Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarat Haji 2022 jejas 30% jemaah S'pura, kos dijangka meningkat

Pasukan Bertindak AMTAS bagi persiapan haji sudah mula melakarkan pelan-pelan bagi menangani senario-senario berbeza sekiranya kuota haji diberikan kepada para jemaah Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan Bertindak AMTAS bagi persiapan haji sudah mula melakarkan pelan-pelan bagi menangani senario-senario berbeza sekiranya kuota haji diberikan kepada para jemaah Singapura.

Pasukan bertindak yang ditubuhkan sekitar tiga bulan lalu itu, dibentuk lapan anggota dan mereka terdiri daripada wakil-wakil agensi pelancongan berbeza, yang mahir dalam bidang masing-masing, seperti penerbangan, penginapan dan sebagainya.

Ini bagi membolehkan pasukan AMTAS melakukan yang terbaik bagi memastikan perjalanan haji tahun ini berjalan dengan lancar, terutama sekali dalam keadaan pandemik COVID-19 jika ada berita baik tentang kuota haji bagi jemaah Singapura dimaklumkan oleh pihak Arab Saudi.

Demikian menurut salah seorang anggota Pasukan Bertindak AMTAS bagi persiapan haji itu dan juga Pengarah syarikat Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad.

"Selama ini kuota rasmi Singapura ialah 900 dan kita telah mempunyai senario.

ustazah juyda

"Jadi sekiranya senario kuota 900 (jemaah) itu diberi kepada kita atau ada penambahan ataupun ada penambahan yang berlebihan, senario-senario itulah yang telah dibincangkan bersama para anggota bertindak yang lain," kongsi Ustazah Juyda.

30% JEMAAH 65 TAHUN KE ATAS DIJANGKA TERJEJAS DENGAN KETETAPAN SYARAT HAJI

Antara syarat yang ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi ibadah haji tahun ini termasuk membenarkan hanya jemaah yang berusia 65 tahun ke bawah sahaja serta perlu diuji negatif dalam masa 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.

Jika dilihat pada demografi penduduk Singapura, Ustazah Juyda menjangkakan hampir 30% jemaah dijangka terjejas oleh ketetapan syarat usia itu.

"Sudah semestinya ia menjejas hampir 30% rakyat Singapura yang ingin menunaikan haji. Walau bagaimanapun, saya rasa kita perlu ambil ini dengan positif kerana golongan usia 65 tahun ini mereka adalah golongan yang mudah terdedah.

"Apabila kerajaan Arab Saudi membuka ruang untuk 1 juta jemaah, maka kita juga terdedah dengan pelbagai penyakit di sana, dan ini bukan penyakit COVID sahaja, kita mungkin akan terdedah dengan meningitis dan flu yang lain.

"Jadi sekiranya ada syarat ini, maknanya mereka memelihara golongan yang mudah terdedah inilah, jadi saya berharap kepada mereka, sekiranya tergolong dalam 65 tahun ke atas, kita harus berfikiran terbuka dan menerima dengan secara positif," ujar Ustazah Juyda.

KOS HAJI DIJANGKA MENINGKAT

Bukan sahaja mendebarkan bagi bakal jemaah haji, pihak agensi pelancongan juga berdepan dengan situasi yang mencabar dengan kelewatan pengumuman kuota haji, menurut Pengarah TravelConnect.sg Ustaz Nafis Rahman.

Ini kerana persiapan harus dilakukan lebih awal bagi meningkatkan keyakinan mereka yang bakal menunaikan ibadah haji itu supaya segala urusan lebih terjaga sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Ini juga termasuk persediaan dari segi kerohanian dan kewangan, jelas beliau.

Dengan kemungkinan peningkatan harga permit haji, Ustaz Nafis menganggarkan kos ibadah haji tahun ini boleh mencecah sehingga $18,000 atau $20,000, berbanding $13,000 hingga $16,000 sebelum ini.

ustaz nafis

"Dengan keadaan sekarang yang semakin suntuk untuk mendapatkan kuota haji, yang kita tahu sekarang ini masih belum diumumkan walaupun sudah masuk bulan Ramadan, kita mengharapkan kepada jemaah semua agar mereka melakukan persiapan mengulangkaji pelajaran ibadah haji dan juga persiapan dari segi kewangan, yang mana ia dijangkakan akan ada kenaikan daripada harga permit haji pada tahun ini.

"Mereka harus bersedia juga (sekiranya) para bakal tetamu haji ini menerima jemputan selewat-lewatnya mungkin dua atau tiga minggu sebelum berangkat melaksanakan ibadah haji.

"Jadi persiapan itu harus dilakukan walaupun kita belum tahu pun sama ada kita akan melaksanakan ibadah haji pada tahun ini," kata Ustaz Nafis.

1 JUTA JEMAAH HAJI DIBENARKAN TAHUN INI

Sebelum ini, Arab Saudi memutuskan untuk menambah jumlah jemaah Haji tahun ini kepada sejuta bagi jemaah kesemuanya, termasuk membenarkan 85% jemaah dari luar negara.

Menurut jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Saudi, Hisham Saed, ini bertujuan memberikan peluang kepada jemaah asing, terutama selepas dua tahun ibadah haji tidak dibuka kepada jemaah dari luar Saudi, disebabkan pandemik COVID-19.

Setakat ini, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai kuota Haji bagi jemaah Singapura.

Dalam satu catatan Facebook beliau, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata terdapat kemungkinan besar kuota yang akan diberikan kepada setiap negara akan dikurangkan.

Ini memandangkan bilangan jemaah haji yang dibenarkan untuk menunaikan haji berkurangan, berbanding 2.5 juta sebelum pandemik.

Meskipun begitu, Encik Masagos menggesa masyarakat supaya bersikap fleksibel dan bersedia membuat penyesuaian apabila butiran lanjut diumumkan kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan