Skip to main content

Singapura

Syarikat katering, bakal mempelai pertimbang pilihan di bawah langkah lebih ketat COVID-19

Berkuat kuasa Sabtu, 8 Mei, hanya lima orang dibenarkan melawat sesebuah keluarga sehari berbanding lapan orang sekarang. Bila jumlah tetamu sudah dikurangkan, persiapan untuk menyambut tetamu yang datang berkunjung pada Hari Raya juga perlu disesuaikan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berkuat kuasa Sabtu, 8 Mei, hanya lima orang dibenarkan melawat sesebuah keluarga sehari berbanding lapan orang sekarang. Bila jumlah tetamu sudah dikurangkan, persiapan untuk menyambut tetamu yang datang berkunjung pada Hari Raya juga perlu disesuaikan.

Kesannya pula dirasakan syarikat khidmat katering kerana ada kemungkinan para pelanggan membatalkan sahaja tempahan mereka.

Mujur, bagi Mamanda Catering yang sudah menerima 400 tempahan sebelum ini, ia belum menerima sebarang permintaan untuk membatalkan tempahan.

"Kami amat terkesan dan sedih kerana kami tidak boleh lebih banyak lagi untuk sajian 20 hingga 30 orang. Sekiranya semuanya dibatalkan, nilai kerugiannya dalam S$30,000 begitu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mamanda Food Solutions Masmunah Abdullah.

"Kami sudah jangkakan keadaan di luar negara dan di Singapura tidak menentu dan kami amat berhati-hati dalam promosi juadah hidangan Hari Raya kami," tambah beliau.

Dalam pada itu, para bakal pengantin yang akan mengadakan majlis turut terjejas.

Ini kerana bermula Sabtu ini, tanpa ujian swab sebelum acara (PET), majlis pengantin hanya boleh menjemput sehingga 50 tetamu sahaja iaitu separuh berbanding 100 sekarang ini.

Bagaimanapun, jika tuan rumah mahu menjemput sehingga 250 undangan, mereka perlu melakukan PET yang berharga kira-kira S$50 bagi setiap orang.

Sepasang bakal pengantin yang ditemui BERITAmediacorp berkata mereka tidak akan melaksanakan ujian PET itu kerana ini bermakna mereka perlu mengeluarkan lagi S$5,000 di samping kos majlis sedia ada.

"Tentunya saya dan pasangan saya berasa kecewa kerana kawan rapat dan keluarga terdekat tidak dapat hadir di majlis kami nanti," luah bakal mempelai, Russydi Rosnin, yang akan bersanding tidak lama lagi dan sudahpun menjemput 100 tetamu.

"Saya dan pasangan saya mengambil kira tentang perbelanjaan supaya duit untuk membuat ujian swab itu boleh digunakan untuk perkara lain-lain seperti perkakas rumah sebab saya dan pasangan saya baru beli rumah. Wang yang akan diketepikan untuk ujian swab itu akan digunakan untuk benda dan hal-hal lain. Jadi saya tak rasa kami akan meminta para undangan kami menjalani ujian swab sebelum acara," jelas beliau kecewa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita