Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat Jepun bakal bangunkan ladang telur di S'pura maklum didakwa kejam terhadap haiwan

Syarikat Jepun yang akan membuka kilang telur keempat di Singapura menyatakan bahawa ia "maklum" tentang surat daripada People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) yang mendakwa ia menyimpan ayam dalam keadaan kejam.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat Jepun bakal bangunkan ladang telur di S'pura maklum didakwa kejam terhadap haiwan

(Gambar: Big Dutchman)

Diterbitkan : 16 Sep 2021 08:26AM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 08:28AM

SINGAPURA: Syarikat Jepun yang akan membuka kilang telur keempat di Singapura menyatakan bahawa ia "maklum" tentang surat daripada People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) yang mendakwa ia menyimpan ayam dalam keadaan kejam.

Cawangan Asia PETA menghantar surat kepada ketua pegawai eksekutif Agensi Makanan Singapura (SFA) Lim Kok Thai pada Selasa (14 Sep) dan menggesa Singapura supaya "jangan menyokong kekejaman terhadap haiwan" dengan menghentikan pembangunan ladang ISE Food Holdings (ISE) yang bernilai S$100 juta di Singapura.

Pada 10 September SFA memeterai memorandum persefahaman dengan IFH untuk membangunkan sebuah ladang yang dijangka menghasilkan 360 juta telur setiap tahun mulai 2026, sekaligus meningkatkan keseluruhan pengeluaran domestik bagi memenuhi separuh daripada permintaan telur di Singapura.

Namun naib presiden kanan PETA Jason Baker menyatakan dalam suratnya kepada SFA bahawa IFH menyimpan ayam ternakannya dalam "keadaan mengejutkan dan mengerikan" di salah sebuah ladang ternakannya, sambil merujuk kepada rakaman video oleh seorang pengadu.

Seorang wakil daripada PETA memberitahu Mediacorp bahawa ladang ternakan itu terletak di Jepun.

"Rakaman tersebut menunjukkan ayam-ayam betina dikurung secara padat dalam kurungan yang bertindan, sehingga ia tidak dapat bergerak apatah lagi mengepakkan sayapnya," menurut beliau dalam surat yang dilihat oleh Mediacorp.

"Bangkai ayam dibiarkan membusuk berdekatan ayam-ayam yang masih hidup dan kebanyakan daripada ayam itu kelihatan mengalami luka yang radang."

Seorang jurucakap IFH memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa syarikatnya maklum tentang surat PETA kepada SFA, sambil menyatakan bahawa ia "berusaha melindungi kebajikan haiwan dalam ladang ternakan mereka dan akan mematuhi peraturan kebajikan haiwan di Singapura".

"Kami di ISE Food Holdings percaya bahawa ia adalah penting untuk mewujudkan sekitaran yang baik untuk haiwan," kata jurucakap berkenaan.

"Sekitaran baik bagi haiwan-haiwan (ayam) bukan setakat menukar bentuk sangkar. Kami percaya bahawa penting juga untuk menyesuaikan ketepuan oksigen, suhu, makanan dan aspek-aspek lain daripada sekitaran menyeluruh di rumah ternakan itu."

Jurucakap itu juga berkata IFH sedang mengambil "pendekatan berlainan" dengan memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda berkaitan kebajikan haiwan.

Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, SFA menyatakan ia bekerjasama dengan Lembaga Taman Negara (NParks) bagi memastikan kebajikan haiwan-haiwan ternakan di Singapura.

"Kesemua pemegang lesen ladang ternakan haiwan SFA perlu melindungi kebajikan haiwan-haiwan di ladang mereka dan mematuhi peraturan kebajikan haiwan Singapura di bawah Akta Haiwan dan Burung, yang dipengerusi oleh NParks," menurut agensi itu.

"ISE Food Holdings sudah memenuhi keperluan tersebut bagi kemudahan pengeluaran telur mereka di Singapura."

SFA bagaimanapun tidak menyatakan jika ia akan mempertimbangkan semula aturan mereka bersama IFH. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan