Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat mesti beri peluang kepada lebih ramai pekerja S'pura jangkaui sijil, pengalaman

Singapura juga boleh mewujudkan kelebihan berpanjangan dari segi daya saing dengan menjadi sebuah negara yang pantas belajar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para majikan mesti memainkan peranan yang besar melatih para pekerja serta bersikap terbuka dan mahu memberi peluang kepada lebih ramai pekerja Singapura, sekali gus menerima mereka menjangkaui sijil dan pengalaman lalu.

Demikian tekan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Mariam Jaafar, dalam ucapan sulung beliau di parlimen hari ini (31 Ogos) sebagai seorang AP.

Cik Mariam juga berkata beliau menyokong seruan Presiden Halimah Yacob semasa merasmikan pembukaan Parlimen ke-14 pada 24 Ogos lalu, agar jaringan keselamatan dan mobiliti sosial diperkukuh.

Lantaran itu, kata Cik Mariam, salah satu syaratnya adalah supaya Singapura kekal berdaya saing.

Cik Mariam memetik kata-kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau di Davos pada 2018 yang berkata rentak perubahan tidak pernah sepesat sekarang namun ia juga tidak akan menjadi lebih perlahan. Dalam dunia seperti ini, yang menang adalah mereka yang dapat belajar dengan pantas berbanding yang lain dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Maka, beliau percaya Singapura juga boleh mewujudkan kelebihan berpanjangan dari segi daya saing dengan menjadi sebuah negara yang pantas belajar.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk bergerak dengan pantas sekali demi membantu rakyat menimba kemahiran yang berkaitan dengan pekerjaan dan membuka peluang-peluang untuk mereka manfaatkan kemahiran-kemahiran tersebut," kata Cik Mariam.

Untuk mencapai matlamat tersebut, AP penggal pertama itu menambah, para majikan mesti memainkan peranan yang besar dalam mencari huraiannya.

"Pertama, majikan mesti lebih bertanggungjawab ke atas pembelajaran para pekerja mereka. Kedua, majikan mesti mahu memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Singapura dan menerima mereka menjangkaui sijil dan pengalaman lalu.

"Sebaliknya, membuat keputusan menggajikan pekerja dan memastikan peningkatan mereka berdasarkan kemahiran yang sudah ditimba," kata Cik Mariam.

MELABUR DALAM TENAGA KERJA

Cik Mariam juga berkata, syarikat-syarikat yang melabur ke atas pekerja rakyat Singapura akan mendapat ganjaran terbesar dalam jangka panjang.

Menurut beliau, semua syarikat perlu melalui perubahan namun kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mengharungi perubahan tersebut - seperti kemahiran teras digital, kemahiran perubahan, kemahiran insani - semuanya berkurangan.

"Syarikat-syarikat boleh membeli, meminjam atau mendapatkan sumber luar bagi memenuhi kemahiran-kemahiran ini. Namun, dengan melabur dalam rakyat tempatan mereka akan meraih ganjaran lebih besar dalam jangka panjang.

"Malah ini lebih relevan hari ini dalam sekitaran pandemik global serta memperdalam penelitian ke atas sumbangan syarikat-syarikat tersebut kepada masyarakat," kata Cik Mariam.

Tambahan lagi, syarikat yang diketahui melabur dan membangunkan tenaga kerjanya adalah yang akan berupaya menarik dan mengekalkan bakat-bakat terbaik.

BERI PELUANG KEPADA PEKERJA

Selain itu, Cik Mariam turut menyarankan agar syarikat-syarikat menimbangkan sama ada ia boleh menggajikan pekerja sebelum permintaan meningkat atau melonggarkan sedikit kriteria semasa memilih pekerja dan memberi peluang kepada pekerja rakyat SIngapura yang mungkin tiada sijil kelayakan atau pengalaman kerja dalam industri itu.

Sekurang-kurangnya untuk menerima mereka yang ada kemahiran-kemahiran relevan dan sikap ingin belajar sambil bekerja apabila diberi peluang.

Cik Mariam juga akur, bahawa untuk melakukan demikian, syarikat-syarikat memerlukan sokongan.

"Contohnya, untuk SME, pemerintah boleh memainkan peranan lebih besar, mewujudkan platform untuk melatih para pekerja tersebut agar mereka menimba kemahiran-kemahiran baru dengan lebih cepat. Dalam masa yang sama membantu SME melakukan perubahan dan mereka semula pekerjaan jika perlu," kata Cik Mariam.

Sejauh ini, pemerintah sudahpun membantu menerusi beberapa skim seperti inisiatif Suai-Maju, Program Kemahiran SGUnited, dan Program Pelatih SGUnited.

Sejak Program Latihan SGUnited dimulakan pada 1 Jun lalu, lebih 16,500 kerja kosong sudah diluluskan dan 1,000 pekerja pelatih sudah ditempatkan ke dalam program tersebut.

AP GRC Sembawang, Mariam Jaafar di Parlimen 31 Ogos. (Gambar: Petikan dari video)

Sekalipun demikian, Cik Mariam sekali lagi akur bahawa tidak semua skim yang ditawarkan sesuai untuk setiap individu. Maka, laluan untuk membolehkan para pekerja menimba atau mempertingkat kemahiran-kemahiran perlu dimudahkan.

"Misalnya, Program Kemahiran SGUnited. Walaupun dengan adanya elaun $1,200 sebulan bagi pekerja pertengahan kerjaya yang mempunyai anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua, agak sukar mereka lakukannya. Ya, mereka dibayar untuk belajar. Namun jangan kita lupa bahawa mereka juga perlu bertahan melalui kehidupan seharian.

"Jadi kita mesti mencari cara untuk memudahkan laluan untuk rakyat kita memilih untuk belajar (menimba kemahiran)," tegas Cik Mariam.

Beliau menambah, pemerintah juga bertekad untuk melawan ketidakadilan yang mungkin wujud dalam beberapa sektor pekerjaan.

"Kami akui bahawa tidak semua skim yang ditawarkan itu sesuai untuk setiap individu. Kita semua tahu tentang kawan-kawan dan ahli kelurga yang merasakan bahawa merek tidak diberi peluang yang sepatutnya diberikan. Pemerintah telah bertekad untuk melawan arus diskriminasi dan ketidak adilan yang mungkin wujud dalam beberapa sektor pekerjaan menerusi tindakan proaktif, pendidikan dan dialog.

"Pada waktu yang sama, kita perlu menumpukan perhatian dan fokus kita untuk mengambil kesempatan terhadap skim-skim yang disediakan untuk kita terus memajukan diri.
"Kalau kita semua termasuk pemerintah, majikan dan rakyat mengambil langkah positif demi kemaslahatan, saya percaya bahawa kita mampu menjadi penimba ilmu yang paling tangkas sebagai sebuah negara, sekali gus memberikan kita kelebihan yang unik dan menjadikan kita negara yang paling berdaya saing dari sudut ekonomi," ujar Cik Mariam lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan