Syarikat digesa mainkan “peranan aktif” kekalkan pekerja warga emas; kekurangan pilihan kerja fleksibel satu cabaran: Koh Poh Koon
Sedang Singapura menggalakkan lebih ramai warga emas untuk terus bekerja, para majikan mendapati kekurangan pilihan kerja fleksibel serta pengetahuan untuk melatih golongan tersebut bagi peranan fleksibel menjadikan usaha tersebut mencabar, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon pada Khamis (23 Apr).
Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon bercakap kepada media di Depoh Bas Bulim pada 23 April 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
- Koh Poh Koon dan kumpulan kerja tiga pihak menekankan perlunya syarikat mencari cara inovatif membantu warga emas kekal bekerja di Singapura.
- Tower Transit melancarkan program percubaan tiga laluan kerjaya untuk kapten bas berusia lebih 60 tahun, termasuk peranan baharu dan latihan kemahiran digital.
- Inisiatif ini bertujuan menangani kekurangan tenaga kerja, mengekalkan pengalaman pekerja lama, serta memberi fleksibiliti dan maruah kepada warga emas.
- Lebih 30 syarikat terlibat dalam ujian rekaan semula kerjaya, dengan hasil akan dinilai untuk kemungkinan peluasan ke sektor lain.
Sehubungan itu, lebih banyak syarikat perlu memainkan “peranan aktif” dalam mencari kaedah inovatif untuk membantu kakitangan lebih berusia untuk kekal bekerja, kata beliau.
“Kami harap syarikat yang sedia untuk berbuat demikian akan menunjukkan contoh dan membolehkan kami ... berkongsi dengan lebih banyak syarikat,” kata Dr Koh. “Melalui sokongan dasar bagi inovasi syarikat dari peringkat bawah, saya fikir kita boleh mengembangkannya dengan lebih luas lagi.”
Dr Koh, yang mempengerusikan bersama sebuah kumpulan kerja tiga pihak yang bertujuan membolehkan lebih ramai warga emas terus bekerja jika mereka mahu, berkata demikian kepada media semasa lawatannya ke kemudahan pengendali bas Tower Transit di Depoh Bas Bulim.
Semasa lawatan tersebut, Dr Koh dan anggota lain kumpulan kerja itu diperkenalkan kepada pelbagai inisiatif percubaan oleh Tower Transit. Antaranya, program perintis tiga laluan kerjaya bagi kapten bas berusia lebih 60 tahun untuk melakukan tugas yang kurang memerlukan tenaga fizikal, sambil mengekalkan pengalaman operasi serta keupayaan mereka dalam membuat penilaian berkaitan keselamatan.
Dr Koh berkata kumpulan kerja tiga pihak itu berharap inovasi sedemikian daripada pihak syarikat dapat membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh para majikan.
“Sebagai pemerintah, kami boleh mewujudkan dasar dan insentif. Namun, memandangkan terdapat pelbagai peranan pekerjaan dan sektor industri yang berbeza, syarikat perlu memainkan peranan yang sangat aktif untuk melihat bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan dalam model perniagaan masing-masing, serta dalam sektor itu sendiri,” kata Dr Koh.
Singapura dijangka mencapai status negara “lampau usia” tahun ini, dengan lebih 21 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Para pekerja warga emas masih mampu memberi sumbangan besar kepada ekonomi, dan diperlukan memandangkan tenaga kerja Singapura terhad, kata Dr Koh.
Ramai pekerja warga emas juga mahu terus bekerja untuk meraih pendapatan dan mengekalkan jaringan sosial di tempat kerja mereka, katanya.
“Dan dari sudut perubatan, kita tahu bahawa apabila seseorang berhenti bekerja, kemerosotan fizikal dan kognitif boleh berlaku dengan agak cepat,” tambah Dr Koh.
Lebih 30 syarikat sudah bekerjasama dengan kumpulan kerja tiga pihak itu untuk menguji cara mereka semula kerjaya bagi para pekerja pada pelbagai peringkat kehidupan. Jika sesuai, prototaip tersebut akan diperluaskan merentasi pelbagai sektor, menurut kumpulan kerja itu.
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Desmond Tan, yang turut hadir dalam lawatan itu, berkata matlamat usaha kumpulan kerja tersebut adalah untuk memberi lebih banyak pilihan pekerjaan kepada para pekerja, serta lebih banyak kelonggaran dan mengekalkan maruah di tempat kerja.
TOWER TRANSIT LAKSANA PERCUBAAN KERJA BAGI WARGA EMAS
Mulai Mei, 15 kapten bas warga emas Tower Transit yang sebelum ini menyatakan minat mereka, akan menyertai percubaan tiga laluan kerjaya yang direka bagi pekerja berusia lebih 60 tahun, menurut syarikat itu.
Tower Transit mempunyai tenaga kerja seramai 1,600 kapten bas, dengan 14 peratus daripadanya berusia 60 tahun ke atas.
Peranan itu kurang memerlukan tenaga fizikal berbanding kapten bas sepenuh masa, dan merangkumi dua peranan yang belum wujud sebelum ini.
Di bawah program perintis itu, kapten bas boleh melakukan tugas secara bergilir-gilir antara memandu bas dan menjadi “pegawai pusat pertukaran” yang membantu tugas di pusat pertukaran bas, selain diberi latihan dalam operasi dan kemahiran digital asas.
Mereka juga boleh menjadi “rakan pembimbing”, yang menemani kapten bas baharu di jalan raya dan membantu mereka membiasakan diri dengan laluan bas, sekali gus membina keyakinan dan budaya keselamatan.
Peranan ketiga adalah sebagai pemandu bas sambilan.
Tanpa laluan alternatif itu, kapten bas lazimnya akan terus memandu sehingga usia 75 tahun, iaitu had umur bagi memegang lesen memandu yang diperlukan.
Encik Alex Poon, yang akan mencecah usia 75 tahun, merupakan seorang kapten bas warga emas dengan pengalaman sekitar 30 tahun dan akan beralih kepada peranan mentor dan rakan pembimbing tidak lama lagi.
Daripada bersara, beliau melahirkan harapan untuk terus bekerja kerana masih sihat. Beliau juga berkongsi rasa gembira kerana dapat berkongsi pengetahuan dengan kapten bas yang lebih muda.
Pengarah Urusan Tower Transit Winston Toh berkata pengambilan kapten bas tempatan merupakan satu cabaran besar, dan inisiatif untuk warga emas membantu mengekalkan sebahagian daripada kumpulan pekerja itu.
Pada akhir tempoh setahun, syarikat tersebut akan menilai hasil percubaan itu bagi memastikan ia berkesan dari segi kos, sebelum mempertimbangkan untuk memperluas penyertaan pekerja warga emas dalam laluan berkenaan.
“Saya perlu memastikan perkara ini dapat dilaksanakan dengan cekap supaya tidak menambah kos syarikat,” kata Encik Toh.
Selain laluan alternatif, Tower Transit turut melaksanakan huraian lain untuk menjadikan tempat kerja lebih inklusif bagi para pekerja warga emas.
Sebagai contoh, syarikat itu mula menggunakan eksoskeleton yang boleh membantu mengurangkan beban juruteknik dan pegawai stor warga emas ketika melakukan kerja yang memerlukan mereka untuk mengangkat sesuatu atau melakukan pergerakan di atas kepala, sekali gus membolehkan mereka untuk terus menjalankan tugas tersebut meskipun usia terus meningkat.
“Pengetahuan yang mereka miliki dalam menyenggara bas ini terkumpul selama bertahun-tahun. Ia bukan sesuatu yang boleh diperoleh dalam sekelip mata. Kami tidak mahu kehilangannya,” kata Encik Toh.
Naib Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura Tan Hwee Bin berkata inisiatif Tower Transit adalah praktikal dan menunjukkan bagaimana rekaan semula pekerjaan boleh membantu majikan menempatkan pekerja warga emas dengan lebih baik dalam peranan operasi serta menangani kekurangan tenaga kerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.