Syarikat media tempatan punyai "misi lebih meluas" menjangkaui kejayaan komersil, kata Josephine Teo
Gambar: CNA
SINGAPURA: Syarikat media tempatan mempunyai "misi lebih meluas" menjangkaui kejayaan komersil, memainkan peranan penting untuk memaklumkan dan mendampingi rakyat.
Demikian kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Josephine Teo hari ini (4 Mac).
Berucap dalam Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), Cik Teo berkata ini merupakan salah satu sebab mengapa pemerintah memberikan sokongan kepada SPH Media Trust.
"Media tempatan kita, seperti media tempatan di seluruh dunia, sudah menyaksikan hasil pengiklanan dan langganan mesorot dengan ketara, disebabkan kebangkitan wadah-wadah kandungan digital dan saluran baru bagi kandungan percuma," kata beliau.
Sedang media tempatan di Singapura seperti Mediacorp dan SPH Media meraih 96 peratus jumlah penonton rakyat Singapura, tidak ada "jawapan mudah" untuk meraih pendapatan daripada jumlah ini.
"Kami harap mereka boleh berdikari namun belum pasti sama ada atau bila ini akan berlaku," tambah beliau.
Cik Teo berkata komen yang diberikan oleh Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura bahawa SPH adalah "milik pemerintah" adalah salah.
"Jika ia betul, tidak ada persoalan hari ini mengenai dana awam," kata beliau.
Cik Teo berkata bahawa pihak-pihak berkepentingan sudah mengundi dan bersetuju untuk memberikan dana awal tunai berjumlah S$80 juta dan saham bernilai S$30 juta untuk SPH Media Trust.
Apabila dibandingkan dengan pelaburan yang dilihat di negara lain, beliau berkata bahawa jumlah dana yang diberikan untuk menyokong transformasi media tempatan Singapura harus "bermakna" supaya usaha mereka ada peluang.
Cik Teo juga berkata bahawa Mediacorp sedang bekerjasama dengan penyiar beritanya, serta persatuan suku kaum untuk mengenal pasti bakat baru untuk mengekalkan siaran berita radio dialek.
MEMANDANG KE HADAPAN
Dengan pasaran sejagat bagi kandungan dijangka tumbuh lebih S$500 bilion menjelang 2025 - separuh daripadanya di Asia Pasifik - Cik Teo berkata Singapura "berada dalam kedudukan yang baik" untuk meraih manfaat disebabkan harta intelektual dan rangka kerja undang-undang serta peranannya sebagai penghubung antara pasaran dengan budaya.
MCI akan terus menyokong syarikat-syarikat itu dan bakat tempatan dengan meneroka kerjasama baru dengan rangkaian pencipta dan platform, kata Cik Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.