Skip to main content

Singapura

Syarikat didenda jual pil ayurveda dengan kandungan plumbum tinggi; pelanggan keracunan masuk hospital

Sebuah syarikat didenda S$15,000 oleh mahkamah pada Khamis (28 Mei) kerana menjual pil ayurveda yang mengandungi kandungan plumbum yang tinggi, selepas seorang wanita dimasukkan ke hospital akibat anemia yang berpunca daripada keracunan plumbum.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat didenda jual pil ayurveda dengan kandungan plumbum tinggi; pelanggan keracunan masuk hospital

Pil Mahayograj Guggulu yang dijual oleh Union Yoga Ayurveda. (Gambar: HSA)

Diterbitkan : 29 May 2026 12:07AM
SINGAPURA: Sebuah syarikat didenda S$15,000 oleh mahkamah pada Khamis (28 Mei) kerana menjual pil ayurveda yang mengandungi kandungan plumbum yang tinggi, selepas seorang wanita dimasukkan ke hospital akibat anemia yang berpunca daripada keracunan plumbum.

Seorang wakil Union Yoga Ayurveda mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menjual produk ubatan melebihi had kandungan plumbum yang dibenarkan di bawah Akta Ubat-Ubatan. Enam lagi pertuduhan turut diambil kira.

Mahkamah diberitahu bahawa syarikat itu dikendalikan oleh dua orang pengarah, dan salah seorang daripada mereka memutuskan untuk mendapatkan produk yang dikenali sebagai Mahayograj Guggulu.

Dia mengimport pil tersebut dengan membawanya sendiri dari India atau mengaturkan penghantarannya ke Singapura.

Syarikat itu menjual ratusan botol pil berkenaan kepada 37 pelanggan dalam tempoh sembilan bulan dari Februari 2024 hingga November 2024.

Daripada 37 pelanggan tersebut, dua dilaporkan mengalami kesan sampingan.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menerima memo bertarikh 16 Oktober 2024 daripada Hospital Tan Tock Seng yang menyatakan seorang pesakit wanita mengalami keletihan melampau, sesak nafas semasa melakukan aktiviti fizikal dan ketidakselesaan dada.

Beliau didiagnosis menghidap anemia akibat keracunan plumbum dan perlu dimasukkan ke hospital. Wanita itu mendapatkan pil tersebut daripada cawangan Union Yoga Ayurveda di Kembangan selepas menjalani konsultasi ayurveda.

Pada November 2024, pegawai HSA pergi ke cawangan syarikat tersebut yang terletak di Kembangan dan merampas beberapa botol produk berkenaan. Syarikat itu kemudian menyerahkan lebih banyak botol selepas produk berkenaan ditarik balik dari cawangannya.

Menurut kenyataan media HSA sebelum ini, ujian mendapati produk itu mengandungi tahap plumbum melebihi had yang dibenarkan bagi ubat tradisional sebanyak ribuan kali.

Plumbum ialah logam berat toksik, dan pendedahan akut kepada tahap tinggi boleh menyebabkan sakit perut, loya, muntah, anemia, keradangan hati dan kecederaan otak.

Pendedahan jangka panjang kepada tahap plumbum yang sangat tinggi juga boleh menyebabkan kesan toksik terhadap tubuh, termasuk buah pinggang, sistem penghadaman dan sistem saraf, menurut HSA.

Selepas HSA mengeluarkan kenyataan media yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan produk tersebut, seorang ibu tampil memaklumkan bahawa anak perempuannya mempunyai paras hemoglobin yang rendah. Anaknya kemudian didapati mengalami keracunan plumbum yang tinggi.

Para pengarah syarikat mengaku membeli botol-botol tersebut pada harga S$10 setiap satu dan menjualnya pada harga S$47. Mereka turut mengaku tidak menghantar pil berkenaan untuk diuji.

Pendakwa memohon denda sebanyak S$15,000.

Dalam rayuan mitigasi, wakil syarikat berkata ia merupakan “satu kesilapan” dan beliau menghormati apa jua keputusan mahkamah.

Bagi setiap pertuduhan menjual produk ubatan melebihi had kandungan plumbum yang dibenarkan, syarikat boleh didenda sehingga S$5,000 bagi setiap pertuduhan. Jika pihak yang bersalah merupakan seorang individu, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita