Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat kontraktor dilarang ambil pekerja hijrahan baru selama 3 bulan susuli nahas teruk di tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat kontraktor dilarang ambil pekerja hijrahan baru selama 3 bulan susuli nahas teruk di tempat kerja

Pekerja hijrahan membuat kerja-kerja kalis air. (Gambar: Le Fong Building Services)

SINGAPURA: Sebuah syarikat kontraktor yang melakukan kerja-kerja kalis air dilarang daripada menggajikan pekerja hijrahan selama tiga bulan selepas salah seorang pekerjanya terjatuh lebih 8 meter dari bumbung dan mengalami beberapa kecederaan pada tubuhnya.

Pekerja syarikat Le Fong Building Services itu memijak salah satu panel bumbung yang retak, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu catatan Facebook pada Khamis (9 Sep).

MOM menambah beliau "bernasib baik" kerana masih hidup meskipun terjatuh dengan teruk dan masih dirawat di hospital.

Pengarah Urusan Le Fong, William Lim, dipanggil oleh MOM untuk menjelaskan tentang kemalangan teruk yang berlaku pada 1 September lalu di tempat kerja serta kelemahan keselamatan utama yang dikesan di tapak kerja.

MOM menyatakan ia memeriksa tapak kerja itu dan mendapati amalan kerja tidak selamat secara langsung menyumbang kepada kemalangan tersebut serta menimbulkan bahaya jelas kepada pekerja lain.

Le Fong diarah supaya menghentikan semua kerja di tempat tinggi di semua tapak kerjanya dan dilarang daripada menggajikan pekerja hijrahan baru selama tiga bulan.

Ia adalah syarikat pertama setakat ini yang dikenakan langkah-langkah lebih ketat di bawah "keselamatan dipertingkat" selama tempoh enam bulan dari 1 September hingga 28 Februari 2023.

Semasa tempoh tersebut, syarikat dengan keadaan tempat kerja yang tidak selamat atau kawalan risiko yang lemah berikutan kemalangan serius atau maut di tempat kerja mungkin dilarang daripada menggajikan pekerja hijrahan baru selama tiga bulan.

"Sejajar dengan langkah-langkah keselamatan dipertingkat yang baru, Encik Lim perlu hadir secara peribadi ke pejabat MOM dan menjelaskan duduk perkara", menurut kementerian itu.

"Encik Lim akur akan kegagalan syarikat itu untuk melaksanakan sistem yang betul bagi menangani bahaya terhadap keselamatan dalam melakukan kerja di tempat tinggi."

MOM menambah Encik Lim perlu memastikan bahawa pembetulan dijalankan dan sistem keselamatan serta kesihatan di tempat kerja yang kukuh dilaksanakan sebelum arahan berhenti kerja itu ditarik balik.

"Pemimpin syarikat berada dalam kedudukan terbaik untuk menetapkan budaya yang positif dan membentuk amalan kesihatan di lapangan," menurut MOM.

"Semua pemimpin syarikat harus memberi perhatian yang tinggi kepada keselamatan dan kesihatan di tempat kerja."

MOM menggesa pemimpin syarikat untuk melanggani sistem amaran Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja bagi mengambil teladan daripada kemalangan masa lalu.

Sejak awal tahun ini, sebanyak 37 kematian di tempat kerja dilaporkan, sama dengan jumlah kematian bagi seluruh tahun 2021.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan