Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat, pekerja penghantaran makanan ambil langkah tegas bendung penularan COVID-19

Satu lagi kes COVID-19 membabitkan pekerja penghantaran dilaporkan semalam (28 Mei), manakala tiga orang ditambah kepada kelompok dikaitkan dengan pekerja penghantaran.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu lagi kes COVID-19 membabitkan pekerja penghantaran dilaporkan semalam (28 Mei), manakala tiga orang ditambah kepada kelompok dikaitkan dengan pekerja penghantaran.

Kelompok penunggang penghantar makanan COVID-19 itu melibatkan pekerja penghantaran McDonald's dan mereka yang digajikan syarikat I-VIC Logistic Pte Ltd.

Lantaran itu, langkah berjaga-jaga tambahan sudah dilaksanakan termasuk kaedah mengambil dan menghantar pesanan tanpa sentuhan.

Ini bagaimanapun tidak bermakna platform penghantaran makanan seperti Hungryy, yang tidak terjejas dengan kelompok itu, hanya berpeluk tubuh.

PASTIKAN PEKERJA PATUHI LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT

Menurut pengarah syarikat Hungryy, Encik Zulkifli Rahmat, sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu lagi, syarikat tersebut sudah memastikan pekerjanya mematuhi langkah pengurusan selamat yang ketat.

"Penghantar makanan kami dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan pelitup muka dan seberapa yang boleh juga jangan masuk ke dalam kawasan restoran melainkan lokasi pengambilan makanan itu berada dalam restoran itu sendiri," kata Encik Zulkifli.

"Kami juga sering mengingatkan mereka supaya jangan lepak di tempat yang berkelompok," tambahnya lagi.

Dengan langkah-langkah lebih ketat itu, Hungryy menyaksikan lebih ramai pemohon yang ingin bekerja dengan syarikat tersebut.

Ini meskipun ada peningkatan kes COVID-19 yang melibatkan penghantar makanan.

KEBIMBANGAN ADA TETAPI TUGAS TETAP DIJALANKAN

Bagi pekerja penghantaran pula, meski akur bimbang adanya kelompok melibatkan rakan kerja mereka, ia juga tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menjalankan tugas dengan selamat.

"Kebimbangan itu ada sebab kami pergi ke pusat membeli-belah untuk mengambil pesanan makanan dan kami tidak tahu siapa yang terjejas. Jadi setiap hari merupakan satu pertaruhan bagi kami semua," kata Encik Adib Amali, penghantar makanan di Hungryy.

Namun, bagi Encik Adib yang sudah hampir 10 tahun berkhidmat sebagai seorang penghantar makanan, kebimbangan ini tidak mematahkan semangatnya untuk bekerja.

Langkah berjaga-jaga yang ditetapkan dan diajar oleh syarikat dipatuhi dengan ketat bagi memastikan keselamatan dirinya serta pelanggan.

"Memang jangkitan ini sesuatu yang membimbangkan tetapi kita juga harus berfikiran realistik. Kalau kita terlalu bimbang sehinggakan tidak mahu bekerja, duit pun tidak akan masuk," ujar Encik Adib, 28 tahun.

Bagi penghantar makanan sambilan bersama Grab dan Foodpanda, Encik Fathur Rahman Hasan, pula, kelompok penunggang penghantar makanan yang semakin meningkat pernah membuatkannya ingin berhenti.

"Saya pernah terfikir untuk berhenti, tetapi bila saya fikir balik, kalau semua orang mempunyai fikiran yang sama, siapa yang akan menghantar makanan kepada orang ramaikan?" katanya yang berusia 21 tahun.

Sama seperti Encik Adib, beliau juga mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tidak dijangkiti virus itu.

Menurut Encik Fathur, ada beberapa rakannya yang sudah berhenti kerja apabila mendapat tahu tentang kelompok melibatkan pekerja penghantaran, dan merancang untuk kembali bekerja hanya setelah situasi bertambah baik.

Namun, bagi pelajar dari Politeknik Republic ini, beliau tetap bekerja untuk mencari pendapatan bagi membantu keluarga.

Pokoknya langkah berjaga-jaga yang ketat bagi membendung penularan koronavirus sudah sedia ada - dari pihak restoran, pekerja mahupun syarikat penghantaran.

Apa yang penting adalah bagi setiap orang tingkatkan waspada dan memainkan peranan masing-masing untuk mengatasi COVID-19. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan