Syarikat pemula SG Stick 'Em pemenang Hult Prize 2025; raih biaya permulaan AS$1 juta
Sebuah syarikat pemula tempatan dinamakan sebagai pemenang Hult Prize 2025 pada Jumaat (5 Sep), sekali gus meraih pembiayaan permulaan sebanyak AS$1 juta (S$1.28 juta).
Dari kiri ke kanan: Ketua Eksekutif Yayasan Hult Prize, Lori Van Dam; Adam Huh Dam; Chong Ing Kai; dan Pengerusi EF Education First, Philip Hult. (Gambar: Yayasan Hult Prize)
- Stick 'Em adalah sebuah syarikat teknologi pendidikan yang ditubuhkan pada 2021 oleh graduan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Adam Huh Dam; graduan Politeknik Singapura, Chong Ing Kai; dan pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), Tew Jing An.
- Pasukan Stick 'Em membawa pulang hadiah pertama di peringkat akhir global Yayasan Hult Prize yang diadakan di Tate Modern, London.
- Wang yang dimenangi itu akan digunakan untuk mengukuhkan lagi misi syarikat pemula tersebut dalam menjadikan pendidikan STEAM “lebih mampu dimiliki dan mudah diakses” oleh sekolah-sekolah di seluruh dunia, menurut SUTD pada Isnin.
- Stick 'Em mengatasi tujuh finalis global yang lain, dengan model perniagaan yang merangkumi usaha mengitar semula sisa tebu untuk dijadikan sebagai pembungkusan mudah urai atau 'biodegradable' hingga ke huraian dipacu kecerdasan buatan (AI) yang menyediakan latihan peribadi kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah pertuturan.
Stick 'Em adalah sebuah syarikat teknologi pendidikan yang ditubuhkan pada 2021 oleh graduan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Adam Huh Dam; graduan Politeknik Singapura, Chong Ing Kai; dan pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), Tew Jing An.
Syarikat pemula itu menyediakan kit Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) yang mampu dimiliki, digabungkan dengan platform pembelajaran online yang membolehkan para guru mengendalikan kelas mereka sendiri.
Pasukan Stick 'Em membawa pulang hadiah pertama di peringkat akhir global Yayasan Hult Prize yang diadakan di Tate Modern, London.
Wang yang dimenangi itu akan digunakan untuk mengukuhkan lagi misi syarikat pemula tersebut dalam menjadikan pendidikan STEAM “lebih mampu dimiliki dan mudah diakses” oleh sekolah-sekolah di seluruh dunia, menurut SUTD pada Isnin.
Anugerah Hult Prize tahunan itu sering dirujuk sebagai “Hadiah Nobel untuk pelajar”, yang menjemput usahawan berasaskan keuntungan dalam kalangan pelajar untuk mencipta perniagaan yang menyasarkan cabaran global yang mendesak.
Edisi tahun ini menarik lebih 200,000 peserta dari 130 negara serta hampir 2,000 universiti, dan menjana 15,000 idea syarikat pemula.
Sebuah panel pemimpin global dalam bidang modal teroka, kemampanan dan keusahawanan, termasuk Piers Linney, bekas pelabur dalam rancangan realiti Dragons’ Den terbitan BBC, memilih pemenang hadiah tersebut.
Stick 'Em mengatasi tujuh finalis global yang lain, dengan model perniagaan yang merangkumi usaha mengitar semula sisa tebu untuk dijadikan sebagai pembungkusan mudah urai atau 'biodegradable' hingga ke huraian dipacu kecerdasan buatan (AI) yang menyediakan latihan peribadi kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah pertuturan.
Keluarga Hult, yang mengasaskan dan memiliki EF Education First – syarikat pendidikan swasta terbesar di dunia – membiayai Hult Prize.
Ketua Eksekutif Hult Prize, Lori van Dam, berkata: “Dunia sedang berdepan cabaran yang semakin kompleks. Badan-badan bukan keuntungan sahaja tidak cukup untuk merapatkan jurang yang diwujudkan oleh sektor awam, terutama sekali sambil berdepan sumber yang terhad dan keutamaan penderma yang berubah-ubah.
"Sektor swasta – yang sering dilihat sebagai sebahagian daripada masalah – mempunyai peluang penting untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
“Stick 'Em adalah sebuah perniagaan bercita-cita tinggi yang paling menonjol daripada 15,000 idea syarikat pemula dengan visi yang jelas bagi pertumbuhan global.
"Saya berbesar hati dan ingin mengucapkan tahniah atas kemenangan mereka dan tidak sabar menyaksikan langkah seterusnya.”
SUTD menarik perhatian kepada kriteria penilaian yang "menyeluruh" bagi Hult Prize, yang mengambil kira komitmen dan kepakaran pasukan, keberkesanan dan kemampanan idea, keselarasan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta keupayaan bagi sesebuah perniagaan itu berkembang.
Pertandingan Hult Prize merangkumi beberapa pusingan, bermula dengan peringkat kebangsaan di Singapura yang diadakan di NUS, diikuti Peringkat Inkubator Digital Global dan pemilihan pasukan peringkat akhir.
Pengasas bersama Stick 'Em, Adam, berkata: “Apabila kami memohon bagi pertandingan, saya benar-benar tidak sangka kami boleh menang. Dinobatkan sebagai juara global masih terasa seperti satu mimpi.
"Namun kemenangan ini bukan tentang kita. Ia tentang setiap pelajar yang berhak mendapat peluang untuk belajar, membina dan berinovasi tidak kira latar belakangan mereka.
"Kami teruja untuk menggunakan momentum ini untuk mencipta perbezaan yang berkekalan dalam kehidupan berjuta-juta pelajar di seluruh dunia.”
Presiden SUTD, Profesor Phoon Kok Kwang, menarik perhatian bahawa Stick 'Em “membantu menjadikan pendidikan STEAM lebih mampu dimiliki dan mudah diakses oleh puluhan ribu pelajar”.
Universiti itu menambah bahawa kemenangan tersebut “menandakan satu pencapaian penting bagi ekosistem inovasi dan syarikat pemula Singapura”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.