Syarikat pemula S'pura uji ubat rawat kucing sebagai penawar COVID-19
Sedang seluruh dunia mengejar masa untuk mencari penawar yang berkesan bagi COVID-19, sebuah syarikat pemula bioperubatan yang berpangkalan di Singapura dan Malaysia percaya ia mungkin mempunyai penawarnya.
(Gambar: Unsplash)
SINGAPURA: Sedang seluruh dunia mengejar masa untuk mencari penawar yang berkesan bagi COVID-19, sebuah syarikat pemula bioperubatan yang berpangkalan di Singapura dan Malaysia percaya ia mungkin mempunyai penawarnya: ubat antivirus yang dihasilkan oleh syarikat itu berjaya merawat virus korona dan leukaemia pada kucing.
Ubat yang diberi nama Retromad1 itu disahkan berkesan untuk merawat virus leukemia (radang paru-paru) dan virus peritonitis (radang peritoneum yang mudah berjangkit dalam kalangan kucing, kedua-dua virus itu boleh membawa maut pada kucing.
Virus peritonitis yang berjangkit itu dikenali sebagai FeCoV, iaitu virus korona daripada kelompok yang sama seperti Sars-CoV-2, virus yang menyebabkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan manusia.
Ketua Pegawai Eksekutif Biovalence Technologies, Dr Ng Cher Yew yang menghasilkan ubat itu mengatakan Retromad1 digunakan oleh sesetengah klinik haiwan di Singapura.
Ubat itu pada awalnya dihasilkan untuk merawat penyakit herpes dalam kalangan manusia, meskipun ia belum diuji secara rasmi untuk kegunaan tersebut. Biovalence kini sedang meninjau bagaimana ubat itu menjejas virus korona yang menyebabkan COVID-19.
Lazimnya ia mengambil masa selama beberapa tahun sebelum ubat itu boleh diuji sepenuhnya dan mendapatkan kelulusan klinikal bagi kegunaan manusia, namun kajian perubatan mengenai virus Sars-CoV-2 dijalankan pada rentak yang pantas di tengah-tengah pandemik yang berlaku sekarang.
Pihak berkuasa kesihatan Singapura menggunakan ubat lopinavir-ritonavir dan ia dilaporkan menunjukkan kemajuan yang baik. Ia biasanya digunakan bagi rawatan HIV dan Aids.
Beberapa negara menggunakan ubat remdesivir, sejenis ubat antivirus yang dihasilkan oleh Gilead Sciences, sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pada bulan lalu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengatakan "terdapat usaha signifikan untuk menghasilkan rawatan dan protokol" bagi membantu para pesakit sembuh.
DICIPTA DI S'PURA DAN M'SIA
Apabila ditanya mengapa Biovalence yakin bahawa ubat itu dapat merawat virus COVID-19, jurucakapnya berkata beberapa kertas kajian menunjukkan satu mutasi khusus Sars-CoV-2 mempunyai persamaan dengan bagaimana denggi, Ebola, FeCoV dan HIV menjangkiti hosnya menerusi sejenis enzim yang dikenali sebagai protease Furin.
Tidak seperti Sars-CoV-2, para saintis mendapati wabak SARS yang meragut nyawa 33 orang di Singapura semasa penularan virus itu pada 2003 tidak mempunyai ciri-ciri sedemikian.
Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia yang dikuatkuasakan hari ini, juga mungkin menghambat usaha jangka pendek untuk menguji ubat itu kerana makmal-makmalnya terletak di Malaysia.
Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh syarikat pemula itu adalah ketersediaan ubat itu untuk diuji. Bekalan sampel virus korona dalam makmal bagi tujuan kajian semakin berkurangan, meskipun China sudah mengongsikan urutan genom secara terbuka pada Januari.
Sedang syarikat itu menimbangkan untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat, ia juga berharap dapat mempercepatkan proses ujian di Singapura.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.