Syarikat AI Zero Gravity labur S$20 juta di SG, tubuh ibu pejabat global
Syarikat prasarana kecerdasan buatan (AI) Zero Gravity akan melabur S$20 juta di Singapura dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menubuhkan ibu pejabat globalnya di sini.
- Zero Gravity will invest S$20 million over five years to make Singapore its global headquarters and long-term base.
- The investment includes S$10 million for operations and teams, S$9 million for university research, and S$1 million for an AI-based badminton project.
- The badminton project analyses player movements that are difficult to see, to help athletes move more nimbly and reduce the risk of injury among young players.
- Michael Heinrich emphasised the long-term commitment, while Tan Kiat How said Singapore can support the AI wave through a useful tech ecosystem.
- Zero Gravity akan melabur S$20 juta dalam lima tahun untuk menjadikan Singapura ibu pejabat global dan pangkalan jangka panjangnya.
- Pelaburan itu merangkumi S$10 juta bagi operasi dan pasukan, S$9 juta untuk penyelidikan universiti, serta S$1 juta bagi projek badminton berasaskan AI.
- Projek badminton tersebut menganalisis pergerakan pemain yang sukar dilihat, bagi membantu atlet bergerak lebih tangkas dan mengurangkan risiko kecederaan pemain muda.
- Michael Heinrich menekankan komitmen jangka panjang, manakala Tan Kiat How berkata Singapura boleh menyokong gelombang AI melalui ekosistem teknologi yang berguna.
SINGAPURA: Syarikat prasarana kecerdasan buatan (AI) Zero Gravity akan melabur S$20 juta di Singapura dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menubuhkan ibu pejabat globalnya di sini.
Syarikat itu memilih Singapura sebagai pangkalannya bagi jangka panjang untuk membangunkan penyelidikan dan bakat AI serta memperkenalkan pelbagai aplikasi baharu ke pasaran sejagat.
Daripada jumlah pelaburan tersebut, S$10 juta akan disalurkan untuk membangunkan operasi global Zero Gravity di Singapura serta mengembangkan pasukannya.
Lagi S$9 juta akan digunakan untuk menyokong kerjasama penyelidikan di universiti, manakala S$1 juta diperuntukkan bagi sebuah projek yang menggunakan AI dalam sukan badminton.
AI BANTU ATLET BADMINTON
Menerusi projek badminton itu, sistem AI digunakan untuk menangkap dan menganalisis pergerakan pemain yang mungkin terlepas daripada pengamatan mata manusia.
Teknologi tersebut bertujuan membantu atlet bermain dengan lebih tangkas, selain mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain muda.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Zero Gravity Michael Heinrich berkata komitmen syarikat itu kepada Singapura melangkaui penubuhan sebuah pejabat.
"Jika kami dapat membangunkan sesuatu yang bermakna di Singapura, potensinya melangkaui Singapura," kata beliau.
Menurut Encik Heinrich, komitmen syarikat itu merangkumi penyelidikan, bakat, inovasi dan pelaburan jangka panjang.
SG BOLEH MAIN PERANAN DALAM GELOMBANG AI SETERUSNYA
Menteri Negara Kanan bagi Penerangan dan Pembangunan Digital Tan Kiat How pula berkata Singapura boleh memainkan peranan berguna dalam gelombang AI seterusnya dengan mewujudkan ekosistem yang sesuai.
Menurut Encik Tan, ekosistem itu perlu menghimpunkan syarikat teknologi yang menyediakan keupayaan dengan syarikat yang mahu menggunakan teknologi tersebut untuk mencipta semula model perniagaan, menghasilkan produk dan khidmat baharu serta memasuki pasaran baharu.
Beliau menambah teknologi bukan matlamat akhir, sebaliknya perlu digunakan untuk meningkatkan kehidupan serta apa yang mampu dicapai orang ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.