Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat media sosial perlu lebih bertanggungjawab cegah bahaya online: Tinjauan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat media sosial perlu lebih bertanggungjawab cegah bahaya online: Tinjauan SG

(Gambar: Michael M. Santiago/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 31 Jan 2025 07:40PM Dikemas Kini : 31 Jan 2025 07:42PM
SINGAPURA: Satu tinjauan tempatan mendedahkan sekitar 70 peratus remaja dan ibu bapa yang ditinjau percaya bahawa syarikat-syarikat media sosial perlu lebih bertanggungjawab dalam melindungi para pengguna daripada bahaya online.

Pada masa yang sama, para responden turut menggesa pihak sekolah supaya memainkan peranan lebih besar dalam menawarkan pendidikan kecelikan digital, selain undang-undang lebih tegas diperkenalkan demi mencipta persekitaran online yang lebih selamat.

Seperti ramai ibu bapa lain, Cik Sandra Low, yang juga pengasas bersama syarikat Kids PlaySafer.SG, berbelah bagi sama ada untuk memberikan telefon bimbit kepada dua orang anaknya, empat tahun yang lalu.

Anak-anaknya pada ketika itu berusia 12 dan 14 tahun.

Cik Sandra akhirnya bertekad membantu anak-anaknya mengemudi dunia digital dengan selamat, dengan mengimbangi manfaat dan risikonya.

Kini, Cik Sandra ingin membantu orang lain pula.

Alat digital yang beliau cipta membantu kanak-kanak mengenali potensi bahaya online sambil memastikan para ibu bapa turut terlibat dalam proses berkenaan.

"Ia pantas, (ada) lima soalan. Kanak-kanak itu menjawab soalan yang sama dengan ibu bapa mereka, dan kemudian apabila jawapannya muncul, ia akan memberitahu anda sama ada ia sepadan atau tidak," kongsi Cik Sandra.

"Contohnya, soalannya adalah seperti, "Adakah anda berkongsi kata laluan anda? Jika ada orang yang ingin tahu kata laluan anda, adakah anda berkongsi bersamanya? Jawapannya tidak, anda tidak akan memberikan (kata laluan), itu yang baik. Tetapi jawapan yang lebih baik adalah "Tidak, jangan berkongsi dan juga memberitahu dewasa yang dipecayai." Jadi itulah tambahan langkah. Ini sangat penting bagi kanak-kanak kecil," tambahnya.

Bengkel-bengkel juga diadakan untuk para ibu bapa belajar dengan lebih mendalam lagi tentang kecelikan digital.

Syarikat-syarikat media sosial turut mengambil langkah berjaga-jaga tambahan di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat untuk melindungi para pengguna.

Antaranya, Instagram baru-baru ini mula menyekat beberapa ciri untuk pengguna di Singapura yang berusia bawah 18 tahun.
Ini termasuk mengehadkan pengguna yang boleh menghubungi remaja tersebut atau kandungan yang boleh dilihat.

Sesetengah penganalisis berpendapat, ia juga penting bagi ibu bapa sendiri menyesuaikan diri dengan aplikasi-aplikasi sedemikian.

Ini supaya mereka tahu cara memantau dan kandungan yang perlu diberi perhatian.

Sungguhpun begitu, lebih banyak lagi harus dilakukan demi mendidik orang ramai agar dapat membezakan apa yang selamat dan apa yang tidak, di wadah online.

"Apakah jenis pautan yang dianggap berbahaya, bila untuk menekannya dan bila untuk menyoal, bagaimana untuk mengesahkan dan menyemak sumber maklumat. Jadi semua itu perlu ditingkatkan," kata Profesor Paulin Straughan, seorang profesor sosiologi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

"Jika anda melihat keadaan sekarang, dan anda menyaksikan jumlah skim penipuan yang ada dan beribu-ribu individu yang menjadi mangsa skim penipuan kerana mereka salah tertekan.Saya rasa, ia satu amaran terang-terangan kepada masyarakat yang kami harus melakukan lebih banyak lagi," tambahnya.

Beliau turut menekankan peri perlu perlindungan lebih kukuh untuk menapis laman online yang boleh diakses oleh para pengguna muda, terutama sekali apabila mereka melayari internet seorang diri.

Ini kerana kandungan yang mereka lihat - sama ada secara sengaja atau tidak - akan memberi kesan yang berkekalan dalam hidup mereka.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan