Syarikat diiktiraf hasilkan bungkusan inovatif, mesra alam
Lebih 20 syarikat diiktiraf awal minggu ini dalam majlis penyampaian Anugerah Pembungkusan Inovatif.

Tempat makanan akan menggelembung ketika dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro.
SINGAPURA: Lebih 20 syarikat diiktiraf awal minggu ini dalam majlis penyampaian Anugerah Pembungkusan Inovatif.
Antara hasil daya kreatif yang diiktiraf adalah pembungkus yang membantu menangani masalah besi yang cepat karat, terutama sekali dalam keadaan cuaca Singapura. Sememangnya, perkara itulah antara cabaran bagi para pengilang, berkaitan produk-produk besi.

Perbandingan dengan bahan yang sering digunakan untuk kotak.
Namun, pembungkus yang dihasilkan itu mampu mencegah besi daripada cepat berkarat. Ia diperbuat daripada kimia yang memastikan produk besi dalam keadaan baik - tidak kira kadar kelembapan udara.
Pembungkus itu kelihatan seperti kotak buatan kertas biasa, tetapi ia sebenarnya dihasilkan menggunakan mineral yang terdapat pada kulit telur dan batu kapur - iaitu bahan-bahan semula jadi.

Inovasi itu tercetus daripada kebimbangan tentang semakin banyak pokok yang ditebas.
"Bahan-bahan menggunakan pulpa (kertas) memerlukan lebih banyak pokok ditebas. Ia hanya mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit untuk menebas sebatang pokok. Tetapi antara 10 hingga 15 tahun bagi sebatang pokok untuk tumbuh besar. Ini sebabnya saya memutuskan untuk menghasilkan kertas batu mineral. Saya rasa ia lebih mampan dan dihasilkan daripada sumber yang boleh diperbarui, serta mampu mengurangkan jejak karbon," kata Ketua Pegawai Eksekutif Magna International, Nelson Cheng.
Encik Chen menerima anugerah pembungkusan inovatif yang disampaikan Persekutuan Pengilangan Singapura pada Selasa lalu (21 Ogos).
Seorang lagi pemenang, menghasilkan satu bekas yang mampu memastikan makanan yang sudah disiapkan kekal segar.
Tidak seperti bekas makanan lain yang penutupnya perlu dibuka sebelum makanan dipanaskan, bekas inovatif yang dihasilkan mampu memastikan makanan tetap hangat ketika dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro, tanpa penutupnya dibuka.

"Semua yang ada dalam bekas itu menjadi panas menggunakan haba atau wap makanan itu sendiri. Hasilnya, ia berbeza daripada hanya meletakkan makanan ke dalam ketuhar gelombang mikro, yang mana biasanya makanan tidak dipanaskan dengan rata," kata Pengurus Perniagaan Syarikat Sealed Air, Amy Poerwoko.
Ini bukan hanya memudahkan para pelanggan. Ia juga baik bagi sekitaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.