Skip to main content

Singapura

Syarikat insurans semak semula perlindungan bagi situasi pelancongan berkaitan COVID-19

Syarikat-syarikat insurans pelancongan sudahpun menyemak semula perlindungan bagi insiden-insiden berhubung COVID-19, sedang langkah-langkah dilonggarkan dan sempadan-sempadan di Singapura dan luar negara dibuka.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat insurans semak semula perlindungan bagi situasi pelancongan berkaitan COVID-19

Pesawat SIA terbang lalu Taman East Coast. (Gambar: Kurt Ganapathy)

Diterbitkan : 21 Sep 2021 08:37AM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 08:40AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat insurans pelancongan sudahpun menyemak semula perlindungan bagi insiden-insiden berhubung COVID-19, sedang langkah-langkah dilonggarkan dan sempadan-sempadan di Singapura dan luar negara dibuka.

Syarikat-syarikat insurans memberitahu Mediacorp ia mendapati bahawa keperluan para pelanggan kian berubah di tengah-tengah pandemik dan terdapat banyak pertimbangan apabila membuat perancangan untuk ke luar negara.

Hotel-hotel dan syarikat-syarikat penerbangan juga sudahpun menyemak perlindungan bagi pembatalan dan pembayaran semula agar para pelanggan diberi pilihan sekiranya mereka mereka membatalkan rancangan mereka untuk ke luar negara, kata Presiden dan Ketua Perhubungan Peribadi Income Annie Chua.

Income juga menyatakan bahawa ia menawarkan perlindungan COVID-19 bagi perbelanjaan perubatan luar negara di bawah pelan insurans pelancongan sejak November tahun lalu. Ini termasuk perlindungan sehingga AS$100,000 (S$135,233) bagi perbelanjaan kemasukan hospital di luar negara dan kos yang dikenakan bagi pemindahan perubatan sehingga AS$100,000.

Namun, faedah COVID-19 dikecualikan daripada pelan-pelan insurans pelancongan yang dibeli bagi perjalanan ke negara-negara yang disifatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai "berisiko tinggi" COVID-19 sewaktu insurans diperolehi.

Syarikat AXA menyatakan ia sudah mempertingkat perlindungan dua pelan insurans pelancongannya - AXA SmartTraveller dan AXA Wanderlust - masing-masing sejak Disember 2020 dan Julai lalu.

Penyesuaian yang dibuat itu memberi perlindungan bagi senario-senario berkaitan dengan pandemik yang "umumnya dikecualikan" daripada pelan-pelan insurans pelancongan sejak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik, kata Pengarah Urusan Runcit dan Kesihatan AXA Insurance Julien Callard.

Misalnya, pelan-pelan untuk melindungi para pelanggan dalam senario di mana mereka terpaksa membatalkan perjalanan selepas tidak lulus pemeriksaan suhu di pintu keberangkatan di lapangan terbang dan kemudian diuji positif COVID-19.

Pelan-pelan tersebut juga meliputi situasi-situasi di mana seorang pelancong terpaksa membatalkan atau mengatur semula perjalanan mereka disebabkan penularan sewaktu di luar negara lantas "terpaksa membayar kos" tambahan untuk melanjutkan tempoh di tempat penginapan atau mengatur semula jadual perjalanan ketika di luar negara sekiranya tiada penerbangan disebabkan pandemik.

Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat insurans yang ditemui Mediacorp menyatakan bahawa pelan-pelan insurans pelancongan tidak memberi perlindungan dalam insiden-insiden di mana seseorang pelancong mendapati bahawa beliau dijangkiti virus sebaik pulang ke Singapura.

Insurans itu juga tidak melindungi mereka daripada pembatalan perjalanan atau penangguhan disebabkan peraturan berubah-ubah di negara yang dikunjungi seseorang itu.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita