Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat khidmat perkahwinan bersedia penuhi permintaan mempelai tambah jumlah undangan; masih waspada adakan majlis di kolong blok

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Syarikat-syarikat katering dan khidmat perkahwinan menyaksikan saiz majlis walimatulurus yang lebih besar sejak sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan pada April bulan lalu.

Namun menurut beberapa penyedia khidmat perkahwinan, ia akan mengambil masa untuk majlis-majlis persandingan berskala besar kembali diadakan seperti sebelum pandemik dengan lebih 1,000 jemputan. 

Ini memandangkan ketidaktentuan keadaan pandemik dan pertarungan menentang COVID-19 belum berakhir.

LEBIH RAMAI PASANGAN TAMBAH UNDANGAN

Syarikat khidmat perkahwinan milik Syah Ibrahim, The Istana dan Orange Ballroom di Tanjong Katong Complex menyaksikan lonjakan jumlah pertanyaan dari bakal mempelai yang ingin menambah jumlah undangan ke majlis mereka.

"Boleh saya katakan hampir 90 peratus pelanggan kita yang sedia ada ingin membuat perubahan jumlah tetamu mereka untuk majlis-majlis mereka dalam sebulan dua ini. 

"Namun ada yang di antara mereka ini yang berhati-hati sedikit, mungkin tidak mahu terlalu banyak atau mungkin sudah terbiasa dengan jumlah yang kecil. Katanya tidak mengapa - saya tambah 100 orang ke 200 orang," kata Encik Syah.

Pemilik Nazreen Catering Encik Syed Hafeez Chishty pula berkongsi bahawa 60 peratus pelanggannya yang melangsungkan majlis perkahwinan mereka dalam masa sebulan dua ini turut melahirkan hasrat untuk menambah bilangan undangan mereka.

"Kebanyakan yang daripada 250 orang itu, dinaikkan kepada 500. Jadi itu yang kita dapat banyak. Jadi mereka boleh jemput lebih ramai anggota keluarga," dedah beliau.

Dua lagi syarikat yang dihubungi BERITAmediacorp turut menyaksikan sedikit penambahan jumlah undangan.

Walau bagaimanapun, sebarang perubahan bergantung kepada beberapa faktor seperti harga dan lokasi majlis.

"Baru-baru ini kami mempunyai satu pasangan mempelai yang menambah jumlah undangan mereka sebanyak 100 untuk majlis di sebuah hotel. Ia bagi memenuhi permintaan kedua orang tua yang ingin mengundang lebih ramai saudara mara mereka.

Namun selain itu, ramai pelanggan kami yang lain memilih untuk mengekalkan bilangan jemputan mereka antara 100 hingga 250 orang sahaja mengikut perancangan asal," kata Cik Roslina Juri dari syarikat Wedding & Romance Pte Ltd.

TREND ADAKAN MAJLIS PERSANDINGAN LEBIH INTIM

Pengarah Pengembangan Perniagaan syarikat Jamil Catering Cik Ani Moh berkata dalam beberapa tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda, syarikatnya melihat bilangan tetamu sudah berkurangan ke 500 hingga 700. 

Ini kerana katanya keluarga pengantin mahu majlis yang lebih kecil dan menjemput kenalan yang betul-betul terdekat sahaja.

"Kami mendapati lebih ramai pasangan yang mengadakan majlis gabungan dan sekadar menjemput orang tua seperti datuk dan nenek, saudara mara terdekat dan beberapa kenalan di tempat kerja sahaja," dedah Cik Ani.

Didorong oleh trend tersebut, Jamil Catering menubuh Miura.Co yang menawarkan pakej majlis persandingan yang lebih intim di Joo Chiat.

Dewan yang dibuka pada awal tahun lalu itu boleh menempatkan sehingga 100 orang pada satu-satu masa dan lebih ramai undangan bagi jamuan secara bufet."

"Dewan kami menarik pasangan muda yang inginkan suasana majlis yang lebih intim. Buat masa ini, tidak ramai yang menambah jumlah undangan. Kalau ada pun sehingga 50 orang bagi majlis yang menghidangkan bufet," kata CIk Ani.

KEMBALINYA MAJLIS KAHWIN BESAR-BESARAN

Dalam kalangan penyedia khidmat perkahwinan yang dihubungi BERITAmediacorp, hanya The Istana yang sudah menerima tempahan majlis sehingga 2,000 jemputan.

'The Istana' menyediakan sebanyak 40 meja dan sesuai bagi majlis perkahwinan untuk 1,500 hingga 1,800 tetamu manakala Dewan Orange di tingkat tiga pula mempunyai 30 meja.

"Tidak menafikan saya rasa sekarang 1,000, 1,200 sudah mula kembali semakin rancak kerana kita memang sudah ada stok memang sedia untuk majlis kita memang 1,000 atau 2,000 pada satu-satu masa jadi memang tidak ada masalah untuk menampung jumlah tetamu sebanyak itu," jelas Encik Syah.

MAJLIS PERSANDINGAN "DI KOLONG BLOK" DIADAKAN SEMULA

Pemilik Nazreen Catering Encik Syed Hafeez Chishty berkata beliau yakin majlis-majlis persandingan di kolong blok akan kembali rancak.

"Orang Melayu kita ini mereka lebih suka bergotong-royong. Di bawah blok ini bebas, malam mereka bergotong-royong dan  besoknya diadakan majlis. Ini sebahagian daripada budaya kita," kata Encik Syed Hafeez.

Namun buat masa ini, kebanyakan pelanggannya masih bersikap berwaspada.

"Sekarang baru buka, kan?  Saya rasa dalam dua tiga bulan ini kalau orang sudah lebih yakin, mungkin 1,000 semua akan balik macam dulu," kata beliau.

Buat masa ini, syarikatnya sudah menerima sekurang-kurangnya lima tempahan bagi majlis perkahwinan di kolong blok.

"Katakan undangan mereka 500 ke atas, ibu bapa pula ingin menjemput lebih ramai orang, mereka mengadakan jamuan makan malam di dewan manakala ibu bapa mengadakan majlis lebih besar di kolong blok," kata Encik Syed Hafeez lagi.

Tambahnya, pasangan yang mengadakan majlis di kolong blok boleh menjimatkan antara 30 peratus hingga 40 peratus berbanding kos menganjurkannya di dewan, bergantung pada hiasan dan jamuan yang disediakan.

Meskipun demikikan, ada juga syarikat seperti Jamil Catering dan Wedding & Romance Pte Ltd yang tidak merancang untuk menawarkan semula khidmat mereka untuk majlis-majlis di kolong blok buat masa ini disebabkan isu logistik.

"Kami telah menghapuskan banyak perkakas katering untuk majlis perkahwinan di bawah blok sewaktu tempoh COVID. Mentelah lagi, kami mendapati tempahan sedemikian memerlukan persediaan logistik yang lebih besar dan tenaga kerja yang ramai.

"Di Miura.Co, kami dapat menawarkan pakej jamuan yang menyeluruh dan lebih selesa," kongsi Cik Ani.

Cik Roslina dari Wedding & Romance Pte Ltd pula berkongsi sebilangan syarikat yang menyediakan kerusi meja dan perhiasan untuk majlis persandingan di bawah blok gulung tikar sewaktu pandemik.

Bagi Nazreen Catering, mereka mempunyai perkakas majlisnya sendiri dan menyatakan tiada masalah untuk memenuhi permintaan bagi majlis-majlis walimatul urus di dewan-dewan kawasan perumahan atau kolong blok.  

Mengenai kos barangan yang semakin meningkat, kedua-dua Jamil Catering dan Nazreen Catering menyatakan tiada rancangan untuk menaikkan harga pakej mereka buat masa ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa