Syarikat di SG cari huraian tempat kerja kreatif jelang garis panduan aturan kerja fleksibel tahun depan

SINGAPURA: Syarikat-syarikat di Singapura sedang memikirkan cara-cara kreatif untuk melaksanakan aturan kerja fleksibel buat pekerja mereka.
Memandangkan kerja dari rumah bukan satu pilihan, syarikat-syarikat dalam sesetengah sektor, seperti makanan dan minuman (F&B) dan kejuruteraan, perlu memikirkan idea yang lain daripada lain.
Ia termasuk aplikasi telefon bijak bagi membantu pekerja menetapkan syif sesama mereka, selain sistem yang mencatatkan waktu kerja lembur dan ditukar ganti kepada hari cuti.
Syarikat-syarikat terbabit melakukan usaha sedemikian sedang garis panduan tiga pihak berhubung aturan kerja fleksibel dijadual dilaksanakan tahun depan. Ia pertama kali diumumkan dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura pada Mac tahun lalu.
Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang ketika itu berkata di Parlimen bahawa "aturan kerja fleksibel akan menjadi satu kebiasaan di tempat kerja pada masa akan datang", membolehkan lebih ramai orang untuk menyertai pasaran buruh, termasuk wanita dengan tanggungjawab menjaga keluarga dan warga emas.
Bagi beberapa jenis pekerjaan, bekerja dari rumah bukan satu pilihan yang boleh ditawarkan disebabkan ciri pekerjaan tersebut. Pekerja barista adalah salah satu daripada mereka.
Di Starbucks, 60 peratus pekerja di barisan hadapannya merupakan pekerja separuh masa yang mempunyai tanggungjawab lain di luar tempat kerja.
Bagi membantu pekerja sedemikian mendapatkan waktu bekerja lebih baik yang sesuai dengan jadual peribadi mereka, syarikat tersebut melancarkan aplikasi telefon bijak November lalu, dipanggil Find-a-shift.
Sekiranya seseorang barista tidak dapat melakukan salah satu syif, beliau boleh menandakannya di aplikasi tersebut dan seorang lagi barista yang mempunyai masa terluang dan ingin bekerja lebih masa boleh berbuat sedemikian.
Sejauh ini, 20 peratus barista separuh masa rangkaian kopi itu menggunakan aplikasi tersebut. Ini termasuk mahasiswa universiti sepenuh masa Terrence Tan yang perlu merancang waktu bekerjanya mengikut jadual sekolah.
"Pada masa lapang atau sekiranya rancangan saya tiba-tiba dibatalkan, saya boleh mencari syif kosong online. Dan ia sebenarnya membantu saya mendapatkan waktu bekerja yang maksimum," kata mahasiswa berusia 22 tahun itu.
Pekerja sepenuh masa, seperti pengurus cawangan Cik Sarah Lee, juga mula menggunakan aplikasi tersebut.
Cik Lee yang mempunyai seorang anak lelaki, mengongsi, aplikasi itu membantu dirinya berada di sisi keluarga apabila mereka memerlukan beliau.
"Ia memberi saya ketenteraman kerana menerima sokongan daripada syarikat dan juga boleh mencari pengganti pekerja di kedai," kata Cik Lee yang berusia 30 tahun.
Jurucakap Institut Sumber Manusia Singapura, Adrian Tan berkata, syarikat-syarikat harus memanfaatkan kumpulan pekerja sambilan yang lebih besar.
Ini bagi memberi pekerja sepenuh masa lebih banyak kebebasan mengaturkan waktu bekerja mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.