Syarikat Deen Dunya berjaya pikat Siti Nurhaliza, kerjasama pasarkan produk di SG

(Gambar: Roslinda Rahmat)
Waktu itu hasratnya hanya untuk menolong menghabiskan stok telekung yang tidak terjual apabila pusat-pusat berbelanja ditutup sempena langkah pemutus lingkaran jangkitan akibat COVID-19 pada tahun 2020.

Tanpa diduga, perniagaan dari rumah itu bercambah kepada dua buah kedai yang terletak di Haji Lane dan Golden Landmark kini.
Usahawan tidak sengaja yang dimaksudkan ialah Cik Aida Suhaimi, Pemilik & Pengasas, Deen Dunya SG.
"Sebab waktu itu sedang pandemik, pemutus rantaian jangkitan. Kedai ibu mertua saya tidak boleh buka. Jadi saya membuka lelaman media sosial Instagram untuk tolong jualkan. Pada masa itu pun orang tidak boleh keluar rumah untuk membeli-belah. Bertepatan pula dengan bulan Ramadan, jadi orang nak cari telekung pun susah. Maka saya gunakan peluang itu."

Cik Aida segera sedar adanya ‘bakat’ berniaga dalam dirinya apabila menerima banyak pesanan bagi telekung-telekung yang dipakejkan sebagai hadiah. "Lalu saya cuba meningkatkan lagi bisnes dengan membuka kedai yang pertama di Haji Lane. Selepas itu saya boleh nampak perbezaannya – berniaga secara runcit dengan di talian. Setahun kemudian, saya buat keputusan untuk mengambil-alih kedai ibu mertua saya yang ingin bersara, di Golden Landmark."
.jpg)
Kejayaan Cik Aida malah mampu menarik Ratu Pop Siti Nurhaliza untuk bergabung niaga dengannya. Cik Aida mendedahkan, "Ia peluang yang sangat besar sebab mereka Whatsapp saya untuk bertanya, untuk adakan produk SimplySiti di Singapura dan saya amat besar hati untuk menerima tawaran ini."
SITI NURHALIZA PILIH DEEN DUNYA SG UNTUK KEMBANGKAN NIAGA DI SINGAPURA
Pemilik CTDK Holdings itu sendiri menyifatkan Cik Aida sebagai usahawan muda yang berjaya dan meluahkan rasa syukur ditemukan dengannya.
Deen Dunya SG merupakan satu-satunya kedai di Singapura yang diberi hak eksklusif untuk memasarkan barisan produk SimplySiti, BeauSiti dan AFIYA.

"Kalau dulu kita ada ejen dan juga stokis ataupun "dropship" tetapi selepas berlalunya pandemik COVID-19, kami perlukan usahawan untuk menjadi pengedar, sebagai cara untuk meluaskan lagi perniagaan. Ini supaya senang orang datang, pergi ke kedai untuk beli produk kerana itu kita memilih Deen Dunya SG," kata Cik Siti.
Beliau juga sempat meluangkan masa untuk mengunjungi kedai di Haji Lane itu untuk beramah mesra dengan Cik Aida pada Jumaat (28 Jun).
TUKARAN MATA WANG ANTARA FAKTOR YANG DIPERTIMBANGKAN SEBELUM BERTAPAK DI SINGAPURA
Cik Siti juga berkongsi faktor yang dipertimbangkannya apabila memilih untuk meluaskan perniagaan di Singapura.
"Kerana mata wang Singapura sangat-sangat besar dan kita sebagai usahawan, kita rasa ini juga peluang sebenarnya untuk kami ramai-ramai turun ke Singapura. Terutama untuk selebriti macam saya, ini masa untuk saya buat sesi "Meet & Greet", bertemu dan beramah-mesra bersama peminat saya," kongsinya kepada BERITA Mediacorp.

"Banyak faktor positif yang membuat ramai usahawan termasuk saya hendak sama-sama mengeluarkan atau melancarkan produk di Singapura." tambahnya.
Selain di kedai fizikal, artis-artis seberang tambak juga giat menyertai pelbagai acara ekspo untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengguna Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.