Syarikat pelancongan siap sedia strategi raih manfaat baucar SingapoRediscovers
Sesetengah syarikat pelancongan di sini tidak begitu optimis terhadap manfaat baucar SingapoRediscover dan mereka sebaliknya berharap agar mereka akan diberikan lebih banyak rangsangan untuk merancakkan perniagaan masing-masing selepas lawatan dan penginapan hotel disambung semula baru-baru ini.

Sesetengah syarikat pelancongan di sini tidak begitu optimis terhadap manfaat baucar SingapoRediscovers. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Sesetengah syarikat pelancongan di sini tidak begitu optimis terhadap manfaat baucar SingapoRediscover dan mereka sebaliknya berharap agar mereka akan diberikan lebih banyak rangsangan untuk merancakkan perniagaan masing-masing selepas lawatan dan penginapan hotel disambung semula baru-baru ini.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengumumkan pada Rabu (16 Sep) bahawa setiap rakyat Singapura yang berusia 18 tahun ke atas pada 2020 akan menerima baucar SingapoRediscovers bernilai S$100, yang boleh digunakan untuk penginapan hotel dalam negeri, pembelian tiket daya tarikan pelancong dan lawatan berpandu.
Baucar itu boleh digunakan antara Disember tahun ini hingga hujung Jun tahun depan dan maklumat lanjut mengenai mekanisme baucar berkenaan akan diumumkan pada November.
Para pengendali memberitahu Mediacorp bahawa mereka menjangkakan lebih banyak perniagaan daripada baucar itu yang dilancarkan untuk menyokong industri pelancongan tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Pengasas Oriental Travel and Tours, Encik Stanley Foo memberitahu Mediacorp bahawa beliau sudahpun menerima beberapa pertanyaan daripada para pelanggan yang berminat untuk memanfaatkan baucar mereka bagi pakej yang disediakan oleh syarikat tersebut.
"Apa yang kami sedang merancang adalah untuk menawarkan pelbagai lawatan yang akan menarik minat rakyat tempatan kerana kami sedar bahawa ramai rakyat tempatan ... sedang mencari pengalaman yang unik," tambahnya.
Buat masa ini, antara tawaran syarikat itu termasuk kegiatan Creepy Tales Of Singapore dan lawatan ke Pulau Ubin.
"Oleh itu kami tidak boleh setakat menawarkan lawatan tradisional saja. Kita mesti menawarkan sesuatu yang lebih unik, sesuatu yang akan menggalak mereka untuk menggunakan baucar tersebut," menurut Encik Foo.
Meskipun beliau menjangkakan syarikat itu tentu sekali akan menyaksikan peningkatan pada jumlah tempahan setelah baucar tersebut dilancarkan pada Disember, beliau tidak dapat meramalkan berapa besar peningkatan itu.
Beliau menganggarkan jumlah tempahan mungkin akan meningkat sekitar 30 peratus disebabkan oleh penggunaan baucar tersebut. Menurut Encik Foo, penginapan hotel mungkin lebih popular berbanding lawatan dan daya tarikan pelancong.
"Penginapan hotel bukanlah sesuatu yang murah. S$100 tidak banyak, apabila anda menginap di hotel, baucar tersebut mungkin sudah habis digunakan, anda mungkin perlu menambah wang. Dan kanak-kanak tidak diberikan baucar itu, hanya orang dewasa saja. Oleh itu pasangan muda dengan anak-anak yang berusia bawah 18 tahun ... apa yang mereka boleh lakukan dengan S$200?" tambahnya.
Besar kemungkinan pasangan muda yang tidak mempunyai anak akan menggunakan baucar itu untuk penginapan hotel, tambahnya. "Dan apabila mereka menggunakannya untuk penginapan, ini bermakna mereka tidak akan berbelanja untuk menempah lawatan. Saya berpendapat mungkin 20 hingga 30 peratus penduduk Singapura akan menggunakannya untuk menempah lawatan. Manakala 50 peratus akan membelanjakannya untuk penginapan, dan 20 hingga 30 peratus untuk daya tarikan."
Pengasas Let’s Go Tour Singapore, Encik Robin Loh yang turut mengongsi pandangan yang sama dengan Encik Foo berkata syarikat-syarikat pelancongan mungkin bukan kumpulan asas yang akan meraih manfaat daripada baucar tersebut. Meskipun skim itu "berita sangat baik", beliau "tidak begitu yakin" ia akan merancakkan perniagaannya dengan ketara.
"Saya berpendapat rakyat Singapura mungkin lebih cenderung akan menggunakan baucar itu untuk penginapan hotel," menurutnya kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa sektor perhotelan akan meraih "manfaat paling besar" daripada baucar tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.