Syarikat pemula S'pura bangunkan app yang boleh pantau kesihatan guna kamera telefon
Dengan hanya memegang telefon di depan muka anda selama sekitar seminit, kadar denyutan jantung, paras oksigen, kadar pernafasan dan tahap tekanan anda dapat dibaca dengan ketepatan ikut piawai perubatan.

Pengasas Nervotec Jonathan Lau dengan aplikasi dibangunkan firmanya (Gambar: Daryl Choo/TODAY)
SINGAPURA: Dengan hanya memegang telefon di depan muka anda selama sekitar seminit, kadar denyutan jantung, paras oksigen, kadar pernafasan dan tahap tekanan anda dapat dibaca dengan ketepatan ikut piawai perubatan.
Itulah yang dijanjikan oleh syarikat pemula kesihatan Singapura Nervotec menerusi aplikasinya, yang mengesan tanda-tanda penting kesihatan pengguna dengan mengkaji bagaimana pemantulan cahaya dari wajah pengguna berubah mengikut pengaliran darah di bawah kulit.
Aplikasi mudah alih itu, boleh digunakan di hampir semua telefon bijak yang dilengkapi dengan kamera menghadap depan. Ia kemudian menyalurkan data melalui enjin kecerdasan buatan untuk mengira skor kesihatan pengguna secara keseluruhannya.
Skor kesihatan yang buruk mungkin menandakan penyakit, tekanan yang berlebihan atau mungkin juga jangkitan COVID-19. Ini kerana beberapa pesakit COVID-19 diketahui menunjukkan keadaan yang disebut sebagai hipoksia senyap, apabila kadar oksigen turun dengan begitu perlahan sehingga pesakit sendiri tidak menyedarinya.
Pengasas Nervotec, Jonathan Lau berkata, teknologi syarikat itu dapat melengkapi pemeriksaan suhu badan yang dilakukan di tempat awam dan pejabat.
Mentelah lagi, tanda-tanda demam hanyalah salah satu gejala COVID-19, katanya.
KETEPATAN PENUHI PIAWAI FDA
Menurut Encik Lau, aplikasi tersebut dapat mengukur kadar degupan jantung seseorang dengan lingkungan ketepatan dua denyutan seminit dan paras oksigen dalam aliran darah - dalam lingkungan dua peratusan mata.
Bagaimanapun, aplikasi tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik apabila sumber cahaya buatan seperti lampu berada dekat dengan kamera kerana kelipan lampu bal berkelajuan tinggi mengganggu bacaan.
Ketepatan aplikasi tersebut, kata Encik Lau, memenuhi piawaian untuk mendapatkan kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) bagi kegunaan perubatan. Sasaran itu ingin dicapai pasukannya dalam masa 18 bulan akan datang.
Aplikasi itu akan kemudian mendapat kelulusan lebih pantas dari Penguasa Sains Kesihatan Singapura untuk digunakan di sini, jelas beliau.
25 anggota dalam pasukan di Nervotec itu sedang membangunkanversi terkini yang membolehkan pengguna mengambil bacaan mereka walaupun dengan memakai pelitup.
Ia juga sedang berusaha bagi aplikasi itu digunakan untuk perkhidmatan teleperubatan pada masa akan datang.
PANTAU KESEJAHTERAAN KAKITANGAN
Pembangunan aplikasi Nervotec itu disokong Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) menerusi Wadah Inovasi Terbuka, sebuah program yang memadankan perniagaan dengan penyedia huraian. Nervotec juga adalah anggota Konsortium Teknologi Kesihatan Singapura yang dilancarkan pada 2019 oleh Yayasan Penyelidikan Kebangsaan (NRF) untuk memadankan rakan kongsi perusahaan dengan golongan akademik di institut penyelidikan dan institusi pengajian tinggi.
Buat masa ini aplikasi Nervotec ditawarkan di pasaran melalui model perniagaan untuk perniagaan dan tidak disediakan untuk pengguna awam.
Pembuat permainan tempatan Mighty Jaxx sedang menguji aplikasi tersebut dengan mendapatkan pekerjanya mengambil bacaan kesihatan mereka sebelum meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.
Dalam dua minggu pertama ujian tersebut, ia berjaya mengenal pasti pekerja yang kurang sihat tetapi masih ingin kembali ke pejabat untuk sesi bergambar.
Apabila pekerja itu diarah berjumpa doktor, beliau didiagnos mengalami demam selesema.
Beberapa syarikat besar dalam industri perkhidmatan dan binaan di Singapura, yang namanya belum dapat didedahkan, juga sudah mula menggunakan aplikasi tersebut untuk menjejaki kesihatan pekerja mereka.
Dengan lebih ramai yang bekerja dari rumah sejak pandemik COVID-19, aplikasi seperti ini juga dapat membantu majikan memantau kesejahteraan fizikal dan mental kakitangan mereka dengan lebih baik, kata ketua pegawai operasi Mighty Jaxx, Melissa Wong.
"Kadang-kala pekerja tidak akan berani menyuarakan bahawa mereka tidak sihat badan... jadi mempunyai data itu adalah faktor pendorong tambahan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.