Syarikat latih anjing gantung kerja kakitangan yang tolak, pukul haiwan
SINGAPURA: Dua anggota kakitangan dari syarikat melatih anjing Xavian and Pack digantung kerja pada Isnin (15 Jan) selepas mereka dilihat menolak dan memukul dua anjing pada hari yang sama.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram oleh pengguna monkey_bear2, kedua-dua jurulatih itu dilihat memukul seekor anjing hitam jenis Shiba Inu dan berulang kali menolak seekor lagi anjing untuk memaksanya duduk semasa sesi mengambil gambar.
Pengasas syarikat itu berkata dalam kenyataannya di Instagram bahawa beliau sedar video yang disebarkan "memaparkan tingkah laku tidak wajar yang sangat buruk" terhadap anjing-anjing itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak berada dalam video itu dan dua kakitangan tersebut sudah digantung kerja dengan serta-merta.
Beliau menambah bahawa syarikat itu akan meneliti semua aspek khidmatnya bagi mengelak kejadian sedemikian daripada berulang.
Semasa dihubungi Mediacorp, pengguna monkey_bear2 berkata insiden itu berlaku pada pagi Isnin di Telok Blangah Rise berhampiran Blok 39, 40 dan 41.
Dalam salah satu video itu, salah seorang pengendali dilihat menolak turun dengan satu tangan untuk memaksa anjing itu duduk. Lelaki itu melakukan perbuatan itu sekali lagi dengan dua tangan apabila ia berdiri semula.
Satu lagi video menunjukkan seorang lagi pengendali anjing seret seekor anjing hitam Shiba Inu untuk meletakkannya bersebelahan seekor lagi anjing. Lelaki itu kemudian memukul haiwan itu di bahagian kepala.
Persatuan Mencegah Penganiayaan Haiwan (SPCA) menyatakan pada pagi Selasa bahawa pihaknya dimaklumkan tentang video itu.
Kumpulan kebajikan haiwan itu mengingatkan pemilik haiwan peliharaan dan jurulatih supaya mengelak dari menggunakan kekerasan.
SPCA juga meminta mereka yang mempunyai pengalaman negatif dengan penyedia latihan dalam video itu supaya menghubungi pihaknya bagi membantu siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.