Skip to main content

Singapura

Syarikat ingin berkembang boleh mohon kuota Pas S atau permit kerja lebih tinggi di bawah skim baru

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Dec 2022 05:41PM Dikemas Kini : 13 Dec 2022 11:36PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang mempunyai rancangan untuk memajukan keutamaan ekonomi penting Singapura akan dibenarkan buat sementara waktu untuk mengambil lebih ramai pekerja asing, menjangkaui kuota bagi industri berkenaan.

Bagi mengiktiraf peranan syarikat-syarikat tersebut dalam memastikan Singapura terus berdaya saing, ia boleh memohon untuk mengambil lebih ramai pemegang Pas S dan permit kerja di bawah skim baru yang dilancarkan pada Selasa (13 Dis). 

Untuk melayakkan diri bagi skim tersebut, syarikat berkenanan harus menyumbang kepada "keutamaan ekonomi penting"  Singapura,  termasuk pelaburan tinggi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan, serta pengantarabangsaan. 

Syarikat juga harus memberi komitmen akan membangunkan tenaga kerja setempat.

Dinamakan skim Tenaga Manusia bagi Keutamaan Ekonomi Strategik (M-SEP), ia diumumkan buat pertama kali oleh Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng awal tahun ini di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementerian tersebut susuli Belanjawan 2022, meskipun tiada perincian yang diberikan ketika waktu itu. 

Dalam ucapan Dr Tan pada 4 Mac, beliau juga mengumumkan Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) bagi sektor binaan dan pemprosesan dikurangkan mulai 2024. 

DRC menetapkan peratusan maksimum pekerja asing yang dibenarkan sesebuah syarikat berbanding dengan tenaga pekerjanya secara keseluruhan. 

Dr Tan ketika itu berkata: "Pada masa akan datang, kami akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan memberikan fleksibiliti kepada perniagaan yang menyumbang kepada keutamaan ekonomi kita, dan dalam pekerjaan yang memerlukan tenaga manusia  lebih mendesak, tetapi tidak ada ramai pekerja tempatan." 

KUOTA TAMBAHAN UNTUK PERMIT KERJA, PAS S

Mengumumkan perincian mengenai skim M-SEP pada Selasa, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan syarikat yang layak akan diberikan fleksibiliti untuk mengambil lebih ramai pemegang permit kerja dan Pas S, melebihi DRC yang sedia ada, buat sementara masa. 

Kuota tersebut boleh ditambah sehingga 5 peratus daripada  pekerja sesebuah syarikat - tertakluk kepada had 50 pekerja tambahan bagi setiap syarikat bagi tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui sekiranya syarikat tersebut terus menepati kriteria kelayakan. 

Pas S merupakan pekerja tahap pertengahan dengan pendapatan sekurang-kurangnya S$3,000 sebulan, manakala pemegang permit kerja lazimnya adalah pekerja  hijrahan separa mahir. 

Menurut MOM dan MTI, skim itu adalah untuk syarikat-syarikat yang "mengorak langkah" demi memajukan keutamaan ekonomi penting Singapura. Tambahnya, skim tersebut akan membantu syarikat-syarikat tersebut  "meraih peluang" untuk berkembang, sambil mengekalkan peluang pekerjaan dan latihan dalam proses itu. 

Syarikat-syarikat boleh membuat permohonan bagi skim M-SEP di laman web MOM mulai Selasa. 

"Skim M-SEP menunjukkan komitmen Singapura untuk kekal terbuka dan menjalin hubungan, serta sokongan berterusan Pemerintah kepada perniagaan-perniagaan kami merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak pekerja bagi rakyat Singapura," menurut MTI dan MOM.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita