Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat pemula S'pura lancar aplikasi angkut pekerja guna bas mini ikut permintaan

Sebuah syarikat pemula Singapura melancarkan wadah untuk menempah bas mini untuk mengangkut pekerja hijrahan, dengan harapan menawarkan alternatif kepada lori - yang masih digunakan oleh banyak firma tempatan untuk mengangkut pekerja. Namun soalnya, adakah ia akan mendapat sambutan yang diharapkan?

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat pemula S'pura lancar aplikasi angkut pekerja guna bas mini ikut permintaan

Pekerja hijrahan diangkut guna bas mini (Gambar ihsan: Aespada)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 09:02AM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 09:08AM

SINGAPURA: Sebuah syarikat pemula Singapura melancarkan wadah untuk menempah bas mini untuk mengangkut pekerja hijrahan, dengan harapan menawarkan alternatif kepada lori - yang masih digunakan oleh banyak firma tempatan untuk mengangkut pekerja.

Namun soalnya, adakah ia akan mendapat sambutan yang diharapkan?

Awal tahun ini, beberapa kemalangan membabitkan lori yang membawa pekerja hijrahan mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan kaedah pengangkutan ini.

Bagaimanapun firma-firma tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SME), berulang kali menekankan bahawa kos menyewa bas untuk pekerja adalah terlalu tinggi.

Encik Jean Christophe Li, pengasas Aespada, berkata khidmat bas mini aplikasi itu bertujuan untuk memenuhi keperluan firma sedemikian.

Kata Encik Li: "Ini sudah menjadi isu selama sedekad, dengan pekerja yang menaiki lori seperti haiwan ternakan. Terutamanya, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, cuaca hujan hampir setiap hari, anda dapat melihat pekerja cuba berlindung di bawah beg sampah.

"Apa yang kami tawarkan ialah pilihan alternatif segera untuk syarikat di luar sana yang ingin menyediakan pengangkutan yang lebih baik dan selamat untuk pekerja mereka."

Sementara syarikat besar dengan berpuluh atau ratusan pekerja mampu menyewa bas yang boleh menampung kira-kira 45 penumpang, ini tidak praktikal untuk kebanyakan kontraktor dan subkontraktor, yang membuat perjalanan tidak menentu dengan hanya beberapa belas atau kurang pekerja setiap kali perjalanan.

BAGAIMANA APP BERFUNGSI?

Aplikasi Aespada, yang dilancarkan tahun lalu, pada mulanya menghubungkan syarikat kepada rangkaian kenderaan berat termasuk lori dan kren lori.

Bulan ini, ia menambah bas-bas mini ke platformnya yang menurut Encik Li pihak syarikat "boleh akses 24/7 untuk tempah perjalanan ad hoc atau berjadual untuk membawa pekerja mereka merata Singapura".

Bas-bas itu boleh membawa tujuh, sembilan atau 13 pekerja dan setiap perjalanan berharga S$55 hingga S$65, bergantung kepada bilangan pekerja.

Encik Li berkata sekitar 25 syarikat sudah mendaftar setakat ini dan terdapat pertanyaan untuk perjalanan jangka panjang dan tetap serta bagi perkhidmatan ad hoc "atas permintaan".

"Kami lengkapkan lima perjalanan minggu lepas di bawah percubaan dengan satu syarikat. Kami akan membuka kepada (syarikat-syarikat) lain bermula minggu selepas kami membuat beberapa penambahbaikan untuk memperbaiki pengalaman pengguna," katanya sambil menambah bahawa beliau melihat "permintaan positif".

Beliau menambah bahawa terdapat 235 bas komited untuk menyertai platform itu dan pendaftaran akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan akan datang apabila permintaan meningkat.

Walaupun firma itu tidak memiliki kenderaan-kenderaan tersebut, ia "menggabungkan" penyedia pengangkutan bersaiz kecil dan sederhana di wadahnya untuk tempahan, sama seperti yang dilakukan Grab untuk kereta sewa privet, jelas Encik Li.

REAKSI MAJIKAN

Encik Terence Lum, pengarah eksekutif di Loh & Sons Paint Co, mendaftar di platform itu dan berharap ia dapat menangani beberapa kebimbangan syarikat berhubung keselamatan.

Beliau berpendapat aplikasi itu berguna secara ad hoc apabila syarikat itu perlu membawa pekerja ke tapak kerja yang berbeza.

“Perkhidmatan sebegini mungkin mampu menawarkan cara pengangkutan yang lebih selamat (dan) pada masa yang sama dapat...memastikan kos terkawal,” katanya, sambil mengakui yang kos tinggi menjadi suatu isu yang dihadapi industri binaan sejak kebelakangan ini.

Namun tidak semua pihak menyambut baik aplikasi itu. Encik Lim Han Eng, pemilik Aik San Construction, berpendapat tidak salah untuk mengangkut pekerja dengan lori.

"Semua jenis kenderaan boleh terlibat dalam kemalangan, bukan lori sahaja. Saya boleh menggunakan lori saya untuk mengangkut kedua-dua peralatan dan pekerja," katanya dalam bahasa Mandarin.

"Orang luar tidak memahami operasi kami...Kami memastikan pekerja kami memandu dengan selamat dan mematuhi peraturan jalan raya."

Dr Stephanie Chok, anggota exco kumpulan kebajikan pekerja asing TWC2, berkata pengangkutan dengan van mini pastinya merupakan pilihan yang lebih baik, selamat dan selesa untuk pekerja.

Beliau melahirkan harapan agar "lebih banyak syarikat memilih untuk gunakan van mini dan bukan lori untuk mengangkut pekerja".

"Pekerja hijrahan tidak patut diangkut di belakang lori seperti barang atau haiwan ternakan: Mereka sepatutnya diangkut dengan selamat, selesa dan bermaruah," tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan