Syarikat kejuruteraan marin Seatrium dakwa siasatan CPIB ada kaitan dengan kejadian sebelum 2015

Gambar: Instagram/seatriumltd
Dalam pemfailan di Bursa Singapura pada Khamis (1 Jun), Seatrium juga menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku sebelum bergabung dengan Keppel Offshore & Marine (KOM) pada Februari 2023. Entiti yang digabungkan itu dinamakan semula sebagai Seatrium pada April.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Rabu (31 Mei), mendedahkan ia telah melancarkan siasatan ke atas Seatrium dan beberapa individu dari syarikat tersebut atas dakwaan kesalahan rasuah yang berlaku di Brazil.
"Syarikat ini tidak dapat mengulas lanjut di peringkat ini memandangkan siasatan masih dijalankan," jelas Seatrium dalam pemfailan tersebut, sambil menambah bahawa ia sedang "memberi kerjasama dengan CPIB dalam siasatan tersebut dan akan membuat pengumuman sewajarnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan".
Seatrium menggesa agar perdagangan dihentikan pada pagi Khamis.
CPIB enggan mengulas apabila ditanya Mediacorp jika kesalahan yang didakwa ke atas Seatrium itu berhubung kait dengan kes rasuah bernilai jutaan dolar, melibatkan bekas pekerja KOM dan syarikat gergasi minyak di Brazil, Petrobras.
Pada Mac tahun ini, Seatrium mengumumkan bahawa anak syarikatnya dari Brazil yang dimiliki sepenuhnya, Estaleiro Jurong Aracruz, disiasat atas amalan yang "didakwa di luar aturan".
Namun, Seatrium menjelaskan pada hujung bulan tersebut bahawa prosiding itu secara umumnya berhubung kait dengan "tingkah laku lampau yang disiasat pihak berkuasa Brazil berkaitan Operation Car Wash".
Ia bagaimanapun menyatakan pada 28 April bahawa prosiding pentadbiran awal terhadap anak syarikatnya dari Brazil itu, digantung.
Pada Januari, agensi antirasuah Singapura memberi amaran tegas kepada enam bekas kakitangan pengurusan kanan KOM. Kesalahan itu berkaitan bayaran rasuah kepada para pegawai Petrobas, berhubung kontrak membina pelantar minyak yang diberikan oleh Petrobras atau syarikat-syarikat berkaitan kepada KOM.
Amaran itu dikeluarkan bagi menggantikan pendakwaan bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
Enam bekas kakitangan itu tidak didakwa atas kes rasuah bernilai jutaan dolar kerana bukti yang tidak mencukupi untuk mengesahkan mereka bersalah tanpa sebarang keraguan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah di Parlimen pada 6 Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.