Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat pemula sisa makanan UglyFood ditutup setelah tidak dapat kumpul dana diperlukan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat pemula tempatan dengan misi untuk mengurangkan sisa makanan, UglyFood, akan menghentikan operasi setelah hampir tujuh tahun selepas pelancarannya.

Peruncit online itu menyatakan, melalui hantaran di Instagram pada Rabu (4 Jan), ia akan berhenti operasi kerana "tidak dapat mengumpulkan dana yang diperlukan untuk berkembang lanjut".

UglyFood akan mengadakan jualan pada potongan harga sempena penutupan syarikatnya di kedainya di Gambas Crescent hingga Ahad (8 Jan).

Pesanan online di lelamannya sudah dihentikan dan semua pesanan bagi penghantaran mulai Rabu sudah dibayar balik.

"Kami mungkin akan memulakan semula semuanya pada masa hadapan," tulis syarikat itu di saluran Telegramnya.

UglyFood dimulakan sebagai sebuah projek sekolah. Syarikat itu mengambil buah-buahan berlebihan dan yang kelihatan tidak begitu elok daripada para pengimport, pasar raya serta pemborong.

Pada 2021, UglyFood memberitahu Mediacorp ia sudah menyelamatkan 200 tan makanan sejak syarikat tersebut diasaskan pada 2016.

Di media sosial, syarikat berkenaan mendidik orang ramai mengenai isu sisa makanan dengan menggunakan ilustrasi dan animasi. Ini termasuk petua mengenai jangka hayat buah-buahan dan sayur-sayuran yang berbeza serta cara bagaimana untuk mengekalkan kesegarannya.

UglyFood sebelum ini mengumpulkan AS$120,000 (S$160,700) dalam pusingan paling awal pendanaan ketika membangunkan produk, menurut penyedia data perniagaan, Crunchbase.

Para pelanggan kecewa dengan berita mengenai penutupan UglyFood. Ramai di media sosial bertanya jika syarikat itu akan menerima pendanaan awam untuk kekal beroperasi.

Sisa makanan adalah antara aliran sisa terbesar di Singapura, dengan 817,000 tan dijana pada 2021.

UglyFood adalah antara syarikat pemula tempatan yang dibangunkan dengan tujuan untuk menangani masalah itu. Syarikat-syarikat lain termasuk treatsure, CRUST Group dan Good For Food.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan