Skip to main content

Singapura

Syarikat binaan didenda S$44,000 kerana merosakkan saluran air Tampines

Sebuah syarikat binaan dikenakan denda pada 3 Julai kerana merosakkan saluran air utama di sebuah tapak binaan, mengakibatkan pembaziran 4,000 meter kubik air, yang cukup untuk memenuhi 1.5 kolam renang saiz Olimpik.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat binaan didenda S$44,000 kerana merosakkan saluran air Tampines

Tapak binaan di Tampines yang mengakibatkan paip bocor. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 10:10PM Dikemas Kini : 13 Aug 2018 10:12PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat binaan dikenakan denda pada 3 Julai kerana merosakkan saluran air utama di sebuah tapak binaan, mengakibatkan pembaziran 4,000 meter kubik air, yang cukup untuk memenuhi 1.5 kolam renang saiz Olimpik.

Agensi air kebangsaan PUB dalam satu kenyataan media pada Isnin (13 Ogos) menyatakan bahawa CCECC Singapore adalah subkontraktor yang menyediakan khidmat kepada syarikat binaan Hexacon Construction untuk menjalankan kerja-kerja membina jejantas di Tampines Avenue 5.

Syarikat itu tidak mendapatkan izin terlebih dahulu untuk mendedahkan tiga saluran air bawah tanah di tapak binaan dan gagal untuk memberi perlindungan secukupnya atau memasang sokongan paip sewajarnya bagi paip-paip yang terdedah, menurut PUB.

Ini menyebabkan satu saluran air dengan garis pusat 300mm tertanggal pada 3 November tahun lalu. Akibatnya, tapak gali binaan dibanjiri air dan air turut melimpah ke jalan raya.

Bekalan air kepada empat premis komersil berdekatan - Pusat Pertukaran Bas Tampines, Eastlink Mall Food Court, Tampines Plaza dan Bangunan Cawangan CPF - terjejas.

Menurut PUB, ini adalah kesalahan pertama CCECC. Syarikat tersebut didenda S$42,000 kerana merosakkan saluran air utama dan lagi S$2,000 kerana melakukan kerja-kerja berhubung saluran air utama tanpa kebenaran PUB.

Kesalahan merosakkan saluran air utama PUB bergaris pusat 300mm atau lebih membawa hukuman denda sehingga S$200,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Peraturan Kemudahan Awam (Perlindungan Prasarana Paip Air), syarikat-syarikat perlu meminta izin PUB sebelum melakukan kerja-kerja berhampiran paip air yang berukuran garis pusat sekurang-kurangnya 300mm.

Syarikat yang didapati bersalah di bawah peraturan ini boleh didenda sehingga S$10,000 dan boleh dikenakan denda tambahan S$250 bagi setiap hari atau sebahagian hari kesalahan tersebut berterusan setelah ia didapati melakukan kesalahan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita