Skip to main content

Singapura

Syarikat F&B SG uji jenama, produk Halal baharu bagi tembusi Timur Tengah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Feb 2026 07:50PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 09:07PM
SINGAPURA: Syarikat makanan dan minuman (F&B) Singapura sedang menguji jenama dan produk halal baharu bagi menembusi pasaran baharu di Timur Tengah dan seterusnya.

Lebih 30 syarikat Singapura mempamerkan makanan dan minuman masing-masing di pameran makanan terbesar Timur Tengah, Gulfood 2026.

Produk buatan Singapura itu diharap dapat merancakkan lagi pengeluaran syarikat-syarikat negara ini.

Namun, persaingan global yang sengit, isu kos serta prosedur yang rumit, memberi tekanan terhadap rancangan meluaskan perniagaan.

Setakat ini, mereka mendapati bahawa pengguna mahukan pilihan lebih sihat - iaitu kurang atau tanpa gula.

Jadi, label yang memaparkan kandungan gula dilihat membantu menarik perhatian pembeli.

Syarikat-syarikat Singapura yang mempamerkan produk di pameran makanan tersebut juga berkata pengguna muda mencari pilihan makanan segera dan makanan siap makan.

Dengan beralih daripada mi segera, salah sebuah syarikat pengeluar mi berjaya meningkatkan jangka hayat produknya kepada tempoh sembilan bulan berbanding hanya dua hari sebelum ini.

Namun, kejayaan itu tidak dicapai dalam sekelip mata.

Pengarah Eksekutif, Tan Seng Kee Foods, Annie Tan berkata: "Terdapat tempoh yang panjang untuk mengumpul risikan pasaran. Saya fikir amat penting untuk memahami cita rasa pengguna serta keperluan rakan kongsi.

"Jelas, penting untuk mematuhi peraturan dan keperluan pelabelan, sesuatu yang boleh kami usahakan dengan kerjasama rapat rakan kongsi tempatan."

Cik Tan berharap syarikatnya dapat meningkatkan pengeluaran di Singapura bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, syarikat Yeo's menampilkan sos satay yang boleh dipadankan dengan hidangan Mediterranean seperti kebab.

Ini merupakan kali pertama Yeo's memperkenalkan rangkaian produknya ke rantau itu.

"Saya fikir antara beberapa rantau utama yang kami ingin terus terokai ialah benua Afrika, bermula dengan Afrika Selatan, serta India.

"Ini merupakan antara pasaran lebih besar. Namun, ini semua sempadan baharu bagi kami.

"Kami akan melihat ke mana hala tuju trend ini dan menilai sejauh mana ia relevan untuk kami," kata Elisha Tham, pengarah perniagaan kumpulan Yeo Hiap Seng.

Namun, menembusi pasaran baharu bukanlah sesuatu yang mudah.

Ada persaingan global, kos yang tinggi, serta misalnya memenuhi piawai halal yang berbeza-beza.

Pengarah, pengilangan makanan & agritek EnterpriseSG Sharon Tay berkata: "Memastikan struktur halal anda betul adalah sangat penting di sini. Saya fikir Singapura ada kelebihan semula jadi kerana MUIS sudah melakukan banyak usaha untuk memastikan ia saling diiktiraf, sekali gus memudahkan urusan perniagaan dan mudah masuk pasaran."

EnterpriseSG menambah bahawa ia juga peluang untuk memperkayakan budaya makanan di Singapura.

 
Sumber : CNA/FA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita