Skip to main content

Singapura

Syarikat gergasi farmaseutikal Britain, GSK akan bina kilang baru bernilai S$343 juta di Tuas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Jul 2023 06:56PM Dikemas Kini : 13 Jul 2023 09:01PM
SINGAPURA: Singapura akan menjadi tapak bagi cara baharu untuk menghasilkan lebih banyak vaksin pada kadar lebih pantas.

Syarikat gergasi farmaseutikal Britain, GSK, akan membangunkan sebuah kemudahan pengilangan baharu di sini untuk vaksin Hepatitis B.

Bernilai S$343 juta, syarikat itu juga akan memindahkan seluruh pengilangan vaksinnya ke sini.

GSK menyatakan, kemudahan baru yang akan dibina itu dapat menyingkatkan proses sebanyak empat setengah hari, lantas membolehkannya meningkatkan lagi penghasilan.

Pengarah Kemudahan GSK Tuan Chan Siong Wan berkata: "Kami menggunakan teknologi lebih canggih dan itu akan mengurangkan risiko pencemaran. Ia juga bermakna produk-produk akan selalu dihasilkan tepat pada masanya, bekalan yang andal dan para pesakit kami akan sentiasa mendapat vaksin yang kami hasilkan."

Apabila kemudahan itu dibuka pada 2027, ia suatu pemangkin untuk memacu usaha global bertindak menentang Hepatitis B.

Ini sedang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahu mengurangkan kes jangkitan baru dengan sebanyak 90 peratus menjelang 2030.

Vaksinasi menjadi tunjang kepada matlamat tersebut.

Hepatitis B adalah virus hepatitis manusia yang lazim dijangkiti menjejas 4 peratus penduduk Singapura.

Di seluruh dunia, terdapat sekitar 300 penghidap penyakit kronik itu, dengan 75 peratus dikesan di rantau Asia Pasifik.

Dianggarkan, antara 25-50 peratus penghidapnya mati awal sebelum usia kematian purata, sama ada akibat kegagalan hati atau barah hati.

Kemudahan baharu itu akan mewujudkan lagi 100 pekerjaan di tapak GSK sedia ada di Tuas.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata pelaburan baharu itu mengukuhkan kedudukan negara sebagai sebuah lokasi untuk inovasi bioperubatan.

Beliau berkata: "syarikat-syarikat biofarmaseutikal seperti GSK memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesediaan dan daya bingkas Singapura untuk menangani pandemik pada masa hadapan, dengan memanfaatkan inovasi dan bakat yang meluas."

Dengan proses pengilangan lebih singkat, GSK menyatakan kemudahan baharu itu juga lebih mesra alam.

Sistem tenaga akan dapat menjimatkan 800 megawatt jam setiap tahun, iaitu sama seperti membekalkan tenaga untuk 200 flat.
Sumber : CNA/FZ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita