Syarikat pembersihan kereta mengaku terbitkan ulasan palsu di Sgcarmart
Sebuah syarikat pembersihan kereta didapati memuat naik ulasan palsu seolah-olah pelanggan memberikan 5-bintang.
Petikan skrin yang menunjukkan ulasan di laman perniagaan Lambency Detailing di Sgcarmart pada 26 November 2024. (Gambar: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura)
Quantum Globe, pemilik dan pengendali Lambency Detailing, mengaku menerbitkan ulasan yang dicipta ChatGPT menggunakan maklumat para pelanggan tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka.
“Ini merupakan kes ulasan palsu kedua yang dibongkar CCCS, dan kes pertama melibatkan kedua-dua platform pihak ketiga dan penggunaan AI untuk mencipta ulasan-ulasan palsu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CCCS Alvin Koh.
Pengawas pengguna itu memulakan siasatan terhadap kes tersebut pada Januari di bawah undang-undang perdagangan adil Singapura.
Ini selepas satu aduan diterima daripada seorang pelanggan Lambency Detailing yang menemukan ulasan yang tidak disahkannya diterbitkan di laman Sgcarmart, sebuah platform online untuk membeli dan menjual kereta. Menurut lamannya, Lambency Detailing menyediakan pelbagai perkhidmatan pembersihan kereta daripada pencucian tangan hingga ke pemulihan.
Semasa siasatan, CCCS mengesahkan dengan tujuh pelanggan lain bahawa ulasan palsu yang menyertakan nama pelanggan, nombor pendaftaran kenderaan dan gambar kenderaan mereka turut diterbitkan tanpa kebenaran.
Quantum Globe kemudian mengaku bahawa pihaknya menulis ulasan tersebut, dengan menggunakan ChatGPT untuk menjana ulasan berdasarkan perkhidmatan yang diberikan kepada para pelanggan tersebut.
Ulasan-ulasan itu dihantar melalui kod QR yang disediakan Sgcarmart, membolehkan para pengguna memberi maklum balas mengenai perniagaan tanpa perlu memiliki akaun dengan platform tersebut, Facebook atau Google.
“Penerbitan ulasan pelanggan palsu oleh sebuah perniagaan berkaitan urus niaga pengguna adalah amalan perdagangan yang tidak adil, kerana pengguna mungkin diperdaya untuk berfikir bahawa produk itu lebih diterima dengan baik berbanding hakikatnya, dan dengan itu membuat keputusan pembelian yang tidak tepat,” menurut CCCS.
AMBIL TINDAKAN
Menurut CCCS, Quantum Globe mengaku terlibat dalam amalan perdagangan tidak adil dan sudah memberi jaminan bahawa ia akan berhenti menerbitkan ulasan palsu.
Syarikat itu juga bersetuju untuk mengadakan saluran maklum balas selama enam bulan untuk memudahkan laporan berhubung ulasan palsu pada Sgcarmart oleh para pelanggan.
Ia juga akan memaklumkan kepada para pelanggan yang terjejas bahawa maklumat mereka digunakan dalam ulasan palsu yang diterbitkan sebelum ini antara Oktober 2024 dan Januari 2025, dan menjemput mereka untuk melaporkan ulasan palsu tersebut melalui saluran maklum balas yang disediakan.
Selain itu, Quantum Globe bersetuju untuk menerbitkan notis selama enam bulan di Sgcarmart dan setiap platform online yang digunakan untuk mempromosikan Lambency Detailing. Notis itu bertujuan untuk memberitahu pelanggan bahawa ia pernah menyiarkan ulasan palsu dan memaklumkan mereka tentang saluran maklum balas yang tersedia.
Mana-mana ulasan di Sgcarmart yang disahkan sebagai palsu hendaklah dikeluarkan dalam tempoh lapan hari bekerja, termasuk ulasan yang dikenal pasti oleh CCCS semasa siasatannya.
Pengarah Quantum Globe, Matthew Lim Jun Ho, juga memberi jaminan kepada CCCS bahawa beliau tidak akan terlibat dalam sebarang amalan perdagangan tidak adil atau memudahkan mana-mana perniagaan di bawah kawalannya untuk berbuat demikian.
Sebagai maklum balas terhadap siasatan, pemilik dan pengendali Sgcarmart, SGCM, sedang mempertimbangkan kaedah pengesahan tambahan, seperti pengesahan melalui SMS atau emel, untuk meningkatkan integriti dan keaslian ulasan di platformnya, menurut CCCS.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, Lambency Detailing, yang pusat perincian automotifnya terletak di Ubi, menyatakan bahawa ia “menerima tanggungjawab sepenuhnya” bagi ulasan palsu itu.
“Ulasan ini ditulis oleh para pekerja tanpa pendedahan yang betul, dan ini tidak sepatutnya berlaku. Kami memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pelanggan kami, Sgcarmart, dan orang ramai.
“Menegakkan kepercayaan dan ketelusan adalah teras perniagaan kami, dan kami mengakui bahawa kejadian ini telah menjejaskan nilai-nilai tersebut.
“Kami telah mengambil langkah segera untuk mengeluarkan ulasan-ulasan dan melaksanakan garis panduan yang lebih ketat untuk memastikan semua komunikasi masa depan mencapai tahap yang diharapkan daripada kami. Kami kekal komited untuk membina semula kepercayaan pelanggan kami dengan cara yang betul, melalui cara jujur dan maklum balas yang tulen.”
Ulasan yang terlalu positif boleh menjadi tanda amaran, begitu juga dengan ulasan generik yang tidak mempunyai perincian atau menggunakan kata-kata umum seperti “menakjubkan” atau “sempurna”.
Pengguna juga harus berwaspada jika terdapat banyak ulasan yang diterbitkan atas nama yang sama, menggunakan bahasa yang serupa, atau mempunyai kesalahan ejaan atau tatabahasa yang berulang atau serupa, menurut CCCS.
Orang ramai juga boleh menghubungi Persatuan Pengguna Singapura (CASE) untuk melaporkan kes amalan perdagangan tidak adil oleh perniagaan yang melanggar undang-undang, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.