Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat binaan didenda, pekerja tinggal dalam keadaan sesak, kotor, tidak selamat

Sebuah syarikat binaan didenda S$352,500 Khamis lalu (24 Mei) kerana menempatkan para pekerja asingnya dalam tempat tinggal yang penuh sesak, kotor dan tidak selamat, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (29 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 May 2018 12:27PM Dikemas Kini : 29 May 2018 09:21PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat binaan didenda S$352,500 Khamis lalu (24 Mei) kerana menempatkan para pekerja asingnya dalam tempat tinggal yang penuh sesak, kotor dan tidak selamat, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (29 Mei).

Syarikat binaan Keong Hong Construction juga dilarang daripada mengambil pekerja asing, menurut kenyataan media yang dikeluarkan MOM.

Syarikat tersebut merupakan pengendali tempat tinggal sementara di sebuah tapak binaan di Sembawang Crescent yang diluluskan untuk menampung 182 pekerja asing.

Namun, pegawai MOM mendapati bahawa 207 pekerja asing ditempatkan di situ selepas menjalankan satu pemeriksaan pada 8 Mac tahun lalu.

Tempat tinggal itu sesak, dengan ruang tidur turut digunakan untuk menjemur pakaian dan menyimpan makanan, dedah MOM.

Para pekerja asing itu tinggal dalam 31 bilik sementara yang ‘berselerak dan kotor’ tanpa pengaliran udara dan cahaya yang baik, menurut kementerian itu lagi.

MOM selanjutnya menyatakan bahawa bilik-bilik berkenaan dibina menggunakan zink dan papan lapis lantas tidak mematuhi peraturan kawal selia kebakaran. Barangan besar dan terbuang dibiarkan dalam ruang tidur menimbulkan bahaya kebakaran kepada para pekerja.

Selain itu, tempat tinggal tersebut tidak mempunyai tandas yang mencukupi dan tidak disenggarakan dengan baik. Hanya terdapat satu bilik mandi untuk dikongsi bersama lebih 200 pekerja.

Bilik mandi yang dikongsi bersama. (Gambar: MOM)

Secara keseluruhannya, syarikat Keong Hong Construction mengaku bersalah terhadap 47 daripada 207 dakwaan di bawah Akta Pengambilan Pekerja Asing, dengan baki 160 tuduhan turut dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Menurut MOM, pekerja asing yang mempunyai masalah berhubung keadaan tempat tinggal mereka harus mengutarakan hal tersebut kepada majikan mereka.

Jika majikan mereka gagal memperbaiki keadaan tempat tinggal itu, mereka boleh mendapatkan nasihat dari Pusat Pekerja Asing dengan menelefon +65 6536 2696 atau membuat aduan kepada MOM di +65 6438 5122.

Orang ramai juga boleh membuat laporan secara rahsia kepada MOM dengan menelefon +65 6438 5122 or atau mengirim emel ke mom_fmmd [at] mom.gov.sg

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan