Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat kereta sewa privet nafi bida COE secara agresif hingga premium melambung tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua syarikat kereta sewa privet menyatakan bahawa mereka tidak membida secara agresif untuk mendapatkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi meningkatkan jumlah kenderaan masing-masing sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Mereka turut menafikan bahawa tindakan mereka itu menyebabkan premium COE melonjak ke paras rekod.

Khidmat kereta sewa Tribecar memberitahu Mediacorp bahawa jumlah kenderaannya tidak meningkat dengan mendadak sepanjang tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Tribecar turut menyatakan bahawa harga COE yang tinggi juga akan menjejas perniagaan syarikat khidmat kereta sewa yang lain.

Lion City Rentals yang menyewakan kereta kepada para pemandu syarikat khidmat kereta sewa privet seperti Grab dan GetGo belum lagi meningkatkan bidaan COE baru-baru ini, kata Encik Michael Lim, pemilik syarikat Motorway Group.

"Tiada gunanya. Bidaan terlalu tinggi," beliau memberitahu Mediacorp.

Mediacorp juga difahamkan bahawa khidmat kereta sewa privet Grab tidak terlibat dalam pembidaan agresif baru-baru ini untuk mengembangkan jumlah kenderaan bagi khidmat GrabRentals.

Gojek juga menafikan pelibatannya dalam perkara tersebut dan menyatakan bahawa ia bergantung kepada rakan-rakan kongsi untuk para pemandu yang memerlukan kenderaan.

Syarikat GetGo pula enggan mengulas tentang perkara tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas sebilangan warga net menuduh syarikat-syarikat berkenaan menyebabkan premium COE melambung tinggi.
"Pembeli utama adalah syarikat-syarikat khidmat kereta sewa privet yang meningkatkan keperluan tertentu! Mereka seharusnya diasingkan!" tulis seorang pengguna Facebook di ruangan komen CNA mengenai laporan susulan berhubung harga COE.

Pengguna lain juga menjangkakan premium COE akan terus meningkat kerana "sebahagian besar" pembida adalah syarikat-syarikat khidmat kereta sewa privet.

"Sekarang ini perniagaan kereta sewa sudah bagus dan pemandu PHV (kereta sewa privet) tidak mampu nak beli kenderaan, sebaliknya mereka hanya menyewa," kata beliau.

BIDAAN BERASINGAN UNTUK SYARIKAT KERETA SEWA PRIVET

Ada sesetengah pihak yang terus mendesak pihak berkuasa supaya menggesa syarikat-syarikat kereta sewa membuat bidaan berasingan, serupa dengan bagaimana Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengeluarkan teksi daripada proses bidaan pada 2012.

LTA menyatakan ketika itu bahawa para pengendali teksi mengambil sebahagian besar COE iaitu 25 peratus daripada kenderaan dalam Kategori A dan dengan itu ia mempengaruhi harga COE.

Buat masa ini, para pengendali teksi membayar COE berdasarkan premium kuota semasa bagi Kategori A, manakala COE yang digunakan untuk mengembangkan jumlah kenderaan akan diambil daripada Kategori Terbuka.

Apabila aturan serupa untuk sektor khidmat kereta sewa privet dibangkitkan di Parlimen pada Jul 2016, Menteri Pengangkutan ketika itu, Encik Khaw Boon Wan berkata, pemerintah akan terus memantau kadar pertumbuhan dan peruntukan COE untuk melihat sama ada langkah yang sama adalah sesuai.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan