Skip to main content

Singapura

Syarikat kitar semula kertas kurangkan operasi, sedang kos kumpul dan eksport bahan kian meningkat

Syarikat-syarikat kitar semula kertas tempatan sedang mengurangkan operasi, memandangkan harga bahan seperti kertas buangan dan kotak kadbod kini semakin rendah.
 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Aug 2025 07:39PM Dikemas Kini : 04 Sep 2025 03:27PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat kitar semula kertas tempatan sedang mengurangkan operasi, memandangkan harga bahan seperti kertas buangan dan kotak kadbod kini semakin rendah.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat tempatan yang menjual kertas buangan kepada pembeli luar negara juga berdepan kos lebih tinggi untuk mengumpul dan mengeksport bahan-bahan tersebut.

Menurut persatuan industri tersebut, faktor-faktor itu menjadi punca kadar kitar semula kertas di Singapura semakin merosot.

Sebuah kilang yang memproses kertas dan kadbod untuk dikitar semula boleh mengendalikan sekitar enam juta kilogram bahan setiap bulan.

Namun, nilai bagi satu kotak kadbod yang dimampatkan, yang sebelum ini bernilai sekitar S$280 pada 2020, kini hanya mampu memperoleh S$140 akibat lambakannya di merata dunia.

Keadaan tersebut menyebabkan syarikat-syarikat dalam industri yang sarat dengan cabaran itu gulung tikar, menurut KL Enviro.

Pengarah Eksekutif KL Enviro, Spencer Soong berkata: “Kos penghantaran sudah naik, kos bahan api juga naik, terutamanya selepas perang Rusia-Ukraine.

"Dari segi pengumpulan juga sudah cukup mencabar, kini ditambah pula dengan inflasi dan kos tenaga kerja yang meningkat, jadi semua ini adalah cabaran besar kepada pasaran.”

Kertas buangan dari Singapura dihantar kepada pembeli di negara seperti Indonesia, Malaysia dan Sri Lanka untuk dikitar semula.

Namun, harga jualan yang semakin jatuh memaksa syarikat-syarikat mengurangkan operasi mereka.

"Syarikat kitar semula kertas cenderung untuk meraih pendapatan lebih rendah kerana kos operasi meningkat, betul?

"Jadi, bagi mengurangkan kos operasi dan mengekalkan margin keuntungan yang sihat, mereka terpaksa mengurangkan operasi,” Pengerusi Persatuan Pengurusan Sisa dan Kitar Semula Singapura (WMRAS), Melissa Tan.

Persatuan itu turut memaklumkan bahawa pengurangan jumlah kertas buangan yang dikumpulkan oleh syarikat-syarikat merupakan antara sebab kadar kitar semula kertas di negara ini menurun.

Jumlah tersebut merosot kepada 32 peratus tahun lalu berbanding lebih 50 peratus sedekad lalu.

Satu lagi faktor ialah kertas yang dibuang ke dalam tong biru yang boleh didapati di kawasan kediaman sering dicemari sisa makanan atau minuman, sekali gus menjadikannya tidak boleh dikitar semula.

Namun, sebuah syarikat menemukan huraian bagi masalah tersebut.

Lima tahun lalu, syarikat tersebut mula meletakkan mesin pengumpulan kertas di beberapa kawasan di Singapura.

Penduduk menerima tiga sen bagi setiap kilogram kertas yang dimasukkan ke dalam mesin tersebut. Pada separuh pertama tahun ini sahaja, syarikat itu berjaya mengitar semula sebanyak 220,000 kilogram kertas.

"Kami hampir mencapai kadar pencemaran sifar peratus berbanding dengan tong-tong lain di seluruh pulau. Dan kemudian yang kedua, kami mempunyai data untuk membuktikan berapa banyak yang telah kami kitar semula.

"Ia semua data langsung, dan ia semua disokong oleh penduduk. Penduduk sendiri akan mempunyai semua data tentang berapa banyak yang telah mereka buang.

"Jadi kami boleh mempunyai data terkumpul, bulanan, tahunan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas SG Recycle, Mervin Ng.

Namun, Encik Ng menambah bahawa kos penyediaan mesin bijak itu tidak murah. Setiap satunya berharga sekitar S$300.

Disebabkan harga kertas buangan yang merosot, syarikat itu juga terpaksa mengurangkan operasinya.

Kini hanya terdapat 84 mesin berbanding 140 pada 2023.

Namun, syarikat SG Recycle berharap untuk mendapatkan geran bagi meneruskan inisiatif tersebut.

Pihak berkuasa sedang meneliti cara untuk meningkatkan kadar kitar semula kertas di Singapura.

Sementara itu, WMRAS juga menyeru syarikat-syarikat supaya mengkaji semula proses mereka agar ia kekal mampan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita