bagaimanapun mendakwa bahawa beliau merupakan satu-satunya pelanggan di kaunter daftar masuk tersebut pada ketika itu.

Menurut laporan dalam The Paper, Encik Yuan berkata bahawa beliau berasa didiskriminasikan kerana bertutur dalam bahasa Mandarin. Beliau bertanya nama serta nombor pekerja anggota kakitangan lelaki tersebut, sambil merakam perbualan mereka menggunakan telefon bimbitnya.

Pada ketika itu, kakitangan tersebut menyerang Encik Yuan secara lisan dengan memanggilnya "anjing" dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis.

Walaubagaimana pun, penghinaan yang dilontarkan oleh kakitangan tersebut tidak ditangkap dalam rakaman video insiden tersebut, yang dikongsi Encik Yuan di media sosial.

Kakitangan tersebut bagaimanapun didengar berkata: "Jika kau ingin menjadi seekor anjing, aku layan kau macam seekor anjing. Itu mudah."

SYARIKAT PENERBANGAN MEMOHON MAAF

Menyusuli insiden tersebut, syarikat China Southern Airlines Singapore mengeluarkan kenyataan di saluran rasminya di platform WeChat untuk mendedahkan bahawa kakitangan yang terlibat adalah seorang pekerja ejen perkhidmatan darat tempatan yang bekerja di bawah kontrak dengan syarikat penerbangan tersebut.

Syarikat tersebut sedia maklum bahawa bahasa yang digunakan "tidak wajar sama sekali" dan menambah bahawa ia sudah mengarahkan ejen tersebut untuk melarang pekerja itu daripada berkhidmat dengan penerbangannya.

Syarikat penerbangan tersebut turut menekankan komitmennya untuk meningkatkan standard perkhidmatan yang disediakan oleh agensi luar.

 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan