Syarat mohon permit keluar negara NS dilonggarkan
Mulai April ini, Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) hanya perlu memohon bagi permit keluar negara sekiranya mereka akan meninggalkan Singapura selama 12 bulan atau lebih lama.

Gambar fail anggota kerahan perkhidmatan negara Singapura. (Gambar: Jeremy Long/CNA)
Ini merupakan satu pelonggaran pada peraturan semasa, di mana NSmen yang ingin ke luar negara selama enam bulan atau lebih lama disyaratkan untuk memohon permit keluar negara.
"Perubahan ini mencerminkan mobiliti rakyat Singapura yang semakin meningkat, dengan ramai NSmen kita menetap atau bekerja di luar negara buat tempoh yang lebih panjang," kata Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How di Parlimen pada Isnin (27 Feb).
Beliau memberi jaminan kepada para Anggota Parlimen (AP) bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sudah mengkaji isu itu dengan teliti dan perubahan itu tidak akan menjejas ketersediaan operasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Di bawah Akta Pendaftaran Perkhidmatan Negara, denda untuk NSmen yang terus berada di luar Singapura tanpa permit yang sah adalah hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Peraturan yang dikemas kini itu menyusuli semakan pemerintah yang dimuktamadkan pada tahun lalu, yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem NS.
NSmen juga boleh menjangkakan sebuah hab sosial dan rekreasi yang baru di Changi. Dibangunkan oleh Pusat Peranginan dan Country Club Perkhidmatan Negara (NSRCC), hab rekreasi itu akan menempatkan chalet, kemudahan sukar serta kemudahan lain yang bertunjang kepada keluarga.
Butiran lanjut mengenai hab itu akan diumumkan apabila tiba masanya kelak, kata Encik Heng.
LEBIH BANYAK PELUANG BEKERJA SAMBIL BELAJAR
Satu skim bekerja sambil belajar untuk anggota Perkhidmatan Negara, yang membolehkan mereka untuk meraih diploma politeknik dan kredit universiti semasa menjalankan tanggungjawab operasi, akan diperluaskan kepada bidang keenam.
Di bawah skim baru bekerja sambil belajar untuk para pakar sistem perang laut, anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang memulakan perkhidmatan dari September boleh memperolehi diploma dalam jurusan Kejuruteraan (Teknologi Mekanikal) dari Politeknik Singapura (SP).
Skim bekerja sambil belajar sedia ada merangkumi bidang kemahiran siber, teknisyen tentera udara, teknisyen askar, penyelia bekalan askar dan kemahiran digital.
Sejak dilancarkan pada 2018,450 NSF sudahpun berdaftar di bawah skim-skim tersebut.
Encik Heng berkata menjelang 2025, MINDEF menjangkakan 500 NSF didaftarkan di bawah skim bekerja sambil belajar pada setiap tahun.
Anggota Perkhidmatan Negara yang mendaftarkan diri bagi skim bekerja sambil belajar menjalani gabungan NS sepenuh masa dan perkhidmatan tetap, menggabungkan aspek akademik dan latihan teknikal yang disediakan oleh institut pengajian tinggi (IHL).
KEMUDAHAN KESELAMATAN SIBER DAN MAKLUMAT YANG BARU
Sebuah kemudahan untuk menangani ancaman-ancaman keselamatan siber dan maklumat akan ditubuhkan di Markas dan Pusat Kawalan Changi di Pangkalan Tentera Laut Changi pada suku ketiga 2023.
Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ACICE) ditubuhkan pada 2021 ketika menghadapi pendigitalan yang pesat dan kelaziman lebih tinggi berlaku serangan-serangan siber, maklumat palsu serta salah maklumat.
ACICE bertujuan untuk memberi perlindungan terhadap ancaman-ancaman seumpama itu dengan berkongsi maklumat mengenai serangan-serangan siber, maklumat serta serangan lain, menggalak kerjasama di samping berfungsi sebagai sebuah wadah untuk bertukar-tukar maklumat dalam kalangan pegawai pertahanan ASEAN, pakar dan pemain industri.
Ia meliputi pusat keselamatan siber, pusat maklumat dan pusat penyelidikan yang akan berpadu tenaga dengan badan-badan pemikir serta institusi-institusi akademik berhubung penyelidikan jangka panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.